Madu tualang adalah madu hutan yang dihasilkan oleh lebah Tualang, lebah madu dan juga dikenali sebagai naning atau nama saintifiknya Apis dorsata

Penggunaan madu telah direkodkan sejak 8000 tahun yang lalu. Ia digunakan sebagai agen terapeutik kerana potensi manfaatnya kepada kesihatan.

Ia terbukti berkesan mempunyai manfaat sebagai bahan rawatan untuk mengubati penyakit manusia pada peringkat asas mekanisme penyakit tersebut. Mari kita rungkai satu persatu khasiat madu tualang yang telah digunakan sejak puluhan tahun lalu. 

Khasiat Madu Tualang

1. Bersifat Antimikrobial

Penggunaan madu melalui proses transformasi daripada perubatan tradisional kepada kajian sains pada akhir abad ke-19. Kajian pertama yang direkodkan sebagai kegunaan perubatan ialah mengenai penemuan sifat antimikrobial yang ada dalam kandungan madu.

Sifat antimikrobial pada madu tualang ini dapat membantu menghalang pertumbuhan beberapa bakteria yang mana boleh menyebabkan risiko jangkitan penyakit. 

Contohnya, bakteria yang dikenali sebagai Staphylococcus aureus mudah menjangkiti individu melalui sentuhan dan titisan air di udara yang boleh mengakibatkan pneumonia serta keradangan tulang (osteomyeolitis).

Dengan pengambilan madu tualang, anda berjaya mengurangkan risiko jangkitan tersebut kerana sifat antimikrobial yang terdapat di dalam madu tualang ini. 

2. Kaya Dengan Antioksidan

Untuk pengetahuan anda, madu tualang mempunyai kandungan antioksidan yang tertinggi berbanding pelbagai jenis madu lain yang terdapat di Malaysia. Kandungan antioksidannya terdiri daripada phenolic dan flavonoids. 

Phenolic dan flavonoids adalah merupakan sumber antioksidan yang baik untuk melawan radikal bebas yang berpunca daripada pencemaran, cahaya matahari dan bahan kimia untuk melindungi sel dan tubuh badan daripada kerosakan.

3. Baik Untuk Sistem Penghadaman

Pengambilan madu tualang juga amat baik untuk sistem penghadaman anda. Ia dapat membantu menguatkan otot sphincter yang berada di antara perut dan esofagus, lalu menghalang kemasukan makanan bersama asid perut ke dalam esofagus. Ini kerana nutrien dalam madu merangsangkan sel-sel otot sphincter yang rosak untuk dibina semula.

Sehubungan dengan itu, ia dapat mengelakkan penyakit Gastroesophageal Reflux Disease atau dikenali sebagai GERD. Selain itu, madu juga amat bermanfaat untuk memulihkan masalah dyspepsia, gastritis, and peptic ulcer (luka dalam perut). 

Hal ini disebabkan, madu dapat melindungi permukaan dalam perut yang bengkak (akibat keradangan) dan luka dari sentuhan asid. Bukan itu sahaja, madu juga dapat mengawal pembiakan kuman Helicobacter pylori (H. pylori) yang menjadi punca utama luka dalam perut.

Terdapat kajian klinikal juga menunjukkan madu mengurangkan pengeluaran asid jus dalam perut (disebabkan oleh kandungan nutrien dalam madu terutamanya gula yang bercampur dengan mineral dan enzim dari liur lebah) dan mempercepatkan proses penyembuhan luka dalam perut disebabkan sifat antimikrobialnya. 

4. Menyuburkan Lelaki Dan Wanita

Tambahan lagi, madu tualang juga dipercayai dapat membantu meningkatkan tahap kesuburan lelaki mahupun wanita. Pengambilan madu yang konsisten dapat membantu meningkatkan kuantiti dan kualiti sperma lelaki serta meningkatkan beberapa hormon wanita. 

5. Mengawal Paras Gula

Walaupun madu mempunyai rasa yang agak manis, namun ia juga mempunyai kebaikan dalam penjagaan diabetik kerana kandungan gula yang tinggi terdapat dalam madu adalah fruktosa (lebih tinggi berbanding sukrosa). Maka ia sedikit sebanyak tidak terlalu cepat meningkatkan paras glukosa darah. 

Walaupun bagaimanapun,pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan kerintangan insulin. Jangan ambil berlebihan ya!

6. Baik Untuk Kesihatan Jantung & Menstabilkan Tekanan Darah

Tambahan pula, madu tualang juga berfungsi dalam penjagaan kesihatan jantung kerana ia dapat mengawal tekanan darah.

Ia mengandungi mineral seperti kalium, yang dapat membantu dalam pengawalan tekanan darah dengan melancarkan perjalanan darah, membantu relaksasi otot dan merendahkan kesan sodium. 

7. Penjagaan Kulit & Menunda Penuaan

Sekiranya anda perasan, banyak produk kecantikan wajah yang menjadikan madu sebagai salah satu bahan utama. 

Hal ini adalah kerana, madu tualang mengandungi komponen bioaktif seperti flavonoid (salah satu sumber antioksidan) yang menjadi faktor pelindung kepada sel dan tisu kulit.

Bahan antioksidan ini juga bertanggungjawab dalam membantu pengekalan kolagen yang menjadi penyokong struktur kulit. Lebih banyak kolagen, lebih baik struktur kulit. Sekaligus membantu melambatkan penuaan dan menjadi kulit tampak lebih licin serta berseri.

Kesimpulan 

Tidak asing lagi madu tualang sememangnya mempunyai 1000 kebaikan untuk kesihatan dan juga kecantikan. Malah, madu juga merupakan salah satu makanan sunnah Rasulullah S.A.W dalam penjagaan kesihatan. 

Apa pun, pastikan anda dapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar perubatan sekiranya perlu dan jangan ambil dengan kadar berlebihan!

Sumber: 

https://rootofscience.com/, http://www.ukm.my/jsm/pdf_files/SM-PDF-47-11-2018/14%20Ahmad%20Firdaus%20Bin%20Khalid.pdf 

Leave a comment

Your email address will not be published.