Keputihan merupakan sesuatu yang normal untuk wanita. Turut dikenali dengan nama vaginal discharge atau lelehan faraj, keputihan mempunyai fungsi yang sangat penting untuk melindungi sistem reproduktif wanita.

Malah, ia juga berfungsi untuk memastikan Miss V kekal bersih dan mengelakkan sebarang jangkitan.

Pada kawasan vagina, terdapat banyak mikroorganisma penting yang bertindak mengekalkan pH dalam julat yang normal. Lelehan faraj inilah yang akan pastikan kawasan vagina mempunyai pH dan kelembapan sesuai untuk semua mikroorganisma baik ini.

Kebanyakan masanya, wanita mempunyai lelehan faraj yang normal. Jumlahnya juga berbeza mengikut individu sama jugalah dengan warna dan bau keputihan. Semua ini bergantung pada kitaran haid masing-masing.

Sebagai contoh, wanita akan alami masalah lelehan faraj yang lebih serius ketika mengalami proses ovulasi atau sedang menyusukan anak. Lelehan faraj juga akan semakin bertambah jika wanita sedang terangsang.

Namun, lelehan faraj yang berbau hanyir dan luar biasa selalunya merupakan tanda penyakit. Sama jugalah jika ia berwarna kuning atau hijau serta lebih pekat daripada biasa.

Sebagai wanita, anda haruslah lebih cakna dalam mengesan masalah keputihan sendiri. Jika anda ingin tahu beza lelehan faraj yang normal dan tidak normal, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

Ciri keputihan yang normal

Selalunya, lelehan faraj yang normal mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Nipis, jernih, berwarna putih atau sedikit kekuning-kuningan.
  2. Selalunya akan bertambah banyak 2 minggu sebelum haid.
  3. Mungkin akan berubah mengikut kontraseptif yang diambil.
  4. Tidak mempunyai bau yang pelik atau hanyir.
  5. Tidak akan menyebabkan iritasi pada kawasan Miss V.

Bagi sesetengah wanita, ia adalah normal untuk mempunyai keputihan yang lebih banyak daripada biasa. Jadi, gunakan pantyliner untuk pastikan seluar dalam sentiasa kering. Wanita lain pula mungkin tidak mempunyai masalah lelehan faraj.

Lelehan faraj yang normal terdiri daripada cecair mukus dan bakeria. Mukus ini akan membersihkan Miss V manakala bakteria akan memastikan pH vagina kekal seimbang. Malah, bakteria ini jugalah yang akan mengelakkan pertumbuhan kulat pada kawasan intim.

Tanda-tanda jangkitan

Perubahan konsistensi, warna dan bau lelehan faraj sahaja tidak cukup untuk menandakan jangkitan.

Oleh sebab itu, jika anda mempunyai simptom lain dan pernah melakukan seks tanpa perlindungan (tidak menggunakan kondom), pastikan anda berjumpa pakar secepat mungkin.

Antara tanda jangkitan pada Miss V ialah:

  1. Kegatalan pada kawasan intim yang menyebabkan rasa pedih.
  2. Keputihan yang pekat dan berwarna putih.
  3. Perubahan ketara dan drastik pada lelehan faraj.
  4. Bau yang teruk dan berkekalan sepanjang hari.
  5. Rasa sakit pada sebelah bawah abdomen.
  6. Ada bisul atau jerawat di kawasan kemaluan.

Jika anda mempunyai masalah ini, cepat-cepatlah berjumpa doktor sakit puan untuk rawatan selanjutnya.

Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan keputihan berbau?

Masalah lelehan faraj yang berbau selalunya disebabkan oleh jangkitan. Ada banyak langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan berulang di masa hadapan. Antaranya:

1. Jaga kebersihan badan untuk elak keputihan

  1. Mandi dengan kerap. Basuh kawasan intim menggunakan air suam.
  2. Elakkan penggunaan produk tertentu pada kawasan intim, terutamanya yang mengandungi pewangi.
  3. Selepas menggunakan tandas, lap kawasan intim dengan tisu atau tuala bersih. Kemudian, lap dari depan ke belakang dan bukan sebaliknya untuk elak jangkitan.
  4. Buang air kecil selepas melakukan hubungan seks.
  5. Basuh tangan sebelum menyentuh kawasan intim.

2. Penggunaan tuala wanita

  1. Gunakan tuala wanita yang tidak mempunyai pewangi.
  2. Tukar tuala wanita dengan kerap, setiap 2-3 jam sekali.
  3. Jangan guna tampon sepanjang hari. Tukar kepada tuala wanita sebelum tidur.

3. Jangan meruang

  1. Jangan sesekali meruang tanpa arahan doktor.
  2. Aktiviti meruang boleh menyebabkan masalah keputihan yang bertambah serius dan menganggu pH Miss V.

4. Pemakaian

  1. Pakai seluar dalam kapas untuk pastikan kawasan intim dapat ‘bernafas’.
  2. Jangan pakai seluar dalam atau seluar yang ketat.
  3. Terus tukar baju selepas bersenam. Jangan berlama-lama memakai seluar dalam yang basah dengan peluh.

5. Gaya hidup

Menurut Nationwide Children’s Hospital, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah lelehan faraj yang berlebihan:

  1. Makan secara sihat, bersenam dengan kerap dan dapatkan tidur yang mencukupi.
  2. Jumpa doktor secepat mungkin jika mengalami masalah pada kawasan intim.
  3. Elakkan melakukan hubungan seks dengan lebih daripada 1 pasangan. Gunakan kondom untuk mengelakkan jangkitan kelamin.

Rujukan

  1. Vaginal Discharge. https://patient.info/doctor/vaginal-discharge. Diakses pada 4 Jun, 2022.
  2. Vaginal Discharge. https://www.nationwidechildrens.org/conditions/vaginal-discharge. Diakses pada 4 Jun, 2022.
  3. Vaginal Discharge. https://familydoctor.org/condition/vaginal-discharge/. Diakses pada 4 Jun, 2022.
  4. What Is Vaginal Discharge? Symptoms, Causes, Diagnosis, and Treatment. https://www.everydayhealth.com/vaginal-discharge/guide/. Diakses pada 4 Jun, 2022.
  5. Vaginal Discharge. https://my.clevelandclinic.org/health/symptoms/4719-vaginal-discharge. Diakses pada 4 Jun, 2022.

Leave a comment

Your email address will not be published.