Kencing Tak Lawas : Punca dan Kaedah Rawatan

Masalah kencing tak lawas ialah keadaan apabila seseorang itu merasakan air kencingnya masih ada walaupun baru membuang air kecil.

Dalam sesetengah kes, ia juga boleh menyebabkan pesakit sering terkencing sedikit di seluar.

Bergantung kepada kondisi kesihatan, masalah ini mungkin bersifat sementara atau lebih kronik.

Banyak masalah kesihatan yang boleh menyumbang kepada kencing tak lawas.

Ia juga boleh menjadi petanda kepada penyakit seperti jangkitan pundi kencing, batu karang, kanser atau penyakit prostat.

Baca Juga : Kencing Berbuih : Punca Dan Kaedah Rawatan

Kategori Kencing Tak Lawas

Masalah ini boleh dikategorikan kepada 3 jenis. Sesetengah pesakit juga boleh alami lebih dari satu jenis kategori dalam masa yang sama.

1. Kencing Tak Lawas Jenis Tekanan

Bagi kategori ini, individu boleh hilang kawalan kencing apabila melakukan aktiviti seperti bersenam, batuk, bersin atau ketawa.

Aktiviti sebegini boleh memberi tekanan kepada otot sphincter yang menampung urin dalam pundi kencing sehingga menyebabkan seseorang terkencing tanpa sengaja.

2. Kencing Tak Lawas Jenis Limpahan

Kategori ini berlaku apabila seseorang tidak mengosongkan pundi kencing ketika buang air kecil.

Ini akan membuatkan lebihan air kencing meleleh keluar dari pundi kencing setelah beberapa ketika.

3. Kencing Tak Lawas Jenis Desakan

Kategori ini pula berlaku apabila seseorang hilang kawalan pundi kencing selepas timbul rasa ingin ke tandas secara tiba-tiba.

Bila terasa hendak kencing, pesakit biasanya tidak sempat untuk ke tandas untuk membuang air kecil.

kencing tak lawas
Kredit Foto : rootofscience.com

Punca Kencing Tak Lawas

Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan masalah ini seperti :

Otot Pundi Kencing Lemah Semakin Usia Meningkat

Semakin usia kita meningkat, kebolehan kita untuk mengawal kencing juga semakin menurun.

Ia adalah disebabkan oleh otot pundi kenci yang semakin lemah sehingga boleh mengakibatkan kencing tak lawas.

Bagi memastikan otot pundi kencing sihat dan kuat, anda perlulah amalkan tabiat gaya hidup yang sihat.

Kerosakan Otot Lantai Pelvik

Otot lantai pelvik berperanan dalam menyokong pundi kencing. Kerosakan pada otot ini boleh mengakibatkan kencing lawas.

Otot pelvik yang lemah juga boleh berpunca daripada pembedahan seperti histerektomi atau baru bersalin.

Pembesaran Prostat

Bagi kaum lelaki, kelenjar prostat melilingi saluran pundi kencing.

Kelenjar ini berfungsi dalam merembeskan cecair bagi melindungi kualiti sperma.

Semakin usia meningkat, saiz kelenjar ini boleh meningkat sehingga menyebabkan kencing tak lawas dalam kalangan lelaki yang lebih tua.

Kanser

Kanser prostat, kanser pundi kencing serta kaedah rawatan bagi kanser juga boleh mengakibatkan seseorang tidak lawas kencing.

Masalah kesihatan lain yang boleh menjadi punca kencing tak lawas adalah :

  • Sembelit
  • Penyakit jangkitan saluran kencing / kencing kotor (UTI)
  • Batu karang atau sakit buah pinggang
  • Keradangan prostat
  • Keradangan pundi kencing (interstitial cystitis)
  • Kesan sampingan ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi, ubat meredakan otot dan ubat untuk jantung.

Beberapa tabiat harian yang tidak sihat seperti terlalu banyak mengambil minuman berkafein atau alkohol juga boleh mempengaruhi kawalan kencing.

Kaedah Rawatan

Memetik TheDiagnosa, doktor akan mengesyorkan rawatan berdasarkan punca masalah kesihatan anda. Bergantung kepada tahap penyakit, doktor akan mengesyorkan rawatan seperti :

1. Pengambilan Antibiotik

Bagi pesakit yang disahkan mengalami kencing kotor, doktor akan memberikan antibiotik bagi menghapuskan jangkitan kuman yang berlaku di saluran kencing.

Ubat untuk mengalkalikan air kencing juga akan diberikan bagi menghalang pembiakan bakteria.

2. Pembuangan Batu Karang

Batu karang biasanya bersaiz kecil dan boleh dipecahkan dengan ubat seperti potassium citrate.

Ubat ini berfungsi dengan mengalkalikan air kencing serta merapuhkan struktur batu karang agar mudah pecah.

Namun, bagi batu karang yang bersaiz lebih besar, ia perlulah dibuang melalui prosedur pembedahan.

3. Pengambilan Ubat Bagi Mengecutkan Prostat

Pesakit yang mengalami bengkak pada kelenjar prostat (Benign Prostat Hyperlasia) perlulah mengambil ubat bagi mengurangkan saiz prostat.

4. Pembedahan Untuk Membuang Prostat

Jika saiz prostat didapati membengkak terlalu besar, pesakit mungkin disyaki menghidap kanser.

Sedikit sampel daripada prostat perlu diambil bagi menguji kehadiran sel kanser.

Jika ada, pembedahan untuk membuang prostat perlu dijalankan bagi mengelakkan sel kanser merebak ke tempa lain.

Tips Mencegah Kencing Tak Lawas

Tidak semua masalah ini boleh dielakkan. Namun, bagi memastikan anda dapat membuang air kecil dengan lebih lancar, anda boleh ikuti tips ini :

  • Capailah berat badan yang normal dan sihat
  • Amalkan senaman dan diet yang sihat
  • Kurangkan pengambilan minuman berkafein dan alkohol
  • Berhenti merokok

 Sumber :

Why Am I Experiencing Urinary Incontinence?

healthline.com

Kencing Tidak Lawas: Punca dan Cara Rawatan

thediagnosa.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85