Adab Menziarah Orang Sakit Dalam Islam: Panduan Lengkap

Menziarah orang sakit adalah salah satu cara untuk mengukuhkan lagi persaudaraan semasa manusia tidak kiralah sesama Muslim atau pun non-Muslim. Ia termasuk dalam nilai-nilai murni yang banyak memberikan kita manfaat sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW.

Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda tentang adab menzirahi orang sakit menurut Islam serta persoalan yang selalu dihadapi oleh kita tentang amalan ini.

Hukum dalam Islam

Menurut kesepakatan ulama’, hukum bagi menziarahi orang sakit adalah sunat muakkad. Ini bermakna amalan ziarah orang sakit merupakan salah satu dari amalan yang sangat digalakkan dalam Islam.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ: مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ؟، قَالَ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Maksudnya: “Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika Apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Tujuan menziarah orang sakit

Menziarah orang yang sakit perlu jelas tujuannya. Ianya haruslah ikhlas kerana Allah SWT, dengan niat untuk menjaga tali persaudaraaan sesama manusia. Selain itu, dengan amalan ini juga kita dapat mengingatkan diri sendiri untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmat hidup yang diberikan kepada kita.

Sakit adalah salah satu sebab yang menyebabkan kematian tetapi tidak semua kematian disebabkan oleh sakit. Sepatutnya dengan menziarahi orang sakit, kita boleh memperoleh keinsafan dalam diri.

Adab menziarahi orang sakit yang dibolehkan

  1. Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah SAW
  2. Maklumkan bila kita akan datang untuk melawat, dan minta izin dahulu
  3. Membersihkan tangan sebelum bersalaman dengan pesakit
  4. Disunatkan duduk berdekatan dengan kepala pesakit bagi memudahkan komunikasi
  5. Mendoakan pesakit agar cepat sembuh
  6. Tanyakan keperluan pesakit
  7. Keluar dari bilik sekiranya doktor atau jururawat ingin memeriksa keadaan pesakit
  8. Sesuaikan waktu ziarah, dan memendekkan masa lawatan agar pesakit dapat berehat
  9. Digalakkan membawa buah tangan yang bersesuaian
  10. Mengetahui kedaan sebenar pesakit, sama ada dia mempunyai harapan untuk sembuh, kritikal, atau sekadar sakit biasa
  11. Perlahankan nada dering telefon bimbit atau tukar ke dalam mod diam/ getaran
  12. Nasihatkannya untuk tetap bersabar kerana sakit adalah kifarah untuk menghapuskan dosa

Perkara yang perlu dielakkan semasa menziarahi orang sakit

  1. Menangis di depan pesakit
  2. Duduk di atas katil pesakit
  3. Memakai minyak wangi yang terlalu kuat baunya
  4. Merokok sebelum atau ketika sedang melawat pesakit
  5. Bercakap terlalu kuat
  6. Bercakap, dan melawat terlalu lama
  7. Jangan menyebut penyakit orang lain yang sama atau seumpama penyakitnya hingga menyebabkan kematian orang itu kerana ia akan menyakitkan hati pesakit
  8. Jangan makan makanan yang dihadiakan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya
  9. Jika kehadiran kita membuatkan pesakit tertekan, sebaiknya ziarahilah mereka ketika keadaanya stabil semula
  10. Elakkan dari menziarahi pesakit jika kita tidak sihat

Berdoa untuk orang yang sakit

Mendoakan untuk orang sakit ketika kita datang menziarahinya adalah sesuatu yang amat digalakkan. Hal ini berdasarkan hadis daripada Ummu Salamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيضَ، أَوِ الْمَيِّتَ، فَقُولُوا خَيْرًا، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ

Maksudnya: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, atau orang mati maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ketika menziarahi pesakit adalah seperti:

1. Doa pertama

أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

“Azhibil ba’s rabbannas, washfi anta shafi, la shifa a illa shifauk, shifa alla yughodiru saqoma”

Maksudnya: “Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit.”

2. Doa kedua

ﻻ ﺑَﺄْﺱَ ﻃَﻬُﻮْﺭٌ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ

“Laa ba’ sa thahuurun insyaaallah”

Maksudnya : “Tidak mengapa, semoga sakitmu ini membersihkanmu dari dosa-dosa, insyaallah.”

3. Doa ketiga

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ ، أَنْ يُعَافِيَكَ وَيَشْفِيَكَ

“As alullaahal ‘azhiim Rabbal ‘arsyil ‘azhiim an yasyfiyaka”

Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi ‘arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu.”

Hukum menziarahi non-muslim yang sakit

Penjelasan ringkas dari Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa seorang Muslim dibolehkan untuk menziarahi non Muslim yang sakit. Hal ini untuk menjaga nilai persahabatan antara kita dengan sahabat yang non Muslim agar tetap erat. Dalam masa yang sama kita dapat mempamerkan nilai akhlak yang tinggi sebagai satu bentuk dakwah kepada mereka.

Adakah dibenarkan ziarah orang sakit yang berlainan jantina?

Pendapat dari jumhur ulama’ seperti dari kalangan Mazhab Syafie, dan Imam Nawawi, adalah dibolehkan untuk kita melawat atau menziarahi mereka yang berlainan jantina. Hukumnya harus jika kita boleh mengikuti adab dan syarak yang diajar.

Namun begitu, disarankan untuk melawat secara berkumpulan atau sekurang-kurangnya melebihi dua orang. Ini untuk mengelakkan salah faham, dan fitnah sekaligus menjaga kehormatan bagi kedua-dua belah pihak. Masing-masing mestilah menjaga aurat, dan batas syriat yang telah diwajibkan ke atasnya.

Kesimpulan

Diharapkan artikel ini memberikan anda panduan yang berguna ketika menziarahi orang sakit. Menziarahi seseorang atas tujuan yang baik adalah amalan yang digalakkan. Namun begitu, ia perlu berlandaskan adab-adab yang sempurna juga supaya perbuatan kita tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Rujukan

  1. Adab Menziarahi Orang Sakit, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan
  2. Pendidikan Rasul Dalam Adab Menziarahi Orang Sakit. Kamarul Azmi Jasmi, Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan sosial, UTM
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113