Khasiat Ulam Raja, Bagus Untuk Penyakit 3 Serangkai (Hipertensi, Diabetes, Jantung)

Ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos caudatus adalah merupakan sejenis tumbuhan dalam kategori sayuran yang sering dijadikan ulam dan dimakan secara mentah sambil dicicah bersama sambal, budu, tempoyak dan lain-lain. Makan dengan nasi panas, fuh sedap tak terkata. 

Ia diklasifikasikan dalam genus kumpulan Cosmos berdasarkan ciri-ciri tumbuhan ini yang renek, sederhana tinggi dan mempunyai daun berbentuk bintang. Pokoknya mampu tumbuh sehingga mencecah 2 meter. 

Khasiat Ulam Raja

Selain menjadi pelengkap menu hidangan, ulam raja mempunyai khasiat yang tertentu dalam kesihatan menyebabkan ia menjadi kegemaran ramai dan sering digunakan sebagai bahan perubatan tradisional. 

Mari kita baca khasiat ulam raja di bawah satu persatu. 

Khasiat Ulam Raja

  1. Bagus Untuk Kesihatan Jantung

Pengambilan ulam raja dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Hal ini kerana, ulam raja kaya dengan sumber komponen bioaktif seperti asid askorbik, asid klorogenik, quercetin, proanthocyanidin serta mengandungi kalori yang rendah. 

Kesemua komponen ini sangat bermanfaat untuk membantu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung. Termasuk diabetes dan juga darah tinggi. 

Komponen bioaktif ini berfungsi untuk membantu mengurangkan kadar penghasilan hormon prostaglandin, iaitu hormon yang menyebabkan keradangan dalam badan khususnya di bahagian otot jantung.

  1. Membantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah 

Terdapat kajian yang membuktikan bahawa pengambilan ulam raja secara konsisten dalam kuantiti 15 gram setiap hari dapat membantu mengawal paras bacaan glukosa dalam darah daripada meningkat.

Ulam raja boleh membantu meningkatkan paras sensitiviti insulin iaitu sejenis hormon yang bertanggungjawab untuk mengawal paras gula dalam darah. 

  1. Membantu Mengawal Tekanan Darah Tinggi  

Mempunyai tindak balas anti-diuretik, ekstrak ulam raja dapat digunakan sebagai salah satu alternatif bagi mengurangkan dan mengawal bacaan tekanan darah tinggi khususnya kepada golongan pre-hipertensi yang tidak bergantung kepada sebarang ubat.

  1. Kaya Dengan Sumber Antioksida

Ulam raja mengandungi sumber antioksida yang tinggi berbanding beberapa jenis herba yang lain. Ia mengandungi asid askorbik, thiamin dan riboflavin sebagai antioksida utama.

Peranan antioksida ini adalah untuk melawan radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Biasanya radikal bebas terhasil daripada proses pencernaan makanan yang bersifat karsinogenik atau terdedah kepada persekitaran yang tercemar. 

Oleh itu, pengambilan makanan yang tinggi antioksida secara seimbang dapat mengurangkan pengumpulan radikal bebas dan risiko penyakit kronik seperti kanser. 

  1. Baik Untuk Sistem Perkumuhan

Sistem perkumuhan melibatkan fungsi hati. Pengambilan ulam raja dapat membantu meningkatkan fungsi hati dan menyokong fungsi pembuangan bahan kumuh yang terkumpul. 

  1. Melindungi Dan Menguatkan Tulang 

Mengandungi sumber antioksida yang tinggi, ekstrak ulam raja juga dipercayai mampu memberikan perlindungan kepada tulang untuk mengelakkan tulang rapuh atau osteoporosis. 

Ekstrak ulam raja dapat membantu membaiki struktur asas tulang dan meningkatkan ketumpatan tulang untuk menjadikan tulang anda lebih kuat dan stabil.

  1. Bersifat Anti-Mikrobial Dan Anti-Kulat 

Akar ulam raja mengandungi sejenis kompaun (Phenylpropane) yang mempunyai kriteria anti-kulat terhadap kulat seperti Cladosporium cucumerinum, Candida albicans. 

Bukan itu sahaja, ia juga bersifat anti-mikrobial terhadap lima jenis bakteria seperti Bacillus subtilis, Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa dan Candida albicans.

Hal ini akan membantu menguatkan sistem imun tubuh untuk mengelakkan terkena penyakit yang berpunca daripada bakteria. Selain itu, ia juga bagus untuk melindungi usus anda.

Kesimpulan 

Khasiat ulam raja untuk kesihatan memang tidak dapat diragukan namun, anda perlu terus memakan ubat-ubatan yang telah diberikan oleh doktor dan tidak berharap dengan ekstrak herba sahaja untuk sembuh. 

Dapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli perubatan sekiranya perlu.

Sumber: https://rootofscience.com/ 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161