Kudis Buta : Punca, Simptom, Dan Kaedah Rawatan

Kudis buta atau dikenali sebagai scabies ialah penyakit kulit gatal disebabkan oleh kutu tungau atau Sarcoptes Scabiei.

Penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Kutu tungau pula merupakan sejenis parasit yang menumpang pada makhluk lain untuk kelangsungan hidup.

kudis buta
Kredit Foto : healthline.com

Punca Kudis Buta

Serangan kutu tungau sukar untuk dilihat dengan mata kasar namun kesannya memang cukup dirasai.

Kutu tungau menjangkiti kulit manusia dengan memasuki permukaan kulit lalu hidup dan membiak.

Kulit akan alami alahan seperti gatal dan ruam merah akibat penghasilan protein serta najis kutu ini.

Penyakit ini juga boleh berjangkit kepada orang terdekat seperti ahli keluarga atau rakan terdekat.

Ia juga mudah dijumpai di pakaian, cadar serta perabot.

Baca Juga : Cara Hilangkan Parut Jerawat Yang Degil

Simptom Kudis Buta

Bagi yang dijangkiti penyakit ini, simptom biasanya akan muncul selepas 6 minggu.

Simptom juga akan cepat berkembang bagi individu yang pernah terkena kudis buta sebelum ini.

Antara simptom utama penyakit ini ialah kulit tumbuh ruam dan teras sangat gatal lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Menurut portal MyHealth, kudis buta juga sering dikaitkan dengan simptom lain seperti :

  • Kesan calar pada kulit akibat menggaru
  • Bintik merah seperti rumah pada tapak tangan dan kaki
  • Muncul garisan hitam beralun dan pendek pada kulit

Kawasan yang sering dijangkiti pada badan kanak-kanak mahupun dewasa biasanya berlaku di :

  • Pergelangan tangan
  • Siku
  • Ketiak
  • Pinggang
  • Punggung
  • Celah jari

Ia juga boleh menyerang bayi dan warga emas seperti di sekitar badan seperti :

  • Kepala
  • Muka
  • Leher
  • Tangan
  • Tapak kaki
kudis buta
Kredit Foto : mayoclinic.com

Komplikasi Kudis Buta

Menggaru dengan terlalu kerap boleh menyebabkan kulit luka sehingga memberi ruang pada jangkitan bakteria sekunder. Ini boleh menyebabkan komplikasi kudis api atau impetigo.

Kondisi ini berlaku akibat jangkitan bakteria staphylococci atau streptococci.

Terdapat juga penyakit kudis buta yang lebih kronik iaitu kudis buta berkerak atau crusted scabies.

Penyakit kudis buta berkerak ini membuatkan kulit kelihatan bersisik atau berkerak dan boleh merebak ke seluruh badan. Ia juga lebih mudah berjangkit dan sukar dirawat.

Ia biasanya menyerang golongan berisiko seperti :

  • Pesakit kronik dengan sistem imuniti badan yang lemah seperti pesakit HIV atau pesakit leukimia kronik
  • Pesakit yang terlantar di hospital atau pusat penjagaan
  • Warga tua di pusat penjagaan
kudis buta
Kredit Foto : jiwasihat.com

 Rawatan Kudis Buta

Rawatan bagi masalah ini biasanya dilakukan dengan sapuan krim atau losyen atas saranan doktor.

 Doktor biasanya akan menasihatkan pesakit untuk menyapu ubat pada waktu malam ketika kutu tungau sedang aktif.

Biasanya sapuan ini perlulah diteruskan selama 3 hingga 7 hari berturut-turut bergantung pada saranan doktor.

Doktor juga mungkin akan mengesyorkan ubatan tambahan bagi meredakan simptom. Antara ubat tambahan yang sering diberikan ialah :

  • Antihistamin seperti Benadryl atau losyen pramoxine bagi mengawal rasa gatal.
  • Antibiotik bagi menghapuskan jangkitan yang berlaku akibat sering menggaru.
  • Krim steroid untuk meredakan bengkak dan rasa gatal pada kulit.

Ubat-ubatan ini mungkin perlu diteruskan sehingga beberapa minggu bagi memastikan kudis betul-betul hilang.

Kedah Pencegahan

Bagi mencegah penularan penyakit ini kepada orang terdekat, beberapa langkah pencegahan perlulah diambil seperti :

  • Sebelum menyapu ubat, bersihkan badan dahulu dengan air suam dan sabun. Kemudian keringkan badan sebelum menyapu ubat pada kulit.
  • Cuci pakaian dan cadar dengan sabun dan air panas. Keringkannya dengan suhu yang panas.
  • Jika barangan pesakit tidak dapat dicuci, letakkan barangan dalam plastik yang diikat ketat bagi memastikan kutu tungau hilang punca makanan.
  • Elakkan bersentuhan dengan pesakit.

Sumber :

Everything You Need to Know About Scabies

https://www.healthline.com/health/scabies

Scabies

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/scabies/symptoms-causes/syc-20377378

Kudis Buta

http://www.myhealth.gov.my/

Kudis Buta: Punca, Simptom dan Rawatan

https://rootofscience.com/blog

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85