Bunga Cengkih: 5 Manfaatnya Terhadap Kesihatan Manusia

Banyak manfaat bunga cengkih terutama untuk perut, gigi dan kepala

Bunga cengkih, atau nama saintifiknya Syzygium aromaticum merupakan bunga dari pokok cengkih. 

Pada zaman dahulu, cengkih mempunyai harga yang setara dengan emas. Pada abad ke 13 dan 14, ia didagangkan dari Indonesia ke China, India, Persia, Afrika dan Eropah.

Kini, cengkih merupakan herba yang banyak digunakan di dalam masakan kita terutamanya kari daging. Malah, ia juga digunakan dalam roti dan kek sebagai penaik rasa.

Bunga cengkih boleh digunakan begitu sahaja atau dalam bentuk serbuk. 

Selain kegunaannya dalam masakan, cengkih juga mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan.

Ia juga sering digunakan sebagai perubatan tradisional, terutamanya untuk menstabilkan kadar gula dalam darah.

Dalam artikel kali ini, kami akan menerangkan kebaikan cengkih terhadap kesihatan.

Jom baca lebih lanjut untuk tahu kebaikan cengkih terhadap kesihatan badan!

Kebaikan bunga cengkih terhadap kesihatan

Bunga cengkih

Siapa sangka bunga cengkih mempunyai manfaat yang sangat besar terhadap kesihatan

Di bawah, kami kongsikan 5 kelebihan bunga cengkih terhadap kesihatan:

1. Mengandungi nutrisi penting

Bunga cengkih mengandungi serat, vitamin dan mineral yang penting untuk badan. 

Selain fungsinya untuk menaikkan rasa makanan, ia juga mempunyai manfaat tersendiri terhadap kesihatan badan.

Sesudu cengkih (2 gram) mengandungi:

  • 6 Kalori
  • 1 Gram karbohidrat
  • 1 Gram serat
  • 55% keperluan harian magnesium
  • 2% keperluan harian vitamin K

Walaupun kaya dengan magnesium, serbuk cengkih hanya digunakan dalam jumlah yang sedikit. 

Oleh sebab itu, ia mungkin tidak dapat membekalkan nutrisi yang mencukupi.

2. Dapat meningkatkan kesihatan perut

Cengkih digunakan secara tradisional untuk melegakan sakit perut.

Menurut buku Herbs that Heal: Natural Remedies for Good Health, cengkih digunakan secara turun-temurun untuk meningkatkan kesihatan perut dan mengurangkan iritasi.

Malah, ia juga sering digunakan untuk merawat ulser perut. Kajian menunjukkan, pengambilan cengkih boleh menebalkan mukus pada lapisan perut.

Ini akan menggalakkan penyembuhan ulser dan mengelakkannya daripada berlaku lagi pada masa hadapan.

3. Baik untuk kesihatan oral

Bunga cengkih

Minyak cengkih boleh digunakan untuk mengelakkan pembentukan plak, gingivitis dan bakteria di dalam mulut.

Kajian membandingkan kegunaan pencuci mulut herba yang mengandungi cengkih dan minyak tea tree dengan pencuci mulut yang dijual di pasaran.

Mereka mendapati, jumlah bakteria di dalam mulut selepas berkumur dengan pencuci mulut herba adalah lebih sedikit berbanding pencuci mulut komersial.

Malah, selepas 21 hari penggunaan, mereka mendapati kesihatan gusi pengguna menjadi semakin baik. Jumlah plak dalam mulut juga berkurang dengan ketara!

4. Mungkin dapat melindungi kita daripada kanser

Kajian menunjukkan beberapa komponen yang boleh ditemui di dalam cengkih mungkin dapat melindungi kita daripada kanser.

Malah, satu kajian menggunakan tiub ujikaji menunjukkan bahawa komponen di dalam cengkih dapat menghentikan tumbesaran tumor dan sel kanser.

Menurut Today’s Dietitian¸ ½ sudu serbuk bunga cengkih mengandungi lebih banyak antioksidan berbanding ½ cawan beri biru.

Kandungan antioksidan yang tinggi ini juga boleh mengurangkan kerosakan sel yang boleh menyebabkan kanser.

Walau bagaimanapun, kajian di atas menggunakan ekstrak cengkih dalam jumlah yang tinggi.

Oleh sebab itu, kajian yang lebih lanjut perlu dilakukan untuk menentukan jumlah sebenar ekstrak cengkih yang selamat untuk kegunaan manusia.

5. Bunga cengkih boleh melegakan sakit kepala

Ramai orang yang menggunakan cengkih sebagai penawar sakit kepala.

Mudah sahaja, cuba campurkan cengkih bersama secubit garam. Kemudian, tambahkan ke dalam segelas susu.

Campuran ini mungkin dapat mengurangkan sakit kepala dengan efektif.

Bahaya penggunaan minyak bunga cengkih

Bunga cengkih

Menurut National Center for Biotechnology Information, penggunaan minyak cengkih yang berlebihan mungkin datang dengan risiko serta bahayanya yang tersendiri.

Ia boleh menyebabkan keradangan pada kawasan kulit, mata dan sistem pernafasan. Malah, ada juga orang yang mungkin akan mengalami alahan terhadap bunga cengkih.

Tambah lagi, bunga cengkih juga berpotensi meningkatkan kebarangkalian badan untuk mengalami pendarahan jika terdedah dengan warfarin.

Oleh sebab itu, penggunaan cengkih atau sebarang produk herba perlulah disertai dengan konsultasi daripada doktor terlebih dahulu.

Doktor dapat memberikan khidmat nasihat mengenai kesan sampingan serta interaksi terhadap ubat-ubatan yang mungkin berlaku.

Rujukan

  1. Cloves: Health Benefits, Nutrients per Serving, Uses, Safety Information, and More. WebMD. Retrieved February 14, 2022, from https://www.webmd.com/diet/health-benefits-cloves
  2. Cloves: Health benefits and uses. Medical News Today. Retrieved February 14, 2022, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/320768#risks-side-effects-and-considerations
  3. 10 Surprising Health Benefits of Cloves. Organic Facts. Retrieved February 14, 2022, from https://www.organicfacts.net/health-benefits/herbs-and-spices/health-benefits-of-cloves.html
  4. 8 Surprising Health Benefits of Cloves. Healthline. Retrieved February 14, 2022, from https://www.healthline.com/nutrition/benefits-of-cloves#The-bottom-line
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: