Kipas siling anda berputar perlahan? Kelajuan maksimum pun masih rasa panas? Hah, ini lah masanya untuk bersihkan kipas siling anda!

Bila kipas dah mula perlahan dan angin yang dihasilkan pun dah berkurang, itu tandanya kipas perlu dibersihkan kerana habuk-habuk yang melekat pada bilah kipas menyebabkan putaran kipas menjadi perlahan.

Tapi nak bersihkan kipas siling ni banyak kerja. Dahlah tinggi, lepas bersihkan kipas nak kena bersihkan lantai pulak sebab habuk-habuk mestilah jatuh ke lantai kan. Hm. 

Eh jangan khuatir. Untuk artikel kali ni, kami akan kongsikan cara membersihkan kipas siling dengan mudah dan cepat. Yang paling penting, tanpa mengotorkan ruang dalam rumah. 

Jom baca!

Cara Bersihkan Kipas Siling Dengan Mudah Dan Cepat

Biasanya, kita perlukan banyak masa untuk membersihkan kipas termasuk masa untuk membersihkan ruangan yang kotor akibat habuk. Tetapi kini tidak lagi. 

Bahan-bahan yang anda perlukan ialah:

  • Cuka
  • Sarung bantal lama (beberapa helai)
  • Tangga (sekiranya perlu)

Mari ikuti cara-caranya dibawah:

Pertama sekali, anda perlu sediakan satu atau dua sarung bantal lama yang tidak dipakai. Nak sedia lebih pun boleh. 

Kemudian, ambil cuka dalam 2 sudu besar macam tu dan campurkan sedikit air biasa. Masukkan ke dalam botol spray untuk memudahkan anda. 

Cuka mempunyai sifat berasid dan antibakteria. Oleh itu, ia sering digunakan sebagai agen pembersih kerana dapat menanggalkan kekotoran dengan berkesan. Cuka juga boleh digantikan dengan agen pencuci lain seperti sabun pencuci.

Seterusnya, semburkan cuka ke bahagian dalam sarung bantal lama yang  anda telah sediakan.  Sembur secukupnya hingga sarung bantal tersebut agak lembab. Jangan sampai basah atau air menitik ya.

Setelah itu, sarungkan sarung bantal yang lembab tadi pada bilah kipas pertama. Sekiranya perlu, gunakan tangga. Bila dah sarungkan, inilah masanya untuk anda kesatkan habuk-habuk pada kipas hingga tertanggal. Tarik dari hujung ke hujung bilah kipas sehingga semua habuk tertanggal. 

Fungsi sarung bantal itu adalah untuk membolehkan habuk-habuk yang ada di kipas jatuh dan terperangkap di dalam sarung bantal. Jadi, habuknya tidak akan berterbangan dan tidak mengotorkan ruang rumah anda. 

Ulang langkah tersebut untuk semua bilah kipas. Siap!

Amacam, mudahkan? 

Jangan lupa cuci sarung bantal yang digunakan tadi supaya ia boleh digunakan semula untuk proses mencuci seterusnya. 

Tips Elakkan Kipas Siling Cepat Berhabuk 

Setelah siap membersihkan kipas tadi, anda boleh semburkan pelembut kain (softener) yang dicampurkan dengan air ke bilah kipas yang telah dibersihkan. Nisbah campuran adalah 1:1:1 untuk setiap bahan. 

Biarkan kering sekejap dan lap perlahan. Kesan cuka dan softener tadi membuatkan habuk susah nak lekat. 

Nak tahu ke tidak tips yang diberi, boleh cuba dulu ya. Selamat mencuba!

Kredit: Siraplimau.com

Leave a comment

Your email address will not be published.