Doa Nabi Yunus: Penawar Kesusahan & Kesempitan Hidup (Mustajab)

Doa paling mustajab keluar dari kesusahan & kesempitan hidup manusia.

Inilah doa Nabi Yunus yang dibacakan ketika baginda berada dalam perut ikan Nun.

Kesusahan, dan kesempitan adalah adunan fitrah hidup yang menjadi sebatian dalam kehidupan manusia.

Tidak ada yang terlepas dari ujian kerana kita hanyalah sekadar pemain takdir di muka bumi ini, dan pengatur segalanya adalah Allah Maha Esa.

Makna susah bagi setiap orang itu berbeza-beza. Ada yang susah dari segi ekonomi, ada yang susah dalam mencari jodoh, dan ada juga yang susah dalam proses penghijrahannya menjadi lebih baik.

Walau bagaimanapun, agama Islam menyediakan panduan yang cukup lengkap untuk memandu kita supaya tidak lemah dalam menghadapi cubaan dalam hidup.

Zikir contohnya, mengandungi kelebihan yang banyak jika kita istiqamah dalam mengamalkannya sehingga terkeluar daripada kesusahan, dan bencana.

Apakah itu doa Nabi Yunus?

Nabi Yunus adalah 25 Nabi yang wajib kita ketahui.

Terdapat satu doa khusus mengenai baginda yang kenali sebagai doa Nabi Yunus atau zikir Nabi Yunus.

Doa ini dibaca ketika baginda sedang berada dalam perut ikan nun.

Asbab dengan izin Allah SWT setelah membaca doa ini, Nabi Yunus telah diselamatkan, sehingga membolehkannya keluar dari perut ikan yang menelannya.

Kisah tersebut diceritakan di dalam surah al-Anbiya’ ayat 87 dan 88:

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (٨٧) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنْجِي الْمُؤْمِنِينَ )(٨٨

Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” – (Surah al-Anbiya, ayat 87)

“Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).” – (Surah al-Anbiya, ayat 88)

Intipati dari doa terbaik adalah doa yang mengandungi elemen tauhid, tasbih, dan istighfar.

Doa Nabi Yunus ada mengandungi ketiga-tiga komponen ini. Ini sekaligus akan menzahirkan diri kita adalah sebagai seorang hamba yang sangat memerlukan Tuhan yang Esa.

Dalil tentang doa ini

Daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA juga ada menyatakan bahawa Nabi SAW ada bersabda:

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ

Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Bacaan doa Nabi Yunus

“La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz zalimin”

Maksudnya: ““Tiada tuhan selain Engkau. Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim” – (Surah Al-Anbiya’, ayat 87)

Fadhilat doa Nabi Yunus

1. Diampunkan dosa, dan dikeluarkan daripada kesulitan

Dari kisah Nabi Yunus AS, baginda menghadapi kesulitan dalam tiga kegelapan iaitu kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan di dasar lautan, dan kegelapan malam. Namun dengan izin Allah SWT setelah baginda membaca doa itu, baginda telah dikeluarkan dari perut ikan, dan selamat.

Dalam surah As-Soffat ayat 143 dan 144, Allah menyatakan:

Maksudnya: “Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah dia (Nabi Yunus) akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.”

2. Dimakbulkan doa.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, RasulullahSAW berpesan bahawa sesiapa yang berdoa dengan doa Nabi Yunus ini, maka Allah akan memperkenankan doa mereka. Sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak ada muslim yang berdoa dengannya untuk apa saja (hajatnya), melainkan akan dimakbulkan Allah doanya itu.”- (Hadis Riwayat Ahmad, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir)

Syarat melafazkan istighfar

Dari Imam Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Bari, beliau ada menukilkan beberapa syarat istighfar antaranya seperti:

  • Niat yang benar
  • Tawajjuh (menghadap diri hanya kepada Allah SWT)
  • Beradab (menjaga adab)

Kesimpulan

Yakinlah Allah SWT tidak pernah terlena melihat kita di dunia ini sama ada untuk perkara yang zahir atau batin. Jika permintaan Iblis yang ingkar pun Allah SWT makbulkan, inikan pula kita hamba Nya yang kekurangan. Oleh yang demikian, jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Rujukan

  1. Al-Kafi #581: Istighfar Nabi Yunus. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/936-al-kafi-578-istighfar-nabi-yunus
  2. Jika Alami Kemurungan, Amalkan Segera Doa Nabi Yunus. Ayatnya Pendek Tapi Manfaatnya Sangat Luar Biasa. Kashoorga dari, https://www.kashoorga.com/untuk-yang-alami-kemurungan-amalkan-segera-doa-nabi-yunus-ayatnya-pendek-tapi-manfaatnya-sangat-luar-biasa/
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113