Kalori Makanan: Kepentingan, Cara Mengira Dan Tip Untuk Pemula

Keliru mengenai kalori makanan? Tertanya-tanya sama ada kalori makanan ini sebenarnya baik atau buruk? Jangan runsing ya. Untuk pengetahuan anda, kalori merupakan satu unit tenaga. Setiap aktiviti yang kita lakukan, termasuklah tidur, memerlukan tenaga.

Tetapi, daripada manakah datangnya tenaga? Sudah tentulah daripada makanan yang kita makan.

Semua jenis makanan – sama ada protein, lemak, karbohidrat atau gula, mempunyai jumlah kalorinya yang tersendiri. Kalori ini akan dibakar oleh badan untuk ditukarkan menjadi tenaga.

Sama seperti petrol untuk kereta, badan kita memerlukan tenaga untuk bergerak.

Namun, mengambil terlalu banyak makanan dengan kalori yang tinggi hanya akan membawa mudarat kepada diri. Makanan yang tidak dibakar akan bertukar menjadi lemak dan membuatkan berat badan kita bertambah!

Sebab itulah, ramai yang salah anggap mengenai kalori. Walaupun makanan tinggi kalori boleh menyebabkan masalah kesihatan, kita masih perlukannya untuk terus hidup.

Apa yang penting, kita haruslah sentiasa bersederhana dalam pemakanan.

Faktor yang mempengaruhi keperluan kalori seseorang

kalori makanan

Semua orang mempunyai keperluan kalori yang berbeza mengikut ketinggian, umur dan jantina. Malah, mereka yang menghidap penyakit tertentu juga mungkin perlu mengambil diet dengan keperluan kalori tertentu.

Jika anda mempunyai saiz badan yang besar dan tinggi, anda mungkin perlukan lebih banyak tenaga berbanding mereka yang kurus dan rendah.

Lelaki juga perlu makan lebih banyak kerana badan mereka terdiri daripada jisim otot yang lebih tinggi berbanding wanita.

Selain itu, orang yang selalu bersenam juga akan membakar lebih banyak kalori. Jadi, mereka perlukan lebih banyak tenaga berbanding individu yang tidak bersenam.

Sebab itulah, jika anda ingin berdiet, senaman merupakan satu komponen yang sangat penting. Dengan bersenam, anda boleh makan lebih banyak namun tetap mengalami penurunan berat badan.

Antara faktor yang mempengaruhi keperluan kalori seseorang:

  1. Berat.
  2. Ketinggian.
  3. Umur.
  4. Jantina
  5. Jisim otot.
  6. Tahap kesihatan diri.
  7. Suhu persekitaran.
  8. Jumlah senaman yang dilakukan.
  9. Kehamilan.

Menurut NHS, secara purata, seorang lelaki perlukan lebih kurang 2500 kalori sehari untuk mengekalkan berat badan yang normal.

Wanita pula perlukan lebih kurang 2000 kalori sehari. Namun, jumlah ini mungkin berbeza mengikut umur, saiz badan dan kecergasan individu.

Periksa kalori makanan

kalori makanan

Jika anda ingin menurunkan berat badan, pastikan anda periksa kalori makanan sebelum makan. Sepinggan nasi lemak selalunya mempunyai sekitar 400 kalori. Sebungkus teh ais pula mungkin mengandungi sekitar 140 kalori.

Tahukah anda, anda perlu berbasikal selama 1 jam atau berlari selama 40 minit untuk membakar 400 kalori? Sebab itulah, anda perlu berhati-hati ketika makan, terutamanya jika anda ingin menurunkan berat badan.

Anda boleh periksa kalori makanan di belakang pembungkus. Informasi ini tertulis di bawah kolum ‘tenaga’. 1000 kalori bersamaan 1000 kcal. Jadi, anda boleh agak berapa banyak yang anda perlu makan untuk pastikan jumlah kalori makanan yang diambil tidak melebihi target.

Walau bagaimanapun, mengira kalori makanan bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh sebab itu, sebagai anggaran, anda boleh gunakan ‘calorie counter’ atas talian atau muat turun aplikasi sebagai panduan.

Kalori dalam makanan

Tahukah anda, makanan yang berbeza membekalkan kalori yang berbeza? Ada makanan yang kaya dengan nutrien, namun ada juga makanan yang mengandungi 0 kalori!

Di bawah, kami akan menerangkan perbezaannya secara mudah:

  1. Makanan kalori kosong atau empty calories: Makanan ini tidak mempunyai nilai nutrisi sebagai contoh, biskut, gula-gula, alkohol dan juga kek.
  2. Makanan kaya dengan nutrien: Makanan jenis ini mengandungi vitamin, mineral dan nutrien yang penting untuk tumbesaran badan. Antara makanan yang kaya dengan nutrien ialah buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, ikan dan daging.
  3. Makanan mengandungi nutrien makro: Semasa makan, anda perlulah menimbang sama ada makanan tersebut mengandungi 3 makronutrien ini iaitu karbohidrat, protein dan lemak.

5 Tip mudah bagi pemula

kalori makanan

Bagi mereka yang baru mula berdiet atau mengira kalori makanan, ada beberapa tip yang mungkin dapat membantu:

  1. Lakukan persediaan: Sebelum mula berdiet, muat turun aplikasi mengira kalori.
  2. Baca label makanan: Label makanan mempunyai banyak informasi mengenai pengiraan kalori. Pastikan anda periksa juga saiz hidangan yang digalakkan pada pek pembungkus.
  3. Tahan nafsu makan: Memang sukar untuk mula berdiet. Langkah pertama, cuba kurangkan atau jangan beli makanan ringan. Tukarkan dengan snek yang lebih sihat.
  4. Turunkan berat badan secara perlahan-lahan: Jangan lakukan diet ekstrem. Penurunan berat secara perlahan-lahan lebih mudah untuk dikekalkan pada masa hadapan.
  5. Jangan lupa bersenam: Diet yang betul terdiri daripada senaman dan juga makanan yang betul. Makan terlalu sedikit pun tidak baik untuk kesihatan. Oleh sebab itu, pastikan pengambilan makanan anda seimbang supaya anda masih lagi ada tenaga untuk bersenam.
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: