Definisi “qunut” dalam Bahasa Arab beerti berdiri lama, taat, doa dan khusyuk. Dalam istillah pula ia bermaksud sesuatu doa yang dibaca oleh seorang muslim di dalam solat ketika sedang berdiri.

Dalam artikel kali ini, kita akan membincangkan dengan lebih teliti tentang doa qunut, jenis, bacaannya dalam arab dan rumi, terjemahan makna, serta kelebihan-kelebihan yang boleh diambil ibrah.

Jenis doa qunut

Terdapat tiga jenis doa qunut yang kita boleh ketahui iaitu doa qunut subuh, doa qunut nazilah, dan doa qunut witir.

Qunut subuh biasa dibaca ketika solat subuh tidak kiralah berjemaah atau bersendirian. Ia dibaca pada rakaat kedua selepas i’tidal sebelum sujud.

Qunut nazilah dibaca ketika solat semasa sesuatu bencana berlaku. Contohnya ketika mula-mula negara dilanda virus pandemik yang dahsyat sehingga mengakibatkan “lockdown” dan sebagainya. Kebanyakkan imam di masjid di setiap negeri digalakkan untuk membaca doa qunut nazilah ketika melaksanakan setiap solat fardhu berjemaah. Ia dibaca pada rakaat terakhir, selepas bangun dari rukuk untuk i’tidal.

Manakala untuk qunut witir pula, ia selalu menjadi amalan sunat di separuh akhir Ramadan ketika solat witir 1 rakaat. Perlaksanaannya juga sama dengan mana-mana doa qunut yang lain.

Dalil tentang doa qunut subuh

Berkenaan dengan doa qunut subuh, ada sesetengah orang tidak membacanya contohnya ketika kita solat berjemaah di Mekah Al-Mukaramah, imam tidak akan mengalunkan doa ini. Tetapi rata-rata negeri di Malaysia, melafazkan doa qunut ini pada setiap solat subuh berjemaah.

Tiada perselisihan pendapat sama ada Nabi SAW membaca atau tidak doa ini ketika subuh kerana memang di sepanjang hayat baginda, baginda pernah berdoa qunut dalam solat subuh.

Cuma terdapat khilaf, sama ada Rasulullah SAW membacanya kerana musibah yang menimpa kaum muslimin, atau baginda memang membacanya setiap kali solat subuh.

Sebahagian ulama mengatakan:

“Tidak ada qunut berterusan dalam solat subuh. Ia hanya dilakukan bersempena musibah, sebagaimana tersebut dalam hadis Anas bin Malik bahawa Nabi SAW qunut dalam solat subuh selama sebulan, berdoa ke atas beberapa kabilah Arab; Zakwan, Ushaiyyah dan lain-lain. “- (Hadis Riwayat Sahih Bukhari dan Muslim)

Pendapat ini dipelopori oleh para fuqaha ahli hadis, dan ia diamalkan oleh khulafa rasyidin.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula berpendapat:

“Sunnah Rasulullah SAW dan para khulafa rasyidin menunjukkan bahawa Qunut hanya disyariatkan ketika sebab-sebab tertentu, dan bukannya dijadikan amalan berterusan.” – (Majmuk Fatawa 23/66).

Mazhab Syafie dan Malik pula mengatakan sunat qunut subuh secara berterusan. Imam Nawawi menisbahkan pendapat ini kepada kebanyakan salaf. – (Majmuk 3/504).

Kita yang berpegang kepada mazhab Syafie, mengamalkan doa qunut secara berterusan di setiap solat subuh.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas RA:

Maksudnya: “Rasulullah SAW sentiasa membaca dia qunut pada solat Subuh sehingga baginda meninggal dunia.” – (Hadis riwayat Ahmad)

Doa qunut subuh berserta rumi

“Allah humah dini fiman hadait. Wa’a fini fiman ‘afait. Watawallani fiman tawalait. Wabarikli fimaa a’tait. Waqinii syarramaa qadhait. Fainnaka taqdhi wala yuqdha ‘alaik. Wainnahu layadziluman walait. Walaa ya’izzuman ‘adait. Tabaa rakta rabbana wata’alait. Falakalhamdu ‘ala maaqadzait. Wa astaghfiruka wa atubu Ilaik. Wa sallahu ‘ala saidina. Muhammadinin nabiyil ummiyi. Waala aalihi wasahbihi wassalam.”

Maksudnya: “Ya Allah berikanlah aku hidayah sebagaimana mereka yang telah Engkau beri hidayah. Berikan kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau berikan kesihatan. Dan peliharalah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau peliharakan. Berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan. Dan selamatkan aku (dengan rahmat Allah) dari bahaya yang telah Engkau tentukan. Maka sesungguhnya, Engkaulah yang menghukum dan bukannya yang kena hukum. Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi. Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi. Maka bagi Engkaulah segala pujian di atas apa yang Engkau hukumkan. Dan kami memohon ampun dari-Mu dan kami bertaubat kepada-Mu. Dan semoga Allah mencurahkan rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarganya.”

Doa qunut nazilah berserta rumi

“Allahumma inna naj ‘aluka fi nuhuri ‘a da inna. Wa na ‘uzu bika min syuru rihim. Allahumma baddid syam lahum wa farriq jam ‘ahum wa syattit kalimata hum. Wa zal zil’aqda mahum. Wa sallit ‘alayhim kalban min kilabik. Ya qahhar, ya jabbar, ya muntaqimu, ya Allahu, ya Allahu, Ya Allah. Allahumma ya mun zilal kitab. Ya mujriyas sahab. Ya hazimal ahzab. Ihzim hum, Ihzim hum, Ihzim hum. Wan shurna ‘Alayhim.”

Maksudnya: “Ya Allah kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami dan kami berlindung denganmu dari kejahatan mereka. Ya Allah hancurkan kumpulan mereka. Ya Allah pecahkan pakatan mereka. Ya Allah leburkan pendirian mereka. Ya Allah musnahkan langkah mereka. Cengkamkan anjing-anjingmu kepada mereka. Ya Allah yang maha memaksa. Ya Allah yang maha perkasa. Ya Allah yang maha membalas. Ya Allahu, ya Allahu, ya Allah. Yang turunkan kitab, yang gerakkan awan, yang tewaskan tentera Ahzab. Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka. Dan kemenangan untuk kami.”

Doa qunut witir beserta rumi

“Wa’a fini fiman ‘afait. Watawallani fiman tawalait. Wabarikli fimaa a’tait. Waqinii syarramaa qadhait. Fainnaka taqdhi wala yuqdha ‘alaik. Wainnahu layadziluman walait. Walaa ya’izzuman ‘adait. Tabaa rakta rabbana wata’alait. Falakalhamdu ‘ala maaqadzait. Wa lakash syukru ‘ala ma an ‘amta bihi wa aw laita. Nas tagh firuka wa natubu ilaika. Allhumma ‘afina wal tufu bina wah fadzna wan suru na wafaraj ‘anna wal mus limin. Allahummak fina wa ayya hum jami ‘ann syarro ma so ibiddunya waddin. Allahumma as lina wa as lih man fi so hi hi so so la hul islami wal muslimin. Allahumma la tuh likna wa ah lik man fi ha la ki hi so la hul islami wal muslimin.”

Bacaan sujud sahwi

Apabila seseorang itu tanpa sengaja telah meninggalkan doa qunut di dalam solat, maka dia disunatkan untuk membuat sujud sahwi setelah membaca tahiyat akhir sebelum salam.

Namun begitu, jika kita tertinggal mana-mana perbuatan dalam solat yang dinyatakan di bawah ini juga disunatkan untuk membaca sujud sahwi:

  • Tertinggal rukun solat
  • Rasa ragu-ragu bilangan rakaat yang telah dibuat
  • Meninggal sunat ab’adh
  • Melakukan apa-apa yang dilarang dalam solat
  • Melaksanakan rukun solat bukan pada tempatnya

Dalil hukum ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Nabi SAW bersolat Zuhur atau Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya; ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’. Nabi SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apakah yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolat rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud’. Katanya: ‘Demikiankah yang dilakukan oleh Nabi SAW.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Subha na man la ya na mu wa la yas hu”

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.”

Kelebihan membacanya

Doa qunut bukan sahaja dibaca kerana ia telah disyariat untuk dilaksanakan. Tetapi doa ini juga terkandung dengan pelbagai kelebihan dan manfaat yang boleh kita hayati bersama. Antara kelebihannya adalah:

  • Menyempurnakan solat dengan baik
  • Terhindar dari bencana, ancaman, penganiayaan, penindasan musuh-musuh Allah dan musuh kaum Muslimin
  • Mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat
  • Mencontohi sunnah Rasulullah SAW 
  • Dimakbulkan doa-doanya yang baik

Kesimpulan

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah Maha Hidup dan Maha Mulia, Dia berasa malu apabila seseorang mengangkat kedua-dua belah tangan kepadaNya dan kembali dalam keadaan kosong tidak membawa hasil. – (Hadis Riwayat Tarmizi)

Dalam doa qunut ini terkandung bermacam-macam permintaan yang baik dari seorang hamba kepada Tuhannya. Maka lazimkanlah diri berdoa dengan cara yang baik khususnya di dalam solat. Semoga dengan usaha itu akan memudahkan lagi doa-doa yang dilantunkan terkabul dengan izin Allah SWT.

Rujukan

  1. Tiga Jenis Doa Qunut dalam Amalan Sunnah Umat Islam (Okt, 2020). Detikedu, dari https://www.detik.com/edu/detikpedia/d-5788654/3-jenis-doa-qunut-dalam-amalan-sunnah-umat-islam
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-327: Mengangkat Tangan Ketika Doa Qunut (Dis, 2018). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dari https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2952-irsyad-al-hadith-siri-ke-327-mengangkat-tangan-ketika-doa-qunut
  3. Kelebihan Membaca Doa Qunut. Sunanofficial dari http://sunanofficial.weebly.com/kelebihan-membaca-doa-qunut.html

Leave a comment

Your email address will not be published.