Pernahkah anda dengar mengenai Diet Atkins? Diet yang popular ini dicipta oleh Professor Robert C. Atkins, seorang pakar jantung (cardiologist) pada tahun 1960an. Mereka yang bercadang melakukan diet ini perlulah mengurangkan pengambilan karbohidrat dan memfokuskan pada lemak dan protein untuk turunkan berat badan.

Diet Atkins mempunyai beberapa fasa. Ia bermula dengan pelan pemakanan rendah karbohidrat. Jika anda mengikuti pelan diet ini secara berdisiplin, anda boleh menurunkan berat badan dengan pantas dan selamat.

Namun, bukan semua orang sesuai melakukan diet ini. Sama seperti diet lain, ia mungkin tidak sesuai untuk orang yang menghidap penyakit tertentu. Jadi, sebelum melakukan sebarang diet, pastikan anda timbang dahulu baik dan buruknya.

Jika anda ingin tahu mengenai Diet Atkins serta perbezaannya dengan diet lain, jom ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

Mengapa anda perlu lakukan Diet Atkins untuk turunkan berat badan?

Tujuan utama diet ini adalah untuk merubah cara pemakanan dan pada masa yang sama, membantu anda menurunkan berat badan.

Menurut pakar, diet ini merupakan satu cara yang sihat untuk menurunkan berat, meningkatkan tenaga dan mengurangkan risiko penyakit tertentu seperti tekanan darah tinggi atau sindrom metabolik.

Normalnya, badan kita akan menggunakan karbohidrat sebagai bahan bakar. Apabila anda mengurangkan pengambilan karbohidrat, badan akan mula membakar lemak. Proses ini akan menghasilkan keton, sejenis bahan kimia yang boleh digunakan badan sebagai tenaga.

Tetapi, mengapa anda perlu lakukan Diet Atkins? Anda boleh pilih diet ini sekiranya:

  1. Anda suka makan makanan yang mengandungi protein.
  2. Anda inginkan diet tertentu yang mengurangkan pengambilan karbohidrat.
  3. Ingin merubah gaya pemakanan.
  4. Mempunyai penyakit tertentu yang mungkin akan menjadi lebih baik setelah melakukan Diet Atkins.
  5. Berminat untuk mencuba Diet Atkins.

Walau bagaimanapun, jumpa dahulu dengan doktor sebelum melakukan diet ini jika anda mempunyai sebarang pertanyaan. Mereka yang menghidap kencing manis dan mempunyai penyakit buah pinggang juga tidak digalakkan untuk melakukan diet ini.

4 Fasa utama Diet Atkins

Ada 4 fasa utama Diet Atkins. Pada awalnya, diet ini sangat ketat kerana fasa awal direka untuk turunkan berat badan dengan cepat. Lama-kelamaan, ia menjadi semakin mudah.

Pada fasa 1, anda akan mengalami penurunan berat badan yang mendadak. Namun, pada fasa seterusnya, anda tidak akan turun berat sebanyak permulaannya.

  • Fasa 1: Makan 20 gram karbohidrat sahaja setiap hari. Sebagai contoh, sebiji pisang mempunyai 24 gram karbohidrat manakala sebiji kentang mengandungi 31 gram karbohidrat. Tujuan utama diet pada fasa 1 adalah untuk menurunkan berat badan.
  • Fasa 2: Pada fasa ini, anda boleh meningkatkan pengambilan karbohidrat kepda 30 gram setiap hari. Anda akan masih turun berat badan, namun tidak sepantas fasa 1.
  • Fasa 3: Anda boleh meningkatkan pengambilan karbohidrat sebanyak 10 gram setiap minggu. Teruskan fasa ini sehingga anda mencapai berat yang diingini.
  • Fasa 4: Fasa ini adalah untuk mengekalkan berat badan sedia ada. Pada waktu ini, anda boleh 120 gram karbohidrat setiap hari.

Kebaikan utama diet ini

Diet Atkins sudah wujud berdekad-dekad lamanya. Jadi, keberkesananya tidak dapat dinafikan. Untuk sesetengah orang, diet ini berkesan kerana:

  1. Ia tidak akan membuatkan anda lapar. Pengambilan protein akan buatkan anda rasa lebih ‘puas’ semasa makan.
  2. Dapat mengurangkan pengambilan kalori. Pada masa yang sama, anda juga boleh mengurangkan pengambilan makanan yang tidak berkhasiat.
  3. Mengawal kadar gula dalam darah. Dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat dalam darah, anda boleh mengawal kadar gula dalam darah pada masa yang sama.
  4. Anda tidak perlu mengira kalori. Jadi, diet ini amat sesuai untuk pemula. Ada orang yang tidak suka mengira kalori kerana ia merupakan satu proses yang meletihkan dan membosankan.
  5. Ada banyak rujukan untuk mereka yang ingin mencuba. Malah, ada banyak pelan makanan yang boleh anda jumpa secara atas talian seperti di Everyday Health.

Kesan sampingan

Walaupun diet ini mempunyai banyak kebaikan, tidak dinafikan, ia juga mungkin boleh menyebabkan masalah kesihatan terhadap sesetengah orang.

Pengambilan karbohidrat yang terlalu sedikit boleh menyebabkan sakit kepala, rasa letih dan sembelit. Malah, disebabkan pengurangan pengambilan serat, mereka yang melakukan diet ini juga mungkin akan kerap rasa loya dan alami cirit-birit.

Bukan itu sahaja, pengambilan karbohidrat yang terlalu sedikit boleh menyebabkan ketosis – satu kondisi yang berlaku apabila karbohidrat dipecahkan menjadi gula untuk ditukarkan kepada tenaga.

Bahan kimia yang dihasilkan daripada proses ini, juga dikenali sebagai keton, boleh menyebabkan anda rasa loya, letih dan mempunyai nafas berbau.

Oleh sebab itu, Diet Atkins mungkin bukanlah sejenis diet yang sesuai untuk semua orang. Jadi, anda digalakkan untuk mendapatkan konsultasi doktor sebelum memulakan diet ini.

Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang tidak boleh melakukan diet ini. Penurunan berat badan yang drastik pada fasa awal diet ini juga tidak sesuai untuk wanita yang hamil dan sedang menyusukan anak.

Kesimpulan

Walaupun anda sedang berdiet, itu bukanlah bermaksud anda tidak perlu bersenam. Senaman merupakan komponen utama dalam diet ini, terutamanya pada fasa ke-4.

Senaman bukan sahaja dapat membantu anda menurunkan berat badan dengan lebih pantas, ia juga boleh meningkatkan tenaga anda dan membuatkan anda lebih cergas. Jadi, apabila anda rasa lemah atau tidak bertenaga, pastikan anda tingkatkan senaman anda.

Leave a comment

Your email address will not be published.