Kurma,  atau nama saintifiknya Phoenix dactylifera L adalah antara buah yang sering menjadi tumpuan lebih-lebih lagi pada bulan ramadhan. Biasanya ia akan dijadikan salah satu hidangan penting ketika berbuka dan juga bersahur.

Uniknya, ia turut digemari oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur. Kebanyakan kurma berasal dan mudah ditemui dari negara-negara Arab atau Timur Tengah seperti Arab Saudi, Mesir, Oman, Iraq, Iran, Magribi (Morocco) dan Sudan.

Terdapat pelbagai jenis kurma yang anda boleh dapati seperti berdasarkan nutrisi, rasa, saiz, atau tempat ia ditanam. Rasanya pula bergantung pada jenisnya dan juga peringkat kematangannya. 

Seperti yang kita sudah maklum, kurma mempunyai banyak khasiat terutamanya dari segi kesihatan. Mari kita baca khasiat kurma untuk tubuh badan dibawah satu persatu. 

Khasiat Kurma Untuk Kesihatan Tubuh

  1. Membekalkan Tenaga Dengan Cepat

Pengambilan kurma adalah amat bermanfaat sekiranya anda perlukan makanan yang boleh membekalkan tenaga dengan segera. 

Kurma mengandungi sumber karbohidrat ringkas yang mudah bertukar menjadi sumber tenaga seperti glukosa, sukrosa dan fruktosa. Kandungan karbohidrat di dalam kurma merangkumi sehingga 70% daripada buah kurma tersebut.

Ia mampu membekalkan dan mengembalikan tenaga dengan cepat menyebabkan ia menjadi antara hidangan penting ketika berpuasa. Pengambilan kurma sangat sesuai ketika badan anda letih, selepas bersenam, sebelum sarapan dan lain-lain. 

  1. Membantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah 

Walaupun mengandungi sumber karbohidrat yang tinggi, anda jangan risau, kerana sumber karbohidrat tersebut tidak menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah sekiranya diambil dalam kuantiti yang tidak berlebihan. 

Selain itu, kurma juga mempunyai aktiviti antidiabetik yang boleh menurunkan paras gula dalam darah. Ini adalah kerana kandungan antioksidan seperti flavonoid, steroid, fenolik dan saponin yang terkandung di dalam kurma mempunyai sifat antidiabetik.

  1. Melancarkan Sistem Penghadaman

Kurma juga mengandungi serat yang tinggi. Oleh itu, ia sangat bermanfaat dan boleh membantu melancarkan sistem penghadaman bagi mengelakkan masalah seperti sembelit.

Kandungan serat larut dan serat tidak larut di dalam kuram mampu membantu meningkatkan saiz najis dan melembutkannya, meningkatkan kadar pergerakan usus serta memudahkan najis untuk melalui usus sekaligus melancarkan sistem penghadaman makanan.

Bukan itu sahaja, ia juga mampu mengurangkan risiko kanser usus. 

  1. Membantu Mengawal Paras Kolesterol 

Selain mengawal paras gula, kurma juga sangat bermanfaat untuk mengawal dan menurunkan paras kolesterol dalam darah. Kolesterol yang rendah dalam darah adalah faktor pelindung daripada penyakit-penyakit berkaitan salur darah seperti penyakit jantung dan angin ahmar (strok).

Kandungan serat yang boleh larut akan mengikat kepada asid hempedu dalam usus kecil, seterusnya membantu mengurangkan kemungkinan untuk ianya diserap semula ke dalam badan sekaligus membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah. 

  1. Membantu Mengurangkan Keradangan 

Keradangan biasanya berlaku disebabkan oleh tindakbalas imuniti tubuh kepada kecederaan dan lain-lain. Hasil tindak balas tersebut akan menyebabkan terjadinya keadaan tertentu seperti bengkak, radang, panas dan sakit di kawasan yang mengalami proses keradangan tersebut. 

Mengandungi pelbagai jenis komponen fitokimia seperti polifenol, flavonoid, proanthocyanidins, β-carotene dan mineral seperti selenium, kurma juga mempunyai sifat antiradang. 

Mengamalkan pengambilan kurma boleh membantu mengurangkan keradangan dan kesannya. 

  1. Bagus Untuk Kesihatan Jantung 

Jantung adalah merupakan antara organ yang terpenting di dalam tubuh badan. Oleh itu, penjagaan kesihatan jantung adalah amat penting untuk memastikan ia boleh menjalankan fungsinya untuk mengepam dan membekalkan darah ke seluruh badan dengan baik. 

Menurut beberapa kajian, kurma boleh mengurangkan kadar trigliserida dan tekanan oksidatif yang selalunya menjadi punca penyumbatan plak di arteri sehingga meningkatkan risiko serangan jantung. 

Selain itu, kurma juga mengandungi kalium yang tinggi namun rendah garam yang boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi sekaligus mengelakkan serangan penyakit jantung. 

Aktiviti antioksidan dan antiradang yang ada pada buah kurma juga berpotensi untuk mencegah penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung.

  1. Bagus Untuk Tulang Dan Gigi

Kurma mengandungi pelbagai nutrisi yang kaya dengan kandungan kalsium, fosforus dan magnesium. Sehubungan dengan itu, ia sangat bermanfaat untuk tulang dan gigi serta mampu menyokong fungsi sel di dalam badan.

Kesimpulan 

Terdapat banyak lagi khasiat kurma yang tidak tersenarai di atas seperti bersifat antibakteria, berpotensi mencegah kanser, memudahkan proses bersalin dan sebagainya. 

Walaubagaimanapun, anda perlu memastikan tidak mengambilnya secara berlebihan dan sila dapatkan nasihat daripada doktor sekiraya perlu sebelum memulakan sebarang pengambilan. 

Sumber: https://rootofscience.com/, hellodoktor.com

Leave a comment

Your email address will not be published.