Hidung Berdarah? Ini Apa Yang Perlu Anda Lakukan!

Hidung berdarah merupakan sesuatu yang menakutkan. Walau bagaimanapun, masalah ini jarang sekali menandakan sesuatu yang serius. Malah, semua orang pasti akan mengalaminya sekali seumur hidup. 

Sebenarnya, masalah hidung berdarah boleh dirawat di rumah dengan mudah. Untuk pengetahuan anda, hidung berdarah turut dikenali dengan nama epistaxis.

Ketika pendarahan berlaku, darah boleh keluar dari sebelah atau kedua-dua belah lubang hidung. Ia juga boleh berlaku selama beberapa saat hinggalah 15 minit ataupun lebih.

Dalam kalangan kanak-kanak berusia 3 hingga 10 tahun, hidung berdarah merupakan sesuatu yang normal.

Malah, ia selalunya berlaku disebabkan luka pada bahagian dalam hidung.

Namun, jika ia berlaku dalam kalangan warga emas, perkara ini perlu dirujuk kepada doktor secepat mungkin.

Apakah yang menyebabkan hidung berdarah?

hidung berdarah

Dua punca utama hidung berdarah ialah (1) cuaca yang kering atau (2) luka pada bahagian dalam hidung. 

Dalam kalangan kanak-kanak pula, perbuatan mengorek hidung juga boleh menyebabkan hidung berdarah. Kadangkala, mereka tidak sengaja mencederakan bahagian dalam hidung yang lembut dengan kuku yang panjang. 

Selain itu, alahan, luka, penggunaan bahan-bahan terlarang seperti dadah juga boleh menyebabkan hidung mengalami pendarahan.

Dalam kalangan orang yang berusia pula, mereka mungkin mengalami aterosklerosis, jangkitan, tekanan darah tinggi, atau masalah pembekuan darah yang boleh menyebabkan pendarahan.

Walau bagaimanapun, bukan semua pendarahan yang berlaku boleh ditentukan puncanya.

Namun, jika ia berlaku dengan kerap, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin.

Hidung yang berdarah terlalu kerap mungkin merupakan tanda penyakit saluran darah ataupun tumor pada kawasan hidung. Tumor ini mungkin merupakan kanser ataupun bukan kanser. 

Apa yang perlu dilakukan jika hidung berdarah?

hidung berdarah

Untuk menghentikan pendarahan:

  1. Tenangkan diri. Jika anda takut atau panik, pendarahan boleh menjadi semakin teruk.
  2. Cuba duduk dan picit hidung selama 10 hingga 15 minit.
  3. Sengetkan badan anda kehadapan dan bernafas melalui hidung. Ini akan membuatkan darah tidak termasuk ke bahagian tekak anda.
  4. Alaskan hidung dengan kain dan letakkan pek ais di atas tulang hidung anda.
  5. Jika boleh, berdiri tegak. Berbaring hanya akan membuatkan pendarahan menjadi semakin teruk.
  6. Jika pendarahan tidak berhenti, anda mungkin perlu ke hospital secepat mungkin.

Walaupun begitu, kebanyakan pendarahan selalunya akan berhenti dalam masa beberapa minit.

Sebagai panduan, berjumpalah dengan pakar sekiranya:

  1. Pendarahan berlaku lebih daripada 20 minit.
  2. Pendarahan berlaku disebabkan luka, jatuh atau dipukul sesuatu. Selalunya, ini merupakan tanda pendarahan dalaman.
  3. Terlalu banyak darah yang keluar sehingga sukar untuk bernafas.
  4. Kanak-kanak yang mengalami pendarahan berusia kurang daripada 2 tahun.
  5. Anda mengambil ubat pencair darah.
  6. Anda mengalami masalah ini setiap minggu.

Semasa pemeriksaan, doktor akan melakukan pemeriksaan untuk memastikan sama ada darah tersebut datang daripada hidung anda ataupun tidak.

Adakah kondisi ini berbahaya terhadap kesihatan saya?

hidung berdarah

Selalunya, hidung berdarah tidak akan mendatangkan sebarang masalah yang serius. 

Walau bagaimanapun, jika masalah ini berlaku dengan kerap, ia mungkin menandakan kondisi yang lebih serius seperti tekanan darah tinggi atau masalah pembekuan darah.

Malah, pendarahan yang berlaku dalam satu tempoh masa yang lama juga boleh menyebabkan masalah seperti anemia.

Jika doktor mengesyaki masalah yang lebih serius, beliau mungkin akan mencadangkan agar anda berjumpa dengan doktor pakar telinga, hidung dan tekak atau ENT untuk pemeriksaan lanjut.

Cara untuk mengelakkan pendarahan

Sebenarnya, jika pendarahan itu bukan berlaku disebabkan penyakit, ia boleh dielakkan dengan mudah. Antara langkah yang boleh diambil adalah:

  1. Elakkan mengorek hidung dengan kuku yang panjang.
  2. Jangan hembus hidung terlalu kuat. Lakukannya dengan perlahan-lahan dan lembut.
  3. Pastikan rumah anda mempunyai pelembap udara untuk memastikan udara tidak kering.
  4. Pakai peralatan perlindungan diri ketika bersukan untuk elakkan kecederaan pada kawasan hidung atau kepala.
  5. Pastikan anda mengikut arahan ketika menggunakan decongestant. Alat ini boleh menyebabkan pendarahan jika anda menggunakannya dengan salah.
  6. Berhenti merokok. Amalan merokok boleh menyebabkan hidung anda kering dan mudah berdarah.

Selepas membersihkan luka

Selepas luka dibersihkan, jangan sesekali kopek luka pada kawasan hidung. Jika tidak, ia tidak akan pernah sembuh. 

Malah, luka tersebut boleh meninggalkan parut jika kerap dikopek.

Jumpa doktor jika anda mengalami simptom seperti:

  1. Bengkak atau merah pada kawasan luka.
  2. Rasa sakit yang menjadi semakin teruk.
  3. Kawasan sekeliling luka rasa panas.
  4. Bau yang kurang menyenangkan.
  5. Keluar cecair yang luar biasa.
  6. Demam atau kesejukan.

Semua ini mungkin merupakan tanda jangkitan pada kawasan luka anda.

Kesimpulan

Jangan risau, hidung berdarah merupakan sesuatu yang tidak serius. Oleh sebab itu, jangan panik jika anda tiba-tiba mengalami pendarahan lebih-lebih lagi ketika cuaca panas.

Dongakkan kepala dan tekan hidung dengan dua jari. Pendarahan sepatutnya berhenti dalam masa beberapa minit.

Jika pendarahan tidak berhenti, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor boleh menentukan punca pendarahan serta merawatnya untuk anda.

Rujukan

  1. https://kidshealth.org/en/parents/nose-bleed.html
  2. https://www.webmd.com/first-aid/nosebleeds-causes-and-treatments
  3. https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/ears-nose-and-throat/nosebleed
  4. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/nosebleeds
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: