Daun pandan merupakan sejenis herba yang sangat popular di Malaysia dan Thailand. Aromanya yang unik membuatkan makanan dan minuman mempunyai rasanya yang tersendiri.

Malah, pemandu teksi di Vietnam juga menggunakan herba ini di dalam kereta sebagai pewangi.

Pandan boleh digunakan dalam bentuk daun, serbuk, ekstrak atau sebagai minyak pati. Namun, pandan jarang digunakan dalam makanan, kecuali dalam hidangan tertentu.

Ramai orang yang menanam pandan di kawasan rumah untuk kegunaan sendiri.

Di samping kegunaannya sebagai perasa dan pewangi dalam makanan, ia juga mempunyai banyak khasiat dan manfaat terhadap kesihatan.

Manfaat daun pandan terhadap kesihatan

Daun pandan sebenarnya mengandungi pelbagai vitamin, mineral dan antioksidan penting yang baik untuk kesihatan.

Sebagai contoh, pandan kaya dengan vitamin A yang baik untuk kesihatan mata. Malah, vitamin A juga dapat mencegah kanser.

Walau bagaimanapun, masih banyak lagi kajian yang perlu dijalankan untuk mengetahui manfaat sebenar pandan terhadap kesihatan.

Namun, ada beberapa khasiat pandan yang diperakui sains. Sebagai contoh:

1. Dapat melegakan masalah sendi

Daun pandan telah digunakan secara tradisional untuk melegakan kesakitan, terutamanya arthritis dan masalah sendi.

Malah, minyak pati yang diperbuat daripada ekstrak pandan juga kaya dengan bahan kimia yang didapati dapat mengurangkan sakit badan.

Selain itu, pandan juga dapat melegakan sakit kepala dan sakit telinga.

2. Membantu mengurangkan tekanan darah

Kajian menunjukkan, teh pandan dapat membantu menurunkan tekanan darah.

Malah, mereka yang mengambil teh pandan dua kali sehari didapati mempunyai tekanan darah yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak mengamalkannya.

Teh pandan amat mudah untuk disediakan. Letak 3 gram daun pandan dan rebus dengan 3 cawan air. Pastikan air pandan menyejat sehingga tinggal 1 cawan.

Kemudian, simpan di dalam teko dan nikmatinya panas atau sejuk pada bila-bila masa yang anda inginkan.

Anda juga boleh menambah hirisan halia atau serai sebagai penambah rasa.

3. Berkesan menghilangkan kelimumur

Rasa malu sebab rambut berkelimumur? Cuba sapukan ekstrak daun pandan pada kulit kepala. Tumbuk pandan sehingga lumat dan campurkan dengan air sebelum menyapunya pada kepala.

Ekstrak pandan ini dapat membuatkan rambut anda lebih sihat dan bermaya. Pada masa yang sama, ia juga dapat mengurangkan masalah kelimumur.

Walau bagaimanapun, masalah rambut gugur dan kelimumur boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti stres dan penggunaan produk yang salah.

Oleh sebab itu, pastikan anda pilih produk yang sesuai dengan kondisi rambut sebelum beli.

Jika anda rasa tertekan dalam satu tempoh masa yang panjang, berjumpalah doktor untuk sesi konsultasi.

4. Daun pandan mungkin dapat membantu tidur malam

Cuba minum teh pandan bersama campuran madu sebelum tidur. Teh ini dapat membantu anda tidur dengan lebih lena pada waktu malam, terutamanya bagi penghidap insomnia.

Teh pandan dapat melegakan stres yang boleh menyebabkan masalah tidur. Malah, aromanya yang menenangkan juga memudahkan anda melelapkan mata pada waktu malam!

5. Membantu mengawal kadar gula dalam darah

Daun pandan mungkin dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah.

Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Advances in Pharmacological Sciences, orang dewasa yang kerap minum teh rebusan pandan mempunyai kadar gula dalam darah yang lebih rendah berbanding mereka yang minum air suam.

Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian perlu dijalankan pada masa hadapan untuk mengetahui kesan sebenar pandan terhadap kadar gula dalam darah.

6. Dapat meningkatkan kesihatan oral

Mengunyah pandan dapat menyegarkan nafas disebabkan aromanya yang menyenangkan. Malah, ada juga yang menggunakan teknik sama untuk menghentkan pendarahan pada gusi.

Namun, kaedah ini merupakan cara tradisional yang tidak mempunyai bukti saintifik.

Bagaimana hendak menggunakan pandan?

Di negara kita, daun pandan amat mudah untuk didapati. Ia boleh ditambah ke dalam nasi atau direbus untuk dijadikan teh.

Selain itu, anda juga boleh:

  1. Menggunakan daun pandan untuk menambah rasa pada makanan. Balut ikan atau ayam dengan pandan sebelum bakar untuk rasa yang lebih sedap.
  2. Gunakan pandan untuk memerap daging. Campurkan bersama sos, serai, air serta bahan-bahan lain dan gaulkan bersama daging.
  3. Letakkan pandan di dalam air, tambah gula dan masak dengan api perlahan untuk membuat sirap pandan.
  4. Tambahkan pandan dalam pencuci mulut.

Hati-hati semasa mengambil ekstrak daun pandan

Walaupun daun pandan mempunyai pelbagai manfaat dari segi kesihatan, pastikan anda mengambilnya secara sederhana.

Pengambilan pandan yang terlalu banyak mungkin akan menyebabkan masalah seperti sakit perut dan cirit-birit disebabkan sifat laksatifnya.

Malah, makanan yang mengandungi pandan juga selalunya mempunyai gula yang tinggi. Oleh sebab itu, elakkan kuih-muih dan manisan yang dijual di pasar malam walaupun ia mengandungi pandan.

Makanan yang manis bukan sahaja tidak baik untuk badan, ia juga akan membatalkan segala kebaikan yang ada pada daun pandan. Jadi, berhati-hatilah semasa membeli dan jadilah pengguna yang bijak!

Rujukan

  1. Pandan Health Benefits, Nutrients per Serving, Preparation Information, and More. WebMD. Retrieved January 29, 2022, from https://www.webmd.com/diet/health-benefits-pandan
  2. 4 Health Benefits From The Fragrant Pandan. AIA Malaysia. Retrieved January 29, 2022, from https://www.aia.com.my/en/what-matters/health-wellness/4-health-benefits-from-the-fragrant-pandan.html
  3. Pandan leaves: uses, health benefits, and storage. New Malaysian Kitchen. Retrieved January 29, 2022, from https://www.newmalaysiankitchen.com/pandan-leaves/
  4. 9 PANDAN LEAVES BENEFITS | Pandanus amaryllifolius. (n.d.). Practical Health and Wellness Solutions |. Retrieved January 29, 2022, from https://www.practicalhealthandwellnesssolutions.com/pandan-leaves-benefits-pandanus-amaryllifolius/
  5. What Is Pandan? Benefits, Uses, Taste, and Substitutes. (2020, October 20). Healthline. Retrieved January 29, 2022, from https://www.healthline.com/nutrition/pandan#downsides
  6. Pandanus odoratissimus (Kewda): A Review on Ethnopharmacology, Phytochemistry, and Nutritional Aspects. Retrieved January 29, 2022, from https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4408760/

Leave a comment

Your email address will not be published.