Bila sebut sahaja tentang kolesterol, ramai yang gerun dengannya kerana menganggap ia menjadi punca bagi pelbagai penyakit. Namun, kolesterol sebenarnya mempunyai fungsi penting bagi badan.

Antara fungsi kolesterol adalah untuk membuat cecair hempedu yang dihasilkan oleh hati. Ia adalah amat penting untuk melindungi saraf, membina sel-sel badan yang baru serta penghasilan hormon tertentu.

Namun, ia boleh mendatangkan masalah apabila tahap kolesterol didapati tinggi. Ia boleh menjejaskan kesihatan dalam pelbagai cara terutamanya masalah jantung serta peningkatan berat badan.  

DI samping itu, masalah kolesterol tinggi juga boleh dialami oleh sesiapa tanpa mengira usia dan jantina.

Baca Juga ; Diet Keto: Panduan Ringkas Serta Manfaatnya Terhadap Kesihatan

Apa Itu Kolesterol ?

Kolesterol adalah sejenis lemak yang diperlukan oleh tubuh untuk bekerja dengan baik. Selain mendapatkannya dari makanan, badan juga boleh hasilkan kolesterol sendiri.

Jenis kolesterol iaitu kolesterol baik dan buruk boleh memberi kesan pada tahap kesihatan seseorang.

Bagi memberikan kebaikan maksima pada fungsi badan, tahap kolesterol dalam darah perlulah berada dalam keadaan optimum.

Gejala Kolesterol Tinggi

Berdasarkan portal MyHealth, kebanyakan orang dengan kolesterol tinggi tidak mempunyai sebarang gejala. Namun, pesakit mungkin boleh menunjukkan beberapa simptom seperti berikut :

  • Sakit dada atau rasa sakit pada bahagian betis apabila berjalan pada jarak tertentu.
  • Mengalami strok atau mini strok akibat pendarahan atau pembentukan darah beku di bahagian tertentu otak.
  • Xanthoma iaitu ketulan kuning pada kulit terutamanya di sekitar mata. Ketulan kuning ini terbentuk akibat pengumpulan lemak sehingga menyebabkan kolesterol tinggi dalam darah.
Kredit : narayanahealth.org

Cara Kurangkan Kolesterol

Untuk kurangkan kolesterol secara semulajadi, anda boleh lakukan beberapa pengubahsuaian dalam pilihan makanan serta gaya hidup. Antara cara kurangkan kolesterol yang anda boleh praktikkan adalah seperti berikut :

1. Pilih Lemak Tak Tepu

Berbanding lemak tepu, lemak tak tepu dapat mengurangkan risiko salur jantung tersumbat. Ia juga dilihat merupakan pilihan yang lebih sihat kerana dapat mengurangkan tahap kolesterol jahat serta pengoksidaan yang tidak baik untuk badan.

Antara sumber makanan yang mengandungi lemak tak tepu adalah seperti berikut :

  • Minyak zaitun
  • Kekacang seperti badam dan gajus
  • Minyak canola
  • Avokado
  • Mentega kacang

2. Ambil Makanan Tinggi Omega-3

Omega-3 juga merupakan sejenis lemak tak tepu yang baik untuk menggantikan makanan tinggi kolesterol di samping baik untuk kesihatan jantung. Ia boleh didapati melalui makanan laut dan supplemen minyak ikan.

Khasiat Omega-3 boleh didapati dalam beberapa jenis ikan seperti :

  • Ikan kembung
  • Ikan salmon
  • Ikan tuna

3. Elakkan Lemak Trans

Lemak trans juga boleh tingkatkan kadar kolesterol dalam badan. Kajian juga mendapati pengambilan lemak trans secara berlebihan merupakan salah satu penyumbang kepada penyakit jantung tersumbat.

Antara makanan tinggi lemak trans yang perlu dielakkan adalah :

  • Marjerin
  • Pastri serta produk berasaskan roti dan kek
  • Makanan segera
  • Krimer bukan tenusu

4. Lebihkan Pengambilan Serat Larut

Kajian mendapati pengambilan serat larut dapat membantu pembiakan bakteria baik. Bakteria baik yang dikenali sebagai probiotik ini juga dapat mengurangkan paras kolesterol.

Antara sumber serat larut terbaik boleh didapati dari makanan berikut :

  • Oat
  • Kekacang
  • Buah-buahan
  • Sayur-sayuran

5. Amalkan Senaman

Senaman adalah satu lagi cara kurangkan kolestrol yang anda boleh praktikkan. Ia bukan sahaja membantu anda untuk mendapatkan berat badan yang ideal, malah ia juga membantu dalam mengurangkan kolesterol secara berkesan.

 Di samping itu, berat badan yang ideal juga dapat mencegah diri anda dari pelbagai penyakit termasuk kolesterol tinggi.  

6. Tambahkan Bawang Putih Dalam Makanan

Bawang Putih  bukan sahaja berfungsi dalam membangkitkan rasa dalam juadah, malah ia juga didapati dapat membaiki tahap kolesterol dalam badan.

Kajian mendapati pengambilan setengah ke 1 ulas bawang putih setiap hari dapat merendahkan paras kolesterol sehingga 9%.

7. Berhenti Merokok

Merokok bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang manfaat, malah ia juga boleh memburukkan lagi tahap kesihatan jantung, paru-paru serta paras kolesterol dalam darah. Oleh itu, berhentilah merokok demi kebaikan anda sendiri.

Jika anda didiagnos menghidap kolesterol tinggi, teruskan ambil ubat seperti yang disarankan doktor.

Selain itu, anda boleh lakukan beberapa perubahan dalam diet harian serta amalkan senaman supaya badan lebih sihat serta terhindar daripada pelbagai penyakit termasuk masalah kolesterol tinggi.

Sumber ; MyHealth, Healthline

Leave a comment

Your email address will not be published.