Ketulan Di Ketiak, Adakah Ia Tanda Kanser Payudara?

Alamak, rasa macam ada ketulan di ketiak? Benarkah ketulan ini salah satu tanda kanser?

Bawa bertenang… Ketulan pada kawasan ketiak boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor. Selalunya, ia akan hilang dengan sendirinya. Malah, jarang sekali ketulan ini muncul disebabkan kanser.

Tidak dinafikan, ketulan di kawasan ketiak atau payudara merupakan sesuatu yang amat merisaukan. Besar kemungkinan, ketulan tersebut adalah nodus limfa yang membengkak.

Sistem limfatik badan terdiri daripada gabungan nodus limfa. Sistem ini bertanggungjawab menapis dan menghalang kemasukan sebarang bakteria dalam badan. Sebab itulah, kelenjar limfa atau nodus limfa ini sangat penting sebagai sistem pertahanan utama badan.

Jika anda mempunyai ketulan di ketiak, cuba tunggu beberapa hari dan lihat sama ada ia mengecil. Jika ya, ia mungkin berlaku disebabkan jangkitan atau inflamasi.

Walau bagaimanapun, jika kawasan tersebut rasa sakit, bengkak dan kemerah-merahan, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar segera. Jangkitan yang anda alami mungkin serius.

Oleh sebab itu, anda perlukan pemeriksaan daripada doktor dan dapatkan ubat-ubatan yang bersesuaian dengan kondisi anda.

Mengapa ada ketulan di ketiak saya?

ketulan di ketiak

Dalam kes terpencil, ketulan pada kawasan ketiak boleh menjadi tanda kanser.

Walau bagaimanapun, ada banyak lagi punca lain yang boleh menyebabkan munculnya ketulan di ketiak. Menurut Cleaveland Clinic, antara sebabnya ialah:

  1. Nodus limfa membengkak: Ketika anda jatuh sakit, sistem limfatik badan akan bertindak melawan jangkitan. Nodus limfa boleh membengkak apabila ia sedang melawan bakteria atau virus yang sedang memasuki badan.
  2. Jangkitan bakteria: Jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan ketulan yang pedih dan sakit pada kawasan ketiak. Bakteria yang terlibat selalunya terdiri daripada jenis staphylococcus atau myobacterium.
  3. Serangan virus: Selain membuatkan nodus limfa membengkak, virus juga boleh menyebabkan masalah pernafasan dan jangkitan telinga.
  4. Jangkitan kulat: Jangkitan yis boleh menyebabkan munculnya ketulan yang banyak di kawasan bawah lengan.
  5. Parasit: Kadangkala, parasit juga boleh menyebabkan nodus limfa membengkak. Selain itu, pesakit juga akan mengalami simptom seakan-akan demam panas.
  6. Inflamasi pada kelenjar peluh: Kelenjar peluh yang mengalami keradangan boleh menyebabkan kulit menjadi sakit dan merah. Malah, ketulan juga boleh muncul disebabkan jangkitan atau gigitan serangga.

Kadangkala, nodus limfa yang membengkak boleh menandakan penyakit yang lebih serius seperti:

  1. Jangkitan pada kawasan lengan atau payudara.
  2. Kanser, terutamanya limfoma atau kanser payudara.
  3. Jangkitan yang memberi kesan kepada seluruh badan seperti herpes atau AIDS.

Sukar untuk menentukan sama ada ketulan yang berlaku itu adalah kanser atau tidak hanya dengan sentuhan. Jadi, jika anda risau mengenai simptom yang dialami, jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Walaupun ketulan pada ketiak selalunya tidak berpunca daripada sesuatu yang serius, tidak rugi jika anda melakukan pemeriksaan lanjutan untuk tentukan penyebabnya.

Apa yang perlu saya lakukan?

Anda boleh lakukan beberapa langkah untuk mengurangkan bengkak pada kawasan ketiak. Sebagai contoh:

  1. Jangan lupa minum banyak air, terutamanya jika anda demam panas.
  2. Ambil ubat tahan sakit. Anda boleh dapatkan ubat ini secara over-the-counter di farmasi berdekatan.
  3. Pastikan badan sentiasa bersih. Lap kawasan ketiak selepas mandi. Jika anda perlu bercukur, lakukannya dengan berhati-hati untuk elakkan sebarang jangkitan.

Jika ketulan tidak hilang dalam masa beberapa hari, jumpa doktor secepat mungkin.

Bila saya perlu risau tentang ketulan di ketiak?

ketulan di ketiak

Anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin jika ketulan tersebut:

  1. Tidak hilang selepas 2 minggu.
  2. Rasa keras dan sakit apabila dipegang.
  3. Semakin membesar.
  4. Kembali bengkak selepas sembuh.
  5. Anda demam atau mengalami simptom lain yang menandakan jangkitan.
  6. Rasa lembut dan pedih jika ditekan.

Kesimpulan

ketulan di ketiak

Ketulan pada kawasan ketiak sememangnya sesuatu yang merisaukan. Namun, ia jarang sekali menandakan penyakit yang serius. Malah, kebanyakkannya tidak berbahaya dan akan sembuh dengan sendirinya.

Walau bagaimanapun, ada juga kes yang perlukan rawatan tambahan. Jika anda mengalami simptom lain, doktor mungkin akan bekalkan anda dengan ubat-ubatan.

Ketulan yang berlaku disebabkan penyakit kulit selalunya akan dibuang untuk mengelakkan komplikasi pada masa akan datang.

Oleh sebab itu, jumpa doktor secepat mungkin jika anda mengalami masalah ketulan di ketiak. Jangan biarkannya melarat tanpa sebarang rawatan.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: