Kenapa Tumbuh Bisul? Ini Cara Menghilangkannya Dengan Selamat

Aduh, sakitnya kalau tumbuh bisul! Kondisi ini berlaku apabila folikel rambut anda dijangkiti bakteria sehingga munculnya nanah di bawah permukaan kulit.

Selalunya, bisul akan tumbuh berwarna merah kebiru-biruan. Rasanya juga lembut pada sentuhan. Ia juga akan tumbuh pada kawasan muka, belakang leher, ketiak, peha dan juga punggung.

Masalah ini bukanlah petanda masalah kesihatan yang serius. Malah, ia juga boleh dirawat sendiri rumah. 

Walaupun begitu, elakkan memicit atau memecahkan bisul tersebut jika anda tidak mahu jangkitan berjangkit ke kawasan lain.

Mengapa kita tumbuh bisul?

bisul

Kebanyakan orang yang mempunyai bisul sebenarnya bukanlah pengotor. Malah, ramai yang menjaga kebersihan namun tetap dijangkiti.

Namun, mereka yang sering dijangkiti mempunyai sejenis bakteria pada kawasan kulit mereka. 

Bakteria yang dikenali sebagai Staphylococcus aureus ini ada pada 10% hingga 20% manusia di dunia.

Jika ada sebarang luka atau calar pada kawasan badan, bakteria ini boleh masuk ke dalam badan dan bertindak menjangkiti folikel rambut pada kulit. 

Kemudian, bisul akan tumbuh dan mungkin kekal sekurang-kurangnya selama 10 hari.

Walaupun kebanyakan orang yang mempunyai jangkitan ini tidak menghidap sebarang penyakit, ada juga individu dengan penyakit tertentu seperti anemia, diabetes atau kekurangan zat besi yang lebih berisiko untuk tumbuh bisul.

Tanda-tanda

Bisul boleh tumbuh pada mana-mana bahagian kulit. 

Pun begitu, bahagian yang banyak berpeluh dan mengalami geseran mempunyai risiko yang paling besar.

Antara tanda-tanda bisul ialah:

  1. Muncul ketulan yang berwarna merah, pedih dan menyakitkan. Ketulan ini pada mulanya bersaiz kecil, lama-kelamaan ia akan membesar sehingga 5 sentimeter atau lebih.
  2. Kulit berwarna merah atau ungu di sekeliling ketulan tersebut.
  3. Ketulan akan menjadi lebih besar kerana ia akan dipenuhi oleh nanah.
  4. Seperti jerawat, jangkitan ini juga boleh pecah dan mengeluarkan nanah yang berwarna kuning.

Faktor risiko

bisul

Semua orang boleh mengalami bisul. Walau bagaimanapun, ada beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko anda:

  1. Kontak rapat dengan orang yang menghidap bisul. Jika ada ahli keluarga atau sahabat anda yang mempunyai jangkitan ini, anda lebih berisiko untuk menghidap jangkitan yang sama.
  2. Diabetes. Penyakit ini boleh menyebabkan badan anda sukar untuk melawan jangkitan, termasuklah jangkitan bakteria.
  3. Masalah kulit yang lain. Ekzema dan jerawat membuatkan masalah ini lebih mudah terjadi kerana kedua-dua kondisi ini boleh merosakkan permukaan kulit.
  4. Imuniti yang lemah. Jika sistem imun anda lemah, anda lebih berisiko untuk menghidap masalah ini.

Bila anda perlu berjumpa doktor?

  1. Apabila anda demam.
  2. Nodus limfa mula membengkak.
  3. Sakit menjadi semakin teruk.
  4. Bisul tidak sembuh-sembuh.
  5. Bisul kedua muncul.
  6. Anda mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, masalah sistem imun, atau sedang mengambil ubat yang mengekang sistem imun badan.

Bisul tidak memerlukan rawatan kecemasan. Walau bagaimanapun, jika anda demam, pastikan anda mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Bakteria daripada jangkitan tersebut boleh memasuki salur darah dan bergerak ke bahagian badan yang lain.

Jangkitan ini turut dikenali sebagai keracunan darah atau sepsis.

Ia juga boleh menyebabkan jangkitan jauh di dalam badan seperti jangkitan pada jantung (endocarditis) atau jangkitan tulang (osteomyelitis).

Cara mencegah bisul

bisul

Sukar untuk mencegah masalah ini, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai sistem imun yang lemah. 

Walau bagaimanapun, jangkitan bakteria Staphylococcus aureus ini boleh dielakkan dengan cara:

  1. Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun. Atau gunakan hand sanitizer yang berasaskan alcohol.
  2. Tutup kawasan luka. Jangan biarkan ia terdedah kepada persekitaran untuk mengelakkan sebarang jangkitan.
  3. Jangan kongsi barang bersama orang lain. Elakkan berkongsi tuala, alas tilam, pencukur, baju, dan barang personal yang lain. Jangkitan bakteria boleh menjangkiti orang lain melalui perkongsian barang.

Apa yang anda boleh lakukan untuk merawat menghilangkan bisul?

Menurut NHS, antara langkah first aid yang boleh anda lakukan untuk memastikan bisul cepat sembuh ialah:

  1. Rendam kain ke dalam air hangat dan lekapkan kawasan terjejas 4 kali sehari selama 10 minit.
  2. Basuh kawasan sekeliling dengan sabun anti bakteria.
  3. Tutup kawasan tersebut dengan balutan sehingga sembuh.
  4. Mandi setiap hari dan basuh tangan sekerap mungkin.
  5. Basuh tuala setiap minggu dengan suhu yang tinggi.
  6. Cuba kurangkan berat badan jika anda mempunyai berat badan berlebihan dan sering tumbuh bisul pada kawasan kulit.
  7. Jangan picit.
  8. Elakkan kawasan awam seperti kolam atau gimnasium jika dijangkiti.

Kesimpulan

Jika anda mempunyai masalah ini, anda boleh merawatnya dengan mudah di rumah. Ikuti sahaja tip first aid kami di atas supaya bisul tersebut cepat sembuh.

Walau bagaimanapun, jika ia tumbuh dengan banyak dan mula menjangkiti bahagian lagi, pastikan anda berjumpa doktor dengan segera. Ikut nasihat doktor sehingga luka sembuh.

Jika luka dijangkiti semula, berjumpa doktor untuk pemeriksaan sekali lagi.

Rujukan

  1. NHS UK. https://www.nhs.uk/conditions/boils/
  2. Mayo Clinic. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/boils-and-carbuncles/symptoms-causes/syc-20353770
  3. Medicine.Net. https://www.medicinenet.com/boils/article.htm
  4. Dermnetz. https://dermnetnz.org/topics/boil

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: