Air ketuban kurang berlaku apabila cecair di dalam uterus semakin berkurangan ketika hamil. Dalam istilah perubatan, keadaan ini dikenali sebagai oligohydramnios.

Kepentingan Air Ketuban

Air ketuban yang mencukupi adalah penting untuk perkembangan bayi. Ia berperanan dalam :

  • Mengekalkan suhu bayi pada paras normal
  • Berfungsi sebagai shock absorber bagi melindungi bayi daripada impak luaran ketika ibu bergerak
  • Memudahkan bayi bergerak di dalam perut dengan lebih aktif
  • Membantu fizikal bayi berkembang dengan sihat
  • Mengelakkan jangkitan
  • Memberi ruang kepada tali pusat untuk bergerak dengan bebas
Kredit Foto : the-scientist.com

Baca Juga : Cara Cepat Bersalin Supaya Bayi Mudah Keluar

Cara Air Ketuban Berfungsi

Air ketuban boleh terhasil seawal 12 hari selepas persenyawaan. Pada tempoh awal kehamilan, air ketuban dihasilkan daripada badan ibu. Namun bermula kira-kira bulan keempat atau kelima kehamilan, air ketuban akan dihasilkan oleh air kencing kandungan sendiri.

Walaupun kedengaran agak pelik, proses ini adalah penting untuk kandungan belajar cara untuk bernafas, menelan serta menapis cecair melalui buah pinggang.

Oleh sebab itu, air ketuban kurang juga boleh menandakan masalah saluran kencing yang mungkin dialami oleh kandungan.

Punca Air Ketuban Kurang

  Agak sukar untuk kenalpasti punca air ketuban kurang. Namun, terdapat beberapa faktor yang mugkin menjadi punca kepada masalah ini antaranya :

  • Masalah kesihatan pada ibu seperti tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, preeklampsia dan dehidrasi.
  • Kantung ketuban yang pecah sebelum waktunya. Keadaan ini juga dikenali sebagai Premature Rupture of Membranes (PROM). Ibu hamil perlulah dikejarkan ke hospital dengan segera.
  • Plasenta terhakis daripada dinding dalaman rahim sebelum waktu bersalin
  • Pengambilan beberapa jenis ubat seperti perencat angiotensin-converting enzyme (ACE)
  • Kandungan mengalami masalah buah pinggang, salur kencing atau kecelaruan genetik

Kekurangan air ketuban boleh memberi kesan pada perkembangan bayi serta boleh mengakibatkan komplikasi ketika bersalin.

Kredit Foto : sogiscan.com.au

Simptom Air Ketuban Kurang

Antara simptom yang boleh dikenalpasti ialah :

  • Cecair keluar dari vagina
  • Uterus tidak berkembang secara normal
  • Pergerakan bayi dalam kandungan semakin perlahan

Kaedah Rawatan

Untuk mendiagnos masalah air ketuban kurang, doktor akan membuat imbasan ultrasound bagi mendapatkan jumlah air ketuban di dalam uterus.

1. Segerakan Bersalin Jika Perlu

Sekiranya tarikh due date anda sudah hampir, anda mungkin tidak perlukan sebarang rawatan.

Bergantung kepada punca dan usia kandungan, doktor mungkin akan mengesyorkan pada ibu hamil untuk induce bagi percepatkan proses bersalin.

Sekiranya air ketuban kurang ketika kandungan berada pada usia 36 ke 37 minggu, kaedah paling selamat ialah untuk bersalin segera.

2. Lebihkan Air Dalam Badan Melalui IV atau Minum Air Lebih Banyak

Doktor juga boleh menasihati ibu hamil agar minum lebih banyak air atau diberikan air melalui suntikan IV di hospital.

Sekiranya keadaan agak serius dan kandungan tidak mencecah usia 36 minggu, doktor boleh meminta anda untuk tinggal di hospital buat sementara waktu untuk memastikan keadaan ibu dan kandungan berada dalam keadaan stabil .

Kredit Foto : livescience.com

3. Suntikan Cecair Melalui Amniocentesis Sebelum Bersalin

Kaedah ini melibatkan penggunaan suntikan melalui abdomen dan terus pada kantung ketuban.

Ia dilakukan bagi mengekalkan pergerakan dan nadi normal bayi semasa proses bersalin.

Kaedah ini juga dapat mengelakkan prosedur bersalin melalui kaedah caesarean.

4. Amnioinfusion

Selain amniocentesis, doktor boleh mencadangkan prosedur untuk menggantikan air ketuban yang kurang dengan saline.

Kaedah ini dinamakan amnioinfusion di mana saline dimasukkan di dalam kantung air ketuban melalui serviks.

Seperti amniocentesis, kaedah ini dijalankan hanya apabila bayi didapati mengalami degupan jantung yang tidak stabil.

5. Rawat Masalah Kesihatan Sedia Ada

Sekiranya si ibu didapati mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes atau tekanan darah tinggi, doktor mungkin akan kawal masalah ini dahulu kerana ia juga boleh menjadi punca air ketuban kurang.

Doktor boleh mengesyorkan pengambilan ubat, kawalan paras gula dalam darah atau pemeriksaan berkala di klinik untuk pastikan keadaan kesihatan ibu stabil.

Air ketuban memainkan peranan yang cukup penting untuk perkembangan bayi dalam kandungan.

Air ketuban yang kurang juga boleh memberi kesan kepada keselamatan dan kesihatan bayi.

Sekiranya anda dapati air ketuban kurang lebih-lebih lagi apabila due date masih jauh, dapatkan rawatan segera daripada doktor untuk atasi masalah ini secepatnya.

Ibu hamil juga perlu awasi tanda-tanda yang kritikal seperti pergerakan bayi yang semakin kurang dan jika ada keluar cecair dari vagina.

Pastikan juga si ibu mendapatkan rehat secukupnya serta amalkan pemakanan yang sihat untuk perkembangan bayi yang sihat serta kesihatan ibu terjaga sepanjang hamil.

Sumber :

How Can I Increase My Amniotic Fluid Levels?

https://www.healthline.com/health/pregnancy/how-to-increase-amniotic-fluid

Low Amniotic Fluid

https://www.uofmhealth.org/health-library/abr8557

Leave a comment

Your email address will not be published.