Kulit Terbakar Sebab Berjemur Terlalu Lama? Ini 5 Cara Hilangkan Sunburn Dengan Cepat!

Alamak, kulit terbakar sebab terlalu lama berjemur di bawah terik matahari? Ada ke cara hilangkan sunburn yang cepat dan berkesan? Jika anda sedang panik dan sedang mencari solusi pantas, anda berada di tempat yang betul!

Selaran matahari bukan sahaja boleh merosakkan tona kulit, ia juga boleh menyebabkan kulit kita jadi sakit, pedih dan kemerah-merahan.

Mungkin anda telah memakai pelindung matahari setiap hari, tetapi wajah anda masih lagi sakit dan pedih, terutamanya jika anda terpaksa berdiri di bawah cahaya matahari dalam tempoh masa yang panjang.

Apa-apapun, jangan risau. Ada banyak cara hilangkan sunburn dalam masa yang singkat.

Salah satu caranya adalah dengan berteduh di dalam bangunan! Namun, jika kulit anda terus rasa sakit dan pedih, mari ikuti 5 tip atasi sunburn dalam artikel kami di bawah.

5 Cara hilangkan sunburn

Kulit kita boleh terbakar jika kita terdedah terlalu lama di bawah panas terik mentari. Tanpa sebarang perlindungan, selaran matahari boleh membuatkan kulit kita bertukar kemerah-merahan dan rasa pedih apabila disentuh.

Tetapi, berapa lamakah selaran kulit akan sembuh? Jika sunburn tersebut serius, ia akan memakan masa yang lebih lama untuk sembuh.

Selalunya, selaran matahari biasa akan pulih dalam masa beberapa hari. Namun, untuk kes yang lebih teruk, ia mungkin makan masa berminggu-minggu.

Perkara pertama yang anda perlu lakukan apabila kulit mula sakit dan pedih ialah berteduh di kawasan yang redup. Kalau boleh, masuk ke dalam bangunan atau rumah secepat mungkin.

Menurut American Academy of Dermatology Association, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk menghilangkan kesan selaran matahari:

1. Mandi sebentar untuk sejukkan badan

cara hilangkan sunburn

Selepas berpanas di bawah sinaran matahari, pastikan anda mandi untuk kurangkan rasa pedih pada kulit. Kemudian, lap kulit dengan tuala bersih. Semasa kulit masih lagi lembap, sapukan moisturizer pada badan untuk mengekang kelembapan pada kulit.

Jika anda tidak ada masa untuk mandi, cuba lapkan kain basah pada badan untuk kelegaan pantas. Kemudian, sapukan pelembap pada badan. Pakai pakaian yang nipis dan dapat memberikan pengudaraan yang baik.

2. Gunakan pelembap yang mengandungi aloe vera

Jika kulit anda masih lagi rasa tidak selesa, gunakan pelembap yang mengandungi aloe vera. Aloe vera dapat mengurangkan rasa pedih dan iritasi yang berlaku disebabkan selaran matahari – semuanya disebabkan sejenis bahan yang dikenali sebagai aloin.

Namun, jika anda tidak mempunyai pilihan lain, cuba beli pelembap yang mengandungi minyak soya. Pelembap yang dirumus khas untuk kulit yang terdedah kepada selaran matahari juga sesuai untuk digunakan.

3. Minum lebih banyak air sebagai cara hilangkan sunburn

cara hilangkan sunburn

Selaran matahari akan menyebabkan kulit menjadi kering. Jadi, untuk elakkan dehidrasi, pastikan anda minum lebih banyak air.

Semua orang perlukan air dalam jumlah yang berbeza-beza. Namun, kebanyakan wanita perlu minum sekurang-kurangnya 11.5 cawan air sehari, manakala lelaki pula 15.5 cawan.

Jika anda terdedah pada panas terik mentari, cuba minum lebih banyak air daripada biasa. Tetapi, jangan pula sampai hendak termuntah pula ya!

4. Jangan kopek kulit jika terluka

Jika kulit anda terluka, jangan sesekali kopek kulit anda. Jika tidak, anda lebih berisiko untuk mengalami jangkitan kuman.

Selain itu, kudis yang terbentuk juga akan menjadi satu ‘lapisan pelindung’ yang membantu kulit untuk sembuh dengan lebih cepat.

Walau bagaimanapun, lapisan kudis ini boleh tercabut dengan sendirinya. Jika ini yang berlaku, cuba basuh kawasan luka dengan sabun dan air. Kemudian, letakkan krim antibiotik sebelum membalutnya dengan kain.

5. Cara hilangkan sunburn: Jaga kulit anda dengan baik

cara hilangkan sunburn

Jika anda kerap mengalami selaran matahari, satu-satunya cara untuk hilangkan sunburn adalah dengan memakai krim pelindung matahari! Pakai krim ini sepanjang hari walaupun pada hari redup dan hujan.

Jika anda terpaksa berada di luar untuk masa yang panjang, sapukan pelindung matahari setiap 2 jam sekali. Pakai pakaian yang boleh melindungi anda daripada sinaran UV untuk mengelakkan selaran matahari yang teruk.

Kesimpulan

Walaupun sunburn nampak seperti satu kondisi yang boleh dirawat, kulit manusia boleh rosak jika terlalu banyak menerima sinaran UV.

Malah, risiko kanser kulit juga akan meningkat jika anda berjemur di bawah panas terik matahari tanpa sebarang perlindungan.

Sebab itulah, penting untuk anda melindungi diri daripada sinaran matahari. Pakai pakaian yang menutup kulit dan jangan lupa sapukan pelindung matahari jika perlu keluar rumah.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: