Kencing Berbuih : Punca Dan Kaedah Rawatan

Anda pernah alami kencing berbuih ketika buang air kecil? Sebenarnya melalui air kencing, anda dapat mengenalpasti pelbagai masalah kesihatan.

Contohnya, jika air kencing anda berwarna kuning gelap, ia bermaksud badan anda kekurangan air. Bagaimana pula dengan kencing berbuih?

Buih pada air kencing juga boleh terjadi disebabkan aliran yang laju dan banyak dalam satu masa.

Air kencing juga boleh nampak berbuih disebabkan oleh komponen surfaktan yang ada pada sabun atau produk pencuci tandas.

Baca Juga : Tanda Sakit Jantung Yang Anda Tidak Boleh Abaikan

Punca Kencing Berbuih

Jika masalah ini berlarutan, ia mungkin berpunca daripada beberapa masalah kesihatan seperti berikut :

Dehidrasi

Jika seseorang kurang minum air, air kencing yang keluar akan didapati lebih pekat dan gelap warnanya.

Badan yang kekurangan air juga tidak dapat melarutkan protein di dalam badan dengan baik.

Seperti bahan pencuci, protein juga mengandungi komponen surfaktan.

Jika kandungan protein terlalu tinggi dalam air kencing, ini boleh menyebabkan air kencing kelihatan berbuih.

Penyakit Buah Pinggang

Salah satu fungsi utama buah pinggang ialah untuk menapis protein dalam darah. Protein ini berperanan bagi mengimbangi cecair dalam badan.

Menurut MedicalNewsToday, buah pinggang yang bermasalah boleh menyebabkan protein ini terlepas ke saluran kencing.

Walaupun seseorang itu rajin minum air namun kencing tetap berbuih, dia mungkin mengalami simptom proteinuria (air kencing mengandungi protein).

Ini boleh menjadi tanda awal kepada penyakit buah pinggang. 

Antara simptom lain yang boleh dikenalpasti bagi penyakit buah pinggang ialah :

  • Kulit gatal-gatal
  • Sering loya dan muntah
  • Sesak nafas
  • Sering buang air kecil
  • Badan bengkak
Kredit Foto : kidney.org

2. Diabetic Nephropathy

Menurut pakar perubatan, kencing yang tinggi kandungan protein juga boleh terjadi jika seseorang itu didiagnos dengan penyakit diabetes atau darah tinggi.

Bagi pesakit type 2 diabetes, mereka berisiko untuk mengalami komplikasi diabetic nephorpathy iaitu perubahan struktur buah pinggang disebabkan kencing manis.

Beberapa kajian mendapati kerosakan pada salur darah buah pinggang disebabkan diabetic nephorpathy boleh mengakibatkan proteinuria.

3. Ejakulasi Retrograde

Dalam sesetengah kes, masalah ini juga boleh berpunca daripada ejakulasi sperma yang kembali ke dalam pundi kencing.  

Ujian Bagi Mengenalpasti Punca Kencing Berbuih

Terdapat beberapa ujian yang boleh dijalankan bagi mengetahui punca masalah kencing berbuih. Ujian tersebut ialah :

1. Pemeriksaan Air Kencing

Sampel air kencing akan diambil bagi memeriksa kandungannya. Biasanya doktor akan memerhatikan kandungan seperti protein bagi masalah kencing berbuih.

Jika terdapat jangkitan kuman, kandungan lain juga boleh dikenalpasti seperti sel darah putih dan nitrate.

Kredit Foto : inf.news

2. Fungsi Buah Pinggang (Renal Function)

Jika pesakit didapati mengalami masalah protein yang tinggi dalam air kencing, pesakit akan dirujuk bagi menjalankan ujian buah pinggang.

Sampel darah akan diambil bagi mengenalpasti kandungan darah dalam badan.

Rawatan Bagi Kencing Berbuih

Kaedah rawatan bergantung kepada puncanya. Seseorang yang didapati mengalami dehidrasi perlulah minum air secukupnya sehingga warna air kencing lebih jernih.

Jika pesakit mengalami kencing berbuih disebabkan diabetes, doktor akan memberikan ubat atau suntikan insulin bagi mengawal paras gula dalam darah.

Pemeriksaan paras gula juga perlu dijalankan dengan kerap bagi memastikan bacaan stabil.

Bagi yang didiagnos dengan penyakit buah pinggang peringkat awal, doktor akan memberikan ubat di samping mengesyorkan pesakit untuk mengubah gaya hidup lebih sihat dengan cara :

  • Mengamalkan diet sihat dan rendah garam
  • Mengawal paras gula dan tekanan darah
  • Sering bersenam
  • Berhenti merokok

Pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang yang teruk perlulah jalani dialisis bagi membantu pesakit mencuci darah.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Kebanyakan masa, keadaan air kencing akan kembali normal dengan banyakkan minum air kosong.

Namun, jika ia berlarutan dengan lama, ia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan lain.

 Segeralah berjumpa doktor sekiranya anda mengalami simptom lain seperti :

  • Air kencing keruh atau keluar darah
  • Air kencing tidak lawas atau keluar isipadu sedikit
  • Bengkak pada bahagian kaki, tangan, dan muka
  • Hilang selera makan, keletihan, loya dan muntah
  • Air mani terhasil sedikit ketika orgasma (bagi lelaki)
  • Sukar menghamilkan pasangan wanita (bagi lelaki)

Jika anda dapati air kencing sering berbuih, jangan berlengah untuk dapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera.

Ia boleh menjadi petanda awal bagi masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang atau diabetes nephropathy.

Jangan lupa untuk minum air kosong secukupnya sekurang-kurangnya 8 gelas setiap hari bagi memastikan kesihatan yang optimum.

Sumber :

Why is my urine foamy?

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322171

Kencing Berbuih: Punca dan Apa yang perlu dibuat.

https://thediagnosa.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85