Cara dan Niat Puasa Ganti Ramadan: Panduan Lengkap & Fidyah

Ramadan sudah berlalu beberapa hari lepas, rata-rata ramai juga yang sudah mula berpuasa sunat 6 hari Syawal ketika ini. Bagi sesiapa yang mempunyai halangan (yang dibenarkan syarak) dan terpaksa ponteng puasa Ramadan lalu, kita sebenarnya boleh menghimpunkan sekali puasa sunat ini dengan puasa ganti sekaligus.

Dianjurkan umat Islam untuk menyegerakan puasa ganti berdasarkan Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala:

Maksudnya: “Dan demikian lagi orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan qada Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dulu.” – (Rujuk Kitab Bughyag At-Tullab, halaman 128)

Apakah qada puasa?

Qada dari bahasa membawa erti membayar. Manakala dalam istillah syarak, qada adalah mengerjakan semula atau menggantikan ibadah puasa yang tidak sah, tertinggal, atau sengaja di tinggalkan pada hari yang lain.

Puasa qadha atau juga dikenali sebagai puasa ganti adalah kewajipan menggantikan puasa wajib yang telah ditinggalkan sama ada sengaja atau tidak.

Hukum puasa ganti Ramadan

Hukum mengantikan puasa Ramadan adalah wajib bagi yang membatalkan puasa sama ada kerana keuzuran atau tanpa sebarang keuzuran. Ini jelas dalam firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui. – (Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Lafaz niat puasa ganti

“Nawaitu shauma ghadin ‘an qadhaa i fardhi ramadhaana lillaahi ta’aalaa”

Maksudnya: “Aku berniat puasa esok hari kerana mengganti fardhu Ramadan kerana Allah ta’ala.”

Waktu untuk qadha puasa

Puasa qada adalah muwassa’ (luas). Ini bermakana puasa ganti boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja selepas sebulan Ramadan sehingga bulan Ramadan yang berikutnya. Namun, kita dilarang untuk berpuasa pada hari-hari atau waktu yang diharamkan seperti:

  • Puasa satu Syawal Hari Raya Aidilfitri
  • Sepuluh Zulhijjah iaitu jatuh pada Hari Raya Aidiladha / Korban
  • Pada 11, 12, 13 Zulhijjah iaitu hari Tasyrik
  • Hari wanita sedang kedatangan datang haid atau uzur
  • Puasa sunat oleh seorang isteri tanpa mendapatkan izin dari suaminya
  • Puasa pada separuh kedua daripada bulan Syaaban

Cara menggantikan puasa yang telah lama ditinggalkan

Solusi untuk menggantikan puasa yang telah lama ditinggalkan adalah dengan membayar fidyah. Fidyah bermaksud membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin.

Puasa yang telah ditinggalkan itu tetap wajib diganti, dalam nisbah dan kadar yang sama. Iaitu satu hari tertinggal bersamaan dengan satu hari puasa ganti. Manakala, jumlah fidyah akan meningkat mengikut tahun. Sedangkan bagi bilangan puasa ia tetap sama.

Siapa yang perlu membayar fidyah?

1. Uzur menunaikan puasa wajib

Uzur di sini bermaksud sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, golongan tua yang tidak mampu lagi untuk berpuasa, atau kedua-duanya. Fidyah perlu dikenakan pada tahun Ramadan yang sama.

Bilangan hari tidak berpuasa X kadar fidyah pada tahun tersebut

2. Wanita hamil yang tidak berpuasa kerana bimbang keselamatan bayi dalam kandungan

Ibu yang sedang hamil dan tidak berpuasa kerana bimbang kerana keselamatan bayi dalam kandungannya hendaklah mengantikan puasa. Namun sekiranya, si ibu tidak sempat mengantikan puasa sehingga Ramadan berikutnya, maka dia akan dikenakan fidyah.

Bilangan hari tidak berpuasa X tahun gandaan X kadar fidyah (cupak)

3. Wanita hamil yang tidak berpuasa kerana bimbang keselamatan dirinya

Ibu yang sedang hamil dan tidak berpuasa kerana bimbang kerana keselamatan dirinya hendaklah mengantikan puasa. Namun sekiranya, si ibu tidak sempat mengantikan puasa sehingga Ramadan berikutnya, maka dia akan dikenakan fidyah.

Bilangan hari tidak berpuasa X tahun gandaan X kadar fidyah (cupak)

4. Ibu yang menyusukan anak

Ibu yang menyusukan anak dan tidak berpuasa kerana bimbang akan memudharatkan kesihatan bayi yang disusuinya. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan puasa yang ditinggalkan. Namun sekiranya, si ibu tidak sempat mengantikan puasa sehingga Ramadan berikutnya, maka dia akan dikenakan fidyah.

Bilangan hari tidak berpuasa X kadar fidyah pada tahun tersebut

5. Orang yang telah meninggal dunia

Bagi orang yang telah meninggal dunia tetapi tidak sempat mengqada’ puasa yang tertinggal, waris boleh melakukannya sebagai ganti. Hal ini berlaku sekiranya waris tahu bilangan puasa yang ditinggalkan oleh si mati

Bilangan hari tidak berpuasa X kadar fidyah pada tahun tersebut

6. Melambatkan ganti puasa (qada’)

Individu yang lambat mengantikan puasa hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan), akan dikenakan denda membayar fidyah sekaligus menggantikan qada’ puasa yang ditinggalkan. Malah bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Bilangan hari tidak berpuasa X tahun gandaan X kadar fidyah (cupak)

Kesimpulan

Gunakanlah kesempatan di bulan Syawal ini untuk menggantikan puasa Ramadan yang tertinggal. Makin lama kita menangguhya, makin kita mudah lupa dan malas untuk melaksanakannya.

Rujukan

  1. Al-Kafi #1798: Apakah Lafaz Niat Puasa Ganti? (May, 2021). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4817-al-kafi-1798-apakah-lafaz-niat-puasa-ganti
  2. Puasa Qadha (September, 2011). Shafiqolbu dari, https://shafiqolbu.wordpress.com/2011/09/14/puasa-qadha/
  3. 6 Golongan Kena Bayar Fidyah & Cara Pengiraannya, Salah Satunya Melambatkan Ganti Puasa (Qada’) (March, 2018). Mingguan Wanita dari https://www.mingguanwanita.my/6-golongan-kena-bayar-fidyah-cara-pengiraannya-salah-satunya-melambatkan-ganti-puasa-qada/
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113