Bayi & Kanak-Kanak

Jangan Sesekali Gunakan 9 Ayat Ini Pada Anak Anda – Pakar Psikologi

Anak adalah penyeri dalam kehidupan berumah tangga. Namun kadang kala kita sebagai ibu bapa “hilang sabar” dengan perangai mereka.

Sepatutnya kita kena banyakkan bersabar. Mungkin anak sekadar mahu bermanja. Mana tidaknya, seharian kita tinggalkan anak dengan pengasuh. Tentulah mereka juga inginkan kasih sayang dari ibu bapanya sendiri.

Sebaiknya tahan marah setiap kali berdepan dengan masalah remeh temeh yang ditimbulkan oleh anak-anak. Mereka masih kecil, tak faham dan tak pandai membezakan satu perkara itu betul atau salah.

Pakar Psikologi Larang Gunakan 9 Ayat Ini Pada Anak

Kalau kita terlepas kemarahan sekali pun, pastikan kita tak ucapkan 9 jenis ayat ini pada anak-anak. Ini pesan daripada pakar psikologi sendiri. Itu pun jika anda sayangkan anak-anak anda.

1. “Jangan kacau ibu! Pergi main di sana!”

Kita mungkin berdepan dengan situasi anak-anak merengek ajak temankannya bermain mainan di ruang tamu. Dalam masa sama kita sedang menyiapkan tugasan penting untuk dihantar esok.

Tapi janganlah sesekali menengkin anak-anak dengan parkataan, “Jangan kacau ibu! Pergi main di sana!”

Jika anda kerap mengungkapkan perkataan itu, anak akan berasa seolah tiada guna bercakap dengan anda, asyik kena tengking sahaja. Lama kelamaan, semakin anak meningkat dewasa dia tidak berminat untuk berkongsi masalahnya dengan kita. Hubungan akan jadi renggang, akhirnya membuat kita sendiri yang menyesal.

Yang paling baik katalah, “Sekejap, ibu selesaikan kerja ni kemudian kita pergi main, ok.”

2. “Kau ni memang lah…”

Jangan suka melabel anak dengan benda-benda negatif. Kita sendiri pun tak suka dilabel, ini pula anak-anak yang usianya baru 2-3 tahun.

3. “Sikit-sikit menangis, apa nak jadi!”

Budak-budak terutama bayi mana tahu nak luahkan perasan melainkan melalui tangisan. Bila takut mereka menangis. Bila sedih mereka menangis.

Kita sebagai ibu bapa sepatutnya melindungi anak-anak daripada perasaan takut dan sedih itu. Ini kita menambah kesedihan mereka lagi adalah. Memang tidak patut langsung!

4. “Kenapa adik tak macam kakak?”

Kalau kita ada 10 orang anak, tentulah ada anak yang kita paling sayang. Itu benda normal yang tak dapat kita kawal. Tapi tak elok kita tunjukkan yang kita sayang anak tu lebih dari adik-beradiknya yang lain.

Apatah lagi membandingkan sesama mereka.

Setiap anak mempunyai personaliti tersendiri. Perangai mereka tentulah berbeza-beza.

Jika kita kerap membandingkan anak dan memaksa anak menjadi seperti orang lain, itu hanya menjejaskan keyakinan dirinya.

5. “Adik sepatutnya lebih dari itu!”

Jangan anggap anak kita pandai dan tahu semua perkara. Anak-anak dalam proses pembelajaran, pasti mereka ada melakukan silap.

Berpadalah kita jika mahu menilai anak-anak pun. Ajar dan bagi panduan sekiranya mereka salah. Sebaiknya katakanlah, “Ibu lagi suka kalau adik buat macam ini.”

6. “Diam atau ibu cubit!”

Perangai suka menggertak atau menakutkan anak-anak sangat tidak sihat dan langsung tidak efektif dalam membesarkan anak-anak. Kesudahannya anak-anak lali dengan gertakan ibu lalu menjadi lebih “keras” dan tak mendengar cakap.

7. “Siap kau bila ayah balik nanti”

Ini satu lagi gertakan yang tidak patut kita ungkapkan pada anak-anak. Seolah mereka lalukan satu jenayah besar yang akan terima hukuman yang lebih berat bila ayah pulang nanti.

Perkara ini membuatkan anak-anak beranggapan “ayah” sebagai lebih “jahat” daripada ibu. Ibu pula tidak mempunyai autoriti untuk menghukum mereka.

8. “Cepat sikit boleh tak?”

Ayah selalunya nombor 1 siap jika hendak ke mana-mana. Ayah jugalah orang pertama yang akan menyuruh anak-anak bersiap cepat.

Sebenarnya menengking anak-anak untuk cepat bukan memotivasikan mereka bergerak cepat, tapi  membuatkan mereka rasa lagi bersalah kerana melewatkan situasi.

9. “Good boy, bagus-bagus”

Apa yang salahnya dengan perkataan memuji ini? Tiada yang salah, cuma bila anda memuji anak-anak untuk benda remeh seperti minum susu sampai habis, itu sesuatu yang tiada nilai. Melainkan puji untuk sesuatu yang memerlukan usaha sebenar mereka.

Pujilah kelakuan mereka. Sebagai contoh, “Adik senyap je siapkan puzzle tu masa ummi tengah siapkan kerja ni, macam yang ummi suruh. Bagus.”

Baca juga : 12 Tanda Awal Autism Yang Mungkin Ada Pada Anak Anda

Comments

Leave a Reply