muntah darah

Muntah darah atau dalam terma perubatannya hematemesis merupakan kondisi yang serius di mana darah terkeluar daripada mulut.

Keadaan ini tidaklah merujuk kepada darah yang keluar sedikit dari mulut seperti gusi berdarah selepas berus gigi atau selepas hidung berdarah.

Baca Juga : Aduh, Sakitnya Dada! Adakah Ia Disebabkan Pedih Ulu Hati?

Kredit Foto : klikdokter.com

Beza Muntah Darah Dengan Batuk Berdarah

Batuk berdarah merupakan keadaan yang sering kita lihat dalam babak drama.

Berbanding muntah darah, batuk berdarah berpunca daripada pendarahan dari paru-paru.

Muntah darah juga tidak boleh disamakan dengan batuk berdarah (hemoptysis) yang terjadi pada pesakit pneumonia, bronkitis dan pesakit kanser paru-paru.

Punca muntah darah pula biasanya berasal dari salur gastrousus (gastrointestinal tract) serta masalah organ seperti perut dan hati.

Bagaimana Rupa Muntah Darah ?

Memetik Healthline, warna darah yang dimuntahkan juga boleh membantu doktor untuk kenalpasti punca masalah kesihatan.

Warna darah yang dimuntahkan boleh didapati dalam pelbagai warna seperti :

1.Merah terang – Warna ini biasanya menandakan pendarahan serius pada perut atau esofagus.

Warna darah yang lebih terang juga menandakan darah baru keluar dari tempat pendarahan dengan aliran yang laju.

2. Merah dan bercampur dengan makanan

3.Coklat seakan warna serbuk kopi – Warna darah yang lebih gelap menandakan darah sudah berada di salur gastrosus dalam masa yang lama.

Ini menandakan pendarahan yang berlaku secara lebih perlahan dan darah yang terperap lama dalam badan.

Jika boleh, ambil gambar untuk memudahkan doktor diagnos masalah kesihatan anda.

Punca Muntah Darah

Darah yang dimuntahkan biasanya datang daripada salur gastrousus yang melibatkan esofagus, perut dan duodenum.

Masalah pankreas juga boleh menjadi punca bagi muntah darah.

Terdapat beberapa punca bagi muntah darah. Pada kebanyakan masa, ia merupakan masalah yang serius dan perlu dirawat secepat mungkin.

Kredit Foto : statnews.com

Antara punca yang boleh dikenal pasti ialah :

  1. Koyakan pada dinding esofagus akibat terlalu banyak muntah. Kondisi ini juga dikenali sebagai Mallort-Weiss tear.

2.Urat saraf bengkak pada bahagian bawah esofagus dan perut.

Ia sering berlaku pada pesakit hati kronik serta individu yang ketagih alkohol dalam jangka masa panjang.

3. Tumbuh ulser pada bahagian duodenum atau perut berdarah.

4. Keradangan atau bengkak pada esofagus yang dipanggil esophagitis

5. Tumbuh tumor dalam perut atau esofagus. Tumor yang tumbuh pula ada yang mengandungi kanser atau bersifat bebas kanser.

6. Kecederaan pada kawasan abdomen

7. Keradangan pada perut atau gastritis

8. Pengambilan terlalu banyak aspirin atau ubat antiradang bebas steroid (NSAID).

9. Hakisan pada arteri di dinding perut. kondisi ini juga dikenali sebagai Dieulafoy’s lesion.

10. Keradangan pada usus kecil yang dipanggil duodenitis

11. Kanser pankreas

Diagnosis

Sebaik dikejarkan ke hospital, pasukan rawatan kecemasan akan stabilkan keadaan pesakit untuk mengelakkan komplikasi seperti tekanan darah, masalah pernafasan dan kehilangan darah.

Pesakit juga mungkin akan diberikan drip IV dan pembedahan sekiranya perlu.

Apabila pesakit sudah stabil, doktor akan kenalpasti punca muntah darah melalui beberapa ujian. Antaranya ialah :

  • Ujian darah
  • Ujian fungsi hati
  • X-ray
  • Nuclear medicine scan untuk melihat sebarang pendarahan pada saluran gastrousus
  • Pemeriksaan rektal
  • Ujian esophagogastroduodenoscopy (EGD) untuk kenalpasti punca pendarahan di saluran gastrousus bahagian atas.

Apabila punca muntah darah dapat dikenalpasti, doktor akan rancang rawatan yang terbaik untuk meredakan simptom serta punca bagi masalah ini.

Komplikasi Muntah Darah

Bergantung kepada keadaan kesihatan pesakit, muntah darah boleh menyebabkan komplikasi kesihatan.

Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah anemia akibat kehilangan darah terlalu banyak.

Namun, pesakit dengan masalah kesihatan yang merosot secara berperingkat seperti gastrik dan penggunaan NSAID secara kerap boleh menyebabkan pesakit turut alami masalah kekurangan darah dalam jangka panjang.

Dalam kes ini, biasanya pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom anemia sehinggalah disahkan melalui ujian darah.

Kaedah Rawatan

Bergantung kepada jumlah darah yang hilang, pesakit mungkin perlu jalani prosedur transfusi darah.

Untuk hidratkan semula badan, pesakit juga mungkin diberikan IV drip.

Doktor juga boleh memberikan ubat bagi menghentikan muntah atau mengurangkan rembesan asid perut bergantung kepada keadaan pesakit.

Kredit Foto : nih.gov/news-events

Sekiranya pesakit didapati mengalami pendarahan gastrousus yang teruk, pesakit akan dirujuk kepada pakar gastroenterologi.

Pakar akan lakukan pemeriksaan yang lebih lanjut untuk rawat punca pendarahan.

Dalam kes yang serius seperti gastrointestinal perforation, pesakit perlulah jalani pembedahan.

Sekiranya anda mula muntah darah, jangan berlengah untuk dapatkan rawatan kecemasan dengan segera.

Ia boleh menjadi petanda pelbagai penyakit terutamanya berkaitan dengan saluran gastrosus, perut dan hati.

Sekiranya tidak dirawat segera, ia juga boleh menyebabkan komplikasi seperti anemia, kesukaran untuk bernafas dan juga boleh mengancam nyawa.

Sumber :

Hematemesis: Causes and Treatments for Vomiting Blood

https://www.healthline.com/health/vomiting-blood\

Vomiting Blood

https://my.clevelandclinic.org/health/symptoms/17708-vomiting-blood#care-and-treatment

Leave a comment

Your email address will not be published.