Gigi Berlubang : Punca, Faktor Risiko, Simptom, dan Rawatan

Gigi berlubang berlaku apabila permukaan gigi rosak sehingga menjejaskan kesihatan gigi.

Masalah ini boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pembiakan bakteria dalam mulut dan tabiat mengambil makanan dan minuman manis.

Sekiranya ia tidak dirawat, lubang boleh menjadi lebih besar dan boleh menyebabkan sakit gigi.

gigi berlubang
Kredit Foto : klikdokter.com

Baca Juga : Cara Hilangkan Sakit Gigi di Rumah Dengan Segera

Punca Gigi Berlubang

Memetik MayoClinic, gigi berlubang berpunca daripada pembentukan plak pada gigi.

Plak yang melekat ini akan bertukar kepada asid dan kemudiannya akan menghakis lapisan enamel gigi.

Faktor Risiko Gigi Berlubang

Gigi berlubang yang juga dikenali sebagai karies atau kaviti merupakan masalah pergigian yang sering dialami oleh semua terutamanya bagi kanak-kanak, remaja dan warga emas.

Terdapat juga beberapa tabiat atau gaya hidup yang membuatkan seseorang lebih berisiko untuk alaminya seperti :

  • Suka mengambil air atau makanan manis.
  • Suka makan makanan masam atau berasid.
  • Kurang menggisok gigi
  • Tidak mendapat mineral florida yang mencukupi
  • Mulut kering
  • Penyakit asid refluks (GERD). Asid perut juga boleh merosakkan gigi
  • Penyakit psikiatri seperti bulimia.

Pesakit bulimia seringkali merasa serba salah apabila makan sehingga membuatkan mereka memuntahkan makanan berulang-ulang kali.

Tindakan ini akan merosakkan gigi akibat kandungan asid dalam muntah.

Simptom Gigi Berlubang

Simptom bagi masalah karies pada gigi adalah berbeza bagi semua dan bergantung kepada ukuran dan lokasi lubang pada gigi.

Jika lubang pada gigi sudah semakin membesar, pesakit akan dapati beberapa simptom seperti :

  • Gigi terasa sensitif
  • Sakit gigi ketika menggigit
  • Gigi rasa ngilu ketika mengambil makanan atau minuman yang manis, sejuk atau panas.
  • Kelihatan lubang jelas pada gigi
  • Kelihatan kotoran berwarna hitam atau coklat pada permukaan gigi
gigi berlubang
Kredit Foto : poltekkes-pontianak.ac.id

Pemeriksaan Bagi Gigi Berlubang

Bagi masalah karies, doktor akan kenalpastinya dengan kaedah pemeriksaan berikut :

  • Doktor akan bertanya kepada anda sekiranya terdapat rasa sakit atau sensitif pada gigi.
  • Pemeriksaan gigi dan mulut secara menyeluruh.
  • Mengambil X-ray gigi yang bermasalah untuk mengenalpasti karies dengan lebih jelas.
gigi berlubang
Kredit Foto : healthline.com

Kaedah Rawatan

Pemeriksaan berkala sangat membantu bagi mengenalpasti kaviti pada peringkat awal di samping mengatasi masalah gigi lain yang lebih parah.

Semakin cepat anda dapatkan rawatan, lebih tinggi peluang untuk gigi bermasalah tersebut untuk diselamatkan.

Rawatan pada peringkat awal juga terjamin lebih ringkas dan murah kosnya.

Oleh sebab itu, rawatan adalah bergantung sepenuhnya kepada tahap keseriusan karies pada gigi.

Antara kaedah rawatan yang dapat mengatasi masalah karies ialah :

Rawatan Florida

Kaedah rawatan ini digunakan bagi karies yang baru sahaja terjadi.

Ia bertindak dengan melindungi enamel (permukaan luar gigi) dengan komponen florida yang lebih kuat berbanding yang terkandung dalam ubat gigi dan ubat kumur.

Florida yang disapu pada permukaan gigi boleh dijumpai dalam bentuk cecair jernih, gel atau varnish.

Kredit Foto : fiddlesticksdental.com

Tampalan

Tampalan merupakan kaedah rawatan yang cukup dikenali bagi mengatasi masalah gigi berlubang.

 Ia biasanya dilakukan bagi merawat karies yang sudah berkembang pada peringkat awal.

Terdapat pelbagai bahan yang boleh digunakan sebagai tampalan seperti resin komposit berwarna (tampalan mengikut warna gigi), porcelain dan amalgam (tampalan berwarna besi).

gigi berlubang
Kredit Foto : silversummitdental.com

Crown

Bagi masalah gigi berlubang dan rosak teruk, doktor akan mensarankan rawatan Crown.

Dalam rawatan ini, doktor akan menyingkirkan kawasan berlubang pada gigi dan menyediakan gigi anda sebagai tapak asas bagi Crown.

 Kemudian, doktor akan menampalkan Crown dengan saiz custom secara kekal di atas gigi asal anda.

Crown juga boleh diperbuat daripada pelbagai bahan seperti emas, resin dan porcelain.

gigi berlubang
Kredit Foto : lowcountryfamilydentistry.com

Rawatan Akar

Apabila gigi berlubang sudah menjangkau ke sistem saluran darah dan saraf gigi (pulp), ini akan menyebabkan rasa sensitif, jangkitan kuman atau sakit gigi yang agak serius.

 Bagi mengatasi masalah ini, doktor akan sarankan rawatan akar untuk menyelamatkan gigi yang sudah berlubang jauh menghampiri akar gigi.

 Kaedah ini juga dapat mengelakkan gigi anda daripada dicabut.

 Dalam kaedah ini, salur darah yang sudah dijangkiti kuman akan dibuang dan digantikan dengan tampalan dalam gigi.

Kredit Foto : imperialdsc.com

Cabut Gigi

Gigi yang sudah berlubang teruk tidak dapat ditampal dan perlu dicabut.

Gigi yang dicabut perlulah diganti segera dengan rawatan gigi palsu kekal seperti bridge atau implant atau gigi palsu biasa yang boleh dipasang dan dibuka.

 Ini bagi mengelakkan gigi bergerak pada ruang kosong sehingga menyebabkan gigi jarang.

Komplikasi Gigi Berlubang

Sekiranya tidak dirawat, karies boleh menyumbang kepada komplikasi seperti :

  • Kesukaran ketikan mengunyah makanan
  • Rasa sakit gigi yang berterusan
  • Gigi pecah atau tercabut
  • Bengkak atau tumbuh nanah pada kawasan gigi berlubang akibat jangkitan kuman

Cara Mencegah Gigi Berlubang

Bagi mencegah masalah ini, anda boleh amalkan penjagaan gigi secara sihat seperti berikut :

  • Kurangkan makan snek
  • Kurangkan pengambilan makanan dan minuman manis
  • Berus gigi 2 kali sehari dengan ubat gigi berflorida
  • Amalkan flos di celah-celah gigi untuk menyingkirkan sisa makanan
  • Buat pemeriksaan gigi secara berkala sekurang-kurangnya 2 kali setahun

Selain itu, anda juga digalakkan untuk mengamalkan makanan dan minuman yang baik untuk kesihatan gigi dan tubuh seperti :

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran berkhasiat
  • Makanan dan minum tinggi kalsium seperti susu dan keju
  • Banyakkan minum air kosong dan elakkan minuman manis

 Sumber :

Cavities/tooth decay

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cavities/symptoms-causes/syc-20352892

Gigi Berlubang: Punca, Simptom dan Rawatan

https://thediagnosa.com/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85