Buah pelaga, atau dikenali juga sebagai cardamom mempunyai pelbagai khasiat yang tersendiri. Ia merupakan salah satu rempah yang paling tua di dunia dan mempunyai kadar timbangan yang termahal.

Herba ini mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan manusia. Pada zaman dahulu, orang mesir purba menggunakan herba ini sebagai pencuci gigi.

Manakala, masyarakat Greek dan Rom pula menggunakannya sebagai salah satu bahan dalam minyak wangi.

Herba ini digunakan secara meluas di dalam masakan India.

Malah, ia juga telah mendapat tempat di dalam perubatan Ayurveda untuk merawat ulser, masalah ketidakhadaman dan juga depresi.

Kini, buah pelaga mula menjadi perhatian perubatan moden. Malah, ada beberapa kajian yang dijalankan khas untuk mengetahui khasiat herba ini.

Di bawah, kami senaraikan 7 khasiat buah pelaga yang terbukti oleh sains.

1. Buah pelaga boleh mengurangkan tekanan darah

Buah pelaga boleh membawa manfaat yang besar kepada individu yang mempunyai masalah tekanan darah.

Di dalam sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Indian Journal of Biochemistry and Biophysics (IJBB), mereka mendapati pemberian serbuk pelaga boleh mengurangkan tekanan darah.

Pakar juga berpendapat tahap antioksidan yang tinggi di dalam herba ini boleh mengurangkan kadar tekanan darah dalam kalangan pesakit.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai kesan diuretik yang tersendiri. Ini bermaksud pengambilan herba ini akan menggalakkan urinasi. 

Sebarang pengumpulan air dalam badan dapat dikurangkan dan dalam masa yang sama, tekanan darah juga akan turut berkurang.

2. Mungkin mengandungi bahan yang bersifat anti kanser

Buah pelaga mengandungi fitokimia semula jadi yang mungkin dapat melawan penyakit seperti kanser.

Walau bagaimanapun, buah pelaga tidak boleh menggantikan rawatan kanser. Jadi, elakkan menggunakan herba ini untuk tujuan rawatan.

Namun, kajian menunjukkan bahawa herba ini mengandungi bahan-bahan yang bersifat anti kanser.

Kajian yang dilakukan ke atas tikus makmal mendapati serbuk pelaga mungkin dapat meningkatkan aktiviti enzim tertentu dalam melawan kanser.

Walaupun keputusan kajian ini agak menggalakkan, ia hanya pernah dilakukan ke atas tikus makmal atau di dalam tiub ujikaji.

Tiada kajian ke atas manusia pernah dijalankan.

3. Mempunyai sifat anti radang

Buah pelaga kaya dengan bahan-bahan yang mempunyai sifat anti radang.

Bahan ini didapati boleh melindungi sel badan daripada rosak dan mengalami inflamasi.

Inflamasi pada badan berlaku apabila sel kita terdedah dengan bahan asing. 

Pengambilan pelaga secara berkala boleh mengurangkan inflamasi kronik yang boleh menyebabkan penyakit yang serius. 

4. Buah pelaga menyembuhkan ulser

Herba ini turut digunakan secara turun temurun untuk menyembuhkan ulser.

Ada juga yang menambahkan herba ini ke dalam teh sebagai bahan untuk melegakan sakit perut.

Terdapat satu kajian yang mendapati ekstrak buah pelaga yang dicampurkan dengan kunyit dan daun sembung didapati dapat mengurangkan ulser perut pada tikus.

Malah, tikus yang menerima ubat aspirin sahaja didapati mempunyai ulser yang lebih besar berbanding tikus yang menerima aspirin dan juga campuran ekstrak pelaga ini.

5. Boleh merawat masalah bau nafas

Penggunaan herba ini untuk merawat masalah bau nafas merupakan sesuatu yang diamalkan secara turun temurun.

Malah, gula-gula getah pada zaman ini juga mengandungi ekstrak buah pelaga sebagai salah satu bahan penyegar nafas.

Salah satu sebab mengapa herba ini amat berkesan untuk merawat masalah bau nafas ialah sifat antimikrobnya yang dapat menghalang pembentukan 5 jenis bakteria penyebab bau mulut.

Bukan itu sahaja, ia juga baik untuk kesihatan mulut disebabkan sifat anti radangnya.

Ia juga boleh menghentikan jangkitan dan menghalang pembentukan kaviti!

6. Buah pelaga baik untuk kesihatan hati

Dalam perubatan Ayurveda, ramai yang menggunakan pelaga disebabkan kemampuannya untuk membuang toksin dalam badan.

Dalam sebuah kajian yang dijalankan ke atas orang yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, individu yang mengambil suplemen buah pelaga didapati mempunyai kesihatan hati yang lebih baik berbanding mereka yang tidak mengambilnya.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengurangkan kadar kolesterol badan. Ia juga boleh mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit hati berlemak.

7. Selamat dan digunakan secara meluas

Buah pelaga secara amnya selamat untuk digunakan. Malah, ia juga digunakan sebagai rempah di dalam pelbagai makanan serta roti dan kek.

Malah, penggunaan suplemen pelaga juga mula mendapat tempat di dalam hati masyarakat disebabkan khasiatnya terhadap kesihatan.

Walau bagaimanapun, elakkan mengambilnya secara berlebihan. Malah, penggunaan ekstraknya perlu diambil di bawah pemantauan pakar.

Paling selamat, tambahkan sahaja herba ini dalam masakan anda.

Kesimpulan

Buah pelaga merupakan sejenis herba banyak digunakan sebagai rawatan pada zaman dahulu.

Ia mungkin boleh mengurangkan tekanan darah, membantu melancarkan pernafasan dan menurunkan berat badan.

Walau bagaimanapun, kajian yang membuktikan keberkesanan buah pelaga masih lagi tidak mencukupi.

Masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan untuk membuktikan penggunaan herba ini selamat dan berkesan untuk manusia.

Ekstrak pelaga mungkin dapat mendatangkan manfaat kepada kesihatan. Walau bagaimanapun, ia perlu diambil di bawah pemantauan doktor sahaja.

Leave a comment

Your email address will not be published.