Menurut Wikipedia, halba atau nama saintifiknya Trigonella foenum-graecum adalah merupakan sebuah tumbuhan yang tergolong dalam famili Fabaceae. Perkataan bahasa Melayu, “halba”, berasal daripada nama bahasa Arab, “Hilbeh” (حلبة).

Ciri-cirinya pula ialah, ia berbentuk butiran kecil berwarna coklat. Pokok halba mampu mencapai ketinggian sehingga 90 sentimeter. Berdaun hijau, mempunyai bunga kecil berwarna putih, serta lengai yang mengandungi biji berwarna coklat keemasan.

Selalunya ia ditanam sebagai tanaman separa gersang dan digunakan sebagai rempah bahan masakan contohnya seperti masakan kari, nasi dagang dan lain-lain.

Bukan itu sahaja, khasiat halba untuk kesihatan juga tidak kurang hebatnya sehinggakan ia sering dijadikan bahan dalam terapi perubatan tradisional China, Arab, dan India. 

Tunggu apa lagi, jom kita lihat apakah khasiat-khasiat halba.

Khasiat Halba

1. Meningkatkan Penghasilan Susu Ibu

Susu ibu adalah merupakan minuman terbaik bagi seorang bayi lebih-lebih lagi yang baru dilahirkan. Pengambilan susu ibu adalah sangat penting untuk bayi bagi memastikan perkembangan dan tumbesaran yang terjamin untuk bayi. 

Selain itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa susu ibu adalah sumber nutrisi yang terbaik. Walaubagaimanapun, tidak semua ibu dikurniakan susu yang mencukupi dan mengalami kesukaran untuk menghasilkan susu yang cukup.

Oleh itu, ibu memerlukan alternatif lain bagi membantu meningkatkan pengeluaran susu. Menurut beberapa kajian, pengambilan halba berpotensi menjadi alternatif yang selamat dan semula jadi untuk membantu meningkatkan susu ibu

Antara kajian yang pernah dilakukan ialah,  kajian selama 2 minggu ke atas ibu yang baru melahirkan menunjukkan bahawa pengambilan teh herba bersama biji halba menyebabkan pengeluaran susu ibu lebih banyak dari sebelumnya. 

Sekiranya anda mengalami masalah yang sama, apa kata anda cuba amalkan pengambilan halba bersama teh secara konsisten sehingga ia menunjukkan hasil. 

NOTA: Dapatkan nasihat doktor sekiranya perlu.

2. Membantu Mengawal Kadar Gula (Bagus Untuk Pesakit Kencing Manis)

Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan ke atas pesakit kencing manis jenis 2, pengambilan serbuk halba ketika makanan tengahari dan makan malam menyumbang kepada paras gula dalam darah yang lebih terkawal. 

Selain itu, terdapat juga kajian lain yang membuktikan bahawa pengambilan halba menurunkan paras gula dalam darah selepas 4 jam dimakan.

Hal ini adalah kerana, terdapat komponen dalam halba yang dapat membantu memperbaiki fungsi insulin. 

Selain itu, kandungan serat larut yang tinggi dalam halba juga menyumbang kepada khasiat ini kerana ia melambatkan penghadaman dan penyerapan karbohidrat yang menjadi antara sumber gula dalam darah. 

Walaubagaimanapun, pesakit diabetes yang mengambil ubat perlulah mengawal kuantiti pengambilan halba agar tidak berlebihan sehingga menyebabkan hipoglisemia (kekurangan gula dalam badan).

3. Membantu Mengawal Paras Kolesterol

Halba juga dipercayai mampu membantu mengawal paras kolesterol dalam darah. Bahan berkhasiat utama dalam biji halba adalah 4-hidroksi isoleusin, trigonelline and diosgenin.

Ia membantu mengurangkan tahap kolesterol LDL (buruk) sekaligus membantu untuk mengurangkan risiko terkena penyakit seperti aterosklerosis, serangan jantung, dan strok.

Halba juga mengandungi sumber serat yang tinggi untuk membantu menghancurkan kolesterol yang berlebihan daripada arteri dan saluran darah badan serta mengurangkan risiko pembentukan gumpalan darah.

4.  Melegakan Keradangan

Mengandungi antioksida, vitamin, mineral serta lain-lain nutrisi penting, halba dipercayai menyumbang kepada kesan anti-keradangan. Komponen tersebut menghalang pembentukan radikal bebas lalu melindungi sel badan daripada kerosakan seterusnya membantu melegakan keradangan. 

5. Mengawal Rasa Lapar

Seperti yang dinyatakan di atas, halba mengandungi kandungan serat yang tinggi. Oleh itu, ia sangat membantu mengawal rasa lapar dengan pengambilan halba dengan jumlah yang mencukupi. 

Dengan itu, ia juga akan turut mengawal pengambilan kalori berlebihan yang boleh membawa kepada kenaikan berat badan, sekaligus menjadi salah satu cara untuk mencegah obesiti atau mengurangkan berat badan (disebabkan makan kurang tetapi rasa kenyang berpanjangan). 

6. Mengurangkan Ketidakselesaan Ketika Haid

Halba juga sering digunakan sebagai salah satu ikhtiar untuk mengurangkan simptom dan kesakitan ketika haid serta memberikan kelegaan daripada gangguan haid.

Terdapat sebatian yang dikenali sebagai alkaloid yang terkandung di dalam halba yang mampu membantu menghalang reseptor deria yang membolehkan otak merasakan kesakitan.

Kesimpulan 

Apa pun, sekiranya anda mempunyai alahan terhadap halba, anda dinasihatkan untuk tidak sesekali mengambilnya. Selain itu, halba juga mungkin mengakibatkan beberapa kesan sampingan seperti cirit-birit, loya, sakit kepala, terutamanya jika diambil dalam jumlah banyak. 

Manakala untuk ibu mengandung, anda tidak digalakkan untuk mengambil halba dalam kuantiti yang tinggi bagi mencegah kontraksi awal dan kecacatan bayi.

Konklusnya, ambillah secara bersederhana dan pastikan anda dapatkan nasihat serta pandangan daripada doktor/pakar perubatan sebelum memulakan sebarang pengambilan. 

Sumber: https://rootofscience.com/, wikipedia, hellodoktor.com

Leave a comment

Your email address will not be published.