Amalkan Ayat Kursi Sebagai Perlindung Diri dan Keluarga

Al-Quran diturunkan sebagai kitabullah, kitab agung bagi umat Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk kepada kepada kehidupan dunia dan akhiratnya. Isi kandungan Al-Quran yang mengandungi 114 surah ini merangkumi isu-isu berkenaan akidah, sejarah, muamalah, ibadah, hukum, sejarah, akhlak, ilmu pengetahuan, dan sebagainya.

Daripada Aisyah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan yang menjadi kemegahan umatku ialah al-Quran yang mulia.”

Dalamnya juga ada sepotong ayat yang dikenali sebagai ayat kursi. Dalam artikel ini kita akan membincangkan tentang apa itu ayat kursi, terjemahannya, kelebihan, dan kepentingannya pada kehidupan seseorang.

Maksud ayat kursi?

Ayat kursi atau juga lebih dikenali sebagai ayat kursi adalah ayat yang ke-255 dalam Surah Al-Baqarah. “Penghulu Segala Ayat Al-Quran”, dijadikan gelaran kepada ayat ini.

“Kursi” yang dimaksudkan dalam ayat ini bermaksud “Tempat Duduk Yang Megah Lagi Yang Mempunyai Martabat’. 

Keistimewaanya jelas menggambarkan tentang keagungan Allah SWT dan kekuasaannya yang tidak terbatas, meliputi langit dan bumi.

Teks dan terjemahan ayatul kursi

“Allahu la ilaha illa huwa, al-haiyul-qaiyum. La ta’khuzhuhu sinatun wa la nawm. Lahu ma fis-samawati wa ma fil-‘ard, Man zhal-lazhi yashfa’u ‘indahu illa bi-izhnihi. Ya’lamu ma baina aidihim wa ma khalfahum. Wa la yuhituna bi shai’im-min ‘ilmihi illa bima sha’a. Wasi’a kursiyuhus-samawati wal ard. Wa la ya’uduhu hifdzhuhuma. Wa huwal ‘aliyul-azheem.”

Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).”

Dalil tentang ayatul kursi

Dari Anas bin Malik RA. berkata, “Rasulullah SAW bersabda : Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur’an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia.”

Berkata Anas bin Malik, “Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?”

Sabda Rasulullah SAW, ” Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat.”

Selain itu, terdapat juga dalil tentang kelebihannya yang membawa maksud:

Kelebihan ayat ini Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak)”. (Lihat: Subul al-Salam, 297/1)

Kepentingan ayatul kursi

Ibnu Kathir dan ulama tafsir banyak membincangkan hal ini. Antaranya dalam ayat ini:

  • Allah membincangkan keesaannya dengan menyatakan segala yang dibumi adalah kepunyaan-Nya dan di bawah pentadbiran-Nya. Allah tidak memerlukan bantuan makhluk untuk mentabdir kerajaan-Nya. Jika kita sedar hakikat ini, kita sepatutnya berasa takut untuk berbuat maksiat kepada Allah.
  • Allah menyatakan kebesaran kekuasan-Nya yang meliputi dunia (yang kita nampak) dan akhirat nanti(yang kita belum nampak).
  • Allah menunjukkan kemanisan Al-Quran jika dibaca dengan memahami maknanya, dan menjadi jalan kita mendekatkan diri dengan Allah.

Kelebihan membaca ayatul kursi

Al-Quran, mukjizat paling agung yang mempunyai banyak ganjaran pahalanya jika seseorang itu membaca. Setiap satu hurufnya menyamai ganjaran sepuluh pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud RA beliau berkata:

“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Antara kelebihan membaca ayat kursi adalah:

  • Sebagai perisai dari gangguan makhluk halus sebelum tidur
  • Terselamat dari terkena sihir, santau, ubat pengasih, penipuan, dan sebagainya
  • Menunjukkan keagungan Allah SWT dengan nama-namanya yang indah
  • Merupakan ayat yang paling agung dalam Al-Quran
  • Mendapat syafaat Al-Quran
  • Mendekatkan diri dengan rahmat Allah SWT
  • Allah SWT akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.

Kesimpulan

Walaupun ayat kursi ini mempunyai ayat yang pendek tetapi ia mempunyai pelbagai manfaat yang berguna untuk kehidupan dunia dan akhirat. Kita disunatkan membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas menunaikan solat fardhu berdasarkan nas atau hadis yang terkandung di dalamnya. Sebagai umat Islam, kita haruslah membaca, memahami, dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran yang telah diwahyukan sebagai panduan sehingg akhir zaman.

Rujukan

  1. Rahsia Ayat Kursi (Februari, 2013). Kerana Kasih Nabi, penulis Ustaz Roslan Mohamed. Dari, http://keranakasihnabi.blogspot.com/2013/02/rahsia-ayat-kursi-1-tanyalah-ustaz.html
  2. Digelar Penghulu Segala Ayat Al-Quran, Ini 5 Kelebihan Ayat Kursi Yang Perlu Kita Amalkan (July, 2021). Sirap Limau, dari https://siraplimau.com/kelebihan-ayat-kursi/
  3. Amalkan ayat Kursi elak gangguan kerana syaitan datang dalam pelbagai bentuk semata-mata nak sesatkan anak Adam! (Februari, 2022). MStar, dari https://www.mstar.com.my/xpose/ad-din/2022/02/11/amalkan-ayat-kursi-elak-gangguan-kerana-syaitan-datang-dalam-pelbagai-bentuk-semata-mata-nak-sesatkan-anak-adam
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113