Protein Lebih Tinggi Dari Salmon, Ini Khasiat Ikan Keli Yang Anda Perlu Tahu

Siapa tak suka dengan ikan keli ? Ia bukan sahaja mudah didapati, malah ia juga boleh dihidangkan dalam pelbagai cara seperti dibakar, digoreng dan dijadikan lauk pauk. 

Selain rasanya yang sedap, kandungan khasiat dalam ikan air tawar ini juga tidak kurang hebatnya ! 

Kredit Foto : rasa.my

100 gram ikan keli mampu membekalkan nutrisi seperti berikut :

Kalori : 105

Protein : 18 gram

Natrium : 50 mg

Selain rendah kalori dan tinggi protein, ikan keli juga mampu membekalkan pelbagai mineral dan vitamin penting dalam diet harian :

Vitamin B 12 : 121% daripada keperluan harian

Selenium : 26% daripada keperluan harian

Fosforus : 24% daripada keperluan harian

Thiamine : 15 % daripada keperluan harian

Kalium : 19% daripada keperluan harian

Kolesterol : 24 % daripada keperluan harian

Asid lemak omega 3 : 237 mg

Asid lemak omega 6 : 337 mg

Baca Juga : Kaya Dengan Protein dan Mineral, Ini Khasiat Ikan Merah Untuk Kesihatan

Khasiat Ikan Keli 

1. Sumber Protein Yang Baik

Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya ikan keli mengandungi 2 kali ganda lebih tinggi kandungan protein daripada ikan salmon ! 

100 gram ikan keli juga mampu membekalkan kira-kira 32 ke 39% daripada keperluan protein harian.

 Diet tinggi protein juga amat digalakkan bagi membantu menurunkan berat badan dan membantu seseorang untuk rasa kenyang dengan lebih lama. 

Tidak hanya itu, khasiat protein juga memainkan peranan dalam menyembuhkan luka dengan lebih cepat. 

2. Kaya Dengan Khasiat Asid Lemak Omega-3

Ikan keli juga mengandungi kebaikan asid lemak omega-3 yang dikatakan baik untuk kesihatan minda dengan mencegah anxiety, ADHD serta menguatkan memori. 

Pengambilan asid lemak omega-3 juga sering dikaitkan dengan peningkatan kesihatan otot dan tulang, menyihatkan jantung, dan baik untuk meningkatkan pembiakan bakteria baik dalam usus. 

3. Pembekal Vitamin B12 Yang Baik

100 gram ikan keli mampu membekalkan lebih daripada keperluan vitamin B12 harian.

Pengambilan vitamin B12 yang mencukupi dapat memberikan banyak manfaat kesihatan seperti melindungi kesihatan jantung, meningkatkan penghasilan sel darah merah serta baik untuk kesihatan minda. 

4. Mencegah Penyakit Jantung

Pengambilan ikan keli sebagai sumber protein juga baik bagi mencegah risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit koronari arteri dan sakit jantung. 

Dengan khasiat omega-3 yang terkandung dalam ikan keli, ia mampu mengawal paras kolesterol, mencegah keradangan dan thrombosis (gumpalan darah dalam salur darah) dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung. 

khasiat ikan keli
Kredit Foto : healthblog.uofmhealth.org

5. Menguatkan Sistem Pertahanan Badan

Memetik Hellodoktor , ikan keli yang kaya dengan protein juga dapat memberikan manfaat pada badan dengan menguatkan sistem imun tubuh. 

Sistem pertahanan badan yang kuat dapat membantu badan untuk melawan jangkitan virus dan bakteria yang menjadi punca pelbagai penyakit. 

6. Baik Untuk Kesihatan Otak 

Semakin usia meningkat, keradangan otak boleh berlaku sehingga mencetuskan risiko penyakit Alzheimer. 

Bagi mengekalkan kesihatan otak walaupun usia meningkat, anda digalakkan untuk mengamalkan pemakanan kaya asid lemak omega-3. 

Ikan keli merupakan antara sumber asid lemak omega-3 yang mudah didapati dan baik untuk mencegah keradangan otak dan sekaligus meningkatkan kesihatan otak. 

Sebuah kajian juga mendapati pengambilan minyak ikan keli secara berterusan dapat meningkatkan fungsi kognitif warga emas.

Ini menunjukkan khasiat omega-3 dalam ikan keli sangat baik dalam meningkatkan kesihatan saraf otak bagi meningkatkan kemampuan kognitif di kalangan warga emas. 

7. Berkhasiat Untuk Tumbesaran Kandungan

Ikan keli  juga sesuai diambil oleh ibu mengandung kerana kandungan merkurinya yang rendah.

Kandungan omega-3 yang tinggi dalam ikan ini juga mampu membekalkan kesihatan buat bayi dalam kandungan.

 Kebaikan omega-3 juga berperanan dalam merangsang perkembangan pembelajaran dan tingkahlaku janin pada masa akan datang.

 Oleh itu, ibu hamil sangat disarankan untuk turut sertakan ikan keli sebagai sumber omega-3 dalam diet sepanjang tempoh mengandung.

khasiat ikan keli

Tidak perlulah anda membelanjakan banyak duit untuk membeli ikan yang mahal untuk mendapatkan protein dan mineral berkualiti tinggi kerana khasiat dalam ikan keli juga tidak kurang hebatnya. 

Khasiat yang ditawarkan oleh ikan keli menjadikan ia sesuai diamalkan buat semua peringkat usia.

 Ia bukan sahaja tinggi kandungan protein, malah ia juga diperkaya dengan kebaikan khasiat penting untuk badan dan minda seperti omega-3 dan vitamin B12. 

Sumber : 

Is Catfish Healthy? Nutrients, Benefits, and More

https://www.healthline.com/nutrition/is-catfish-healthy

10 Khasiat Ikan Keli Yang Anda Perlu Tahu

https://rootofscience.com/blog/2021/kesihatan/pemakanan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85