Khasiat Bunga Telang, Boleh Merawat Asma?

Bunga telang, atau nama saintifiknya Clitoria ternatea adalah merupakan sebuah tumbuhan yang mempunyai bunga berwarna ungu terang atau kebiruan dan terdiri dalam keluarga Fabaceae. Ia juga dikenali dengan nama Butterfly pea, Asian pigeonwings, Darwin pea, dan Blue pea. 

Untuk pengetahuan anda, bunga inilah yang biasanya digunakan untuk buat nasi kerabu tu sebab bunga telang ni boleh dimakan. Selain nasi kerabu, terdapat lagi beberapa jenis makanan dan minuman yang menggunakannya sebagai bahan asas mahupun pelengkap tambahan. 

Bukan itu sahaja, bunga telang juga telah digunakan dalam perubatan Ayurveda serta dalam rawatan tradisional Asia dan Timur Tengah selama berabad-abad. Tunggu apa lagi, mari kita baca khasiat bunga telang dibawah!

khasiat bunga telang

Khasiat Bunga Telang

  1. Membantu Merawat Asma

Dalam perubatan Ayurveda, bunga telang sering digunakan untuk merawat penyakit asma dan juga batuk. 

Dengan menggunakan beberapa helai bunga telang yang direbus,  minum air rebusannya untuk melegakan simptom-simptom asma dan batuk. Selain itu, akar bunga telang juga dapat digunakan untuk mengubati batuk.

  1. Tinggi Kandungan Antioksidan  

Kelopak bunga telang mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi dan mengandungi sebatian antosianin iaitu salah satu sebatian dalam kumpulan flavanoid.

Antosianin juga adalah merupakan salah satu jenis antioksidan serta banyak kajian yang menunjukkan manfaatnya dalam mencegah kanser, membantu meningkatkan fungsi kognitif dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. 

  1. Bagus Untuk Penyakit Kencing Manis (Diabetes)

Antara khasiat bunga telang untuk kencing manis adalah kemampuannya untuk menstabilkan kadar gula dalam darah. Bukan itu sahaja, ia juga dapat mengurangkan risiko penyakit diabetes dan simptom yang berkaitan.

Malah, menurut sebuah kajian yang dijalankan ke atas 15 orang lelaki, pakar mendapati pengambilan teh bunga telang membantu mengurangkan kadar gula dalam darah subjek walaupun teh yang diambil mengandungi gula.

Walau bagaimanapun, masih banyak lagi kajian yang perlu dijalankan untuk menentukan kesan sebenar bunga telang terhadap kadar gula dalam darah.

  1. Menyihatkan Kulit Kepala Dan Membuatkan Rambut Lebih Berkilat 

Sekiranya anda sering membaca label-label produk syampu, kebanyakan produk syampu menggunakan bunga telang sebagai salah satu kandungannya. Hal ini adalah kerana, kemampuannya untuk membuatkan kulit tampak lebih sihat dan rambut lebih berkilat.

Bunga telang mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi serta sangat bermanfaat untuk kesihatan rambut dan kulit. Ekstrak bunga telang juga dapat membantu meningkatkan hidrasi kulit kepala sebanyak 70% selepas penggunaan.

Cara menggunakannya mudah sahaja. Ramas bunga telang di dalam segayung air, kemudian, cuci rambut seperti syampu dengan air ramasan tadi.

Malah, pakar juga mendapati ekstrak bunga biru ini lebih efektif daripada minoxidil, sejenis bahan yang digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan rambut.

Walaubagaimanapun, untuk masalah keguguran rambut, manfaat bunga telang masih lagi perlukan kajian yang mendalam. 

  1. Mengurangkan Keradangan 

Bunga Telang juga mempunyai sifat anti radang dan boleh membantu mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh karaginan (carrageenan) dan asid asetik (acetic acid). 

  1. Mengecutkan Jerawat

Anda kehabisan idea nak kecutkan jerawat? Hah, apa kata anda cuba ikhtiar ini. 

Ambil daun pokok bunga telang, hancurkan dan ditampal pada kawasan yang tumbuh jerawat. Biarkan selama 30 minit. Kemudian, bilas dengan air bersih. 

  1. Detoks 

Teh herba bunga telang juga membantu anda detox untuk menguruskan badan. Minum air bunga telang setiap pagi untuk detox.

Resepi teh bunga telang adalah seperti berikut: 

  • Bahan-Bahan: segenggam bunga telang, segelas air panas, gula secukup rasa, 1/2 biji limau nipis
  • Cara Membuat: Masukkan segenggam bunga telang di dalam gelas. Kemudian, masukkan air panas dan rendam bunga telang tersebut selama 5 minit. Setelah air bertukar warna biru pekat, tapiskan bunga telang tersebut. Akhir sekali, masukkan setengah biji limau nipis dan gula secukup rasa. Air teh ini akan bertukar warna ungu yang cantik dan rasa sangat menyegarkan.

Kesimpulan 

Terdapat pelbagai lagi khasiat bunga telang ini khususnya dalam kesihatan. Namun, masih banyak juga kajian yang perlu dilakukan bagi membuktikan keberkesanannya. 

Apa pun, sila pastikan anda tidak meninggalkan ubat-ubatan yang diberikan doktor dan jadikan petua bunga telang ini sebagai salah satu ikhtiar kesembuhan sahaja. Dapatkan nasihat doktor sekiranya perlu. 

Sumber: jiwasihat.com, myresipi.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161