Niat Wudhu Lengkap & Doa Selepas Wudhu: Teks Rumi dan Terjemahan

Wudhu dari segi bahasa bermaksud sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.

Manakala dari segi syarak pula, wudhu bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

Wudhu hanya boleh dilakukan sekiranya anda mempunyai sumber air untuk melakukannya. Jika tiada, maka wudhu boleh di ganti dengan tayammum.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali … ” – (Surah Al-Maai’dah, ayat 6)

Hukum berwudhu

Hukum berwudhu ada dua iaitu wajib atau pun sunat. Kedua-dua hukum ini ditentukan bergantung pada situasi kita pada ketika itu.

Berwudhu menjadi wajib sekiranya kita:

  • Mendirikan ibadah wajib seperti solat fardhu lima waktu sehari semalam, solat sunat, solat jenazah, sujud syukur, menyentuh Al-Quran atau menyentuh buku yang mengandungi surah Yasin
  • Melaksanakan ibadah di tanah suci seperti melakukan tawaf Ka’bah, sama ada tawaf fardhu mahupun sunat

Berwudhu menjadi sunat sekiranya kita:

  • Ketika hendak mandi wajib
  • Hendak membaca Al-Quran, hadis dan buku
  • Ketika hendak tidur
  • Ketika marah
  • Melakukan azan
  • Duduk di dalam masjid
  • Mengusung jenazah
  • Mengambil wudhu semula bagi yang sudah mempunyai wudhu dan belum terbatal wudhunya

Niat wudhu

Nawaitu rafaal hadasi as ghori lillahi Taala 

Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala.”

Bacaan doa selepas wudhu

“Asy hadu an laa Ilaha illallahu. Wahdahu laa syarikalah. Wa asy hadu anna Muhammadan ‘abduhu warasuluh. Allahummaj ‘alni minat tauwabin, waj ’alni minal mutatahhirin. Waj ‘alni min ‘ibadikas solihin.”

Maksudnya: “Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tidak ada sekutu untuk Nya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusan Nya. Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepada Mu. Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih. Dan jadikan aku daripada golongan hamba Mu yang soleh.”

Syarat sah berwudhu

Antara syarat sah berwudhu yang perlu anda tahu adalah seperti:

  1. Islam (orang bukan Islam tidak wajib berwudhu)
  2. Mumayyiz / tamyiz (dapat membezakan yang mana baik dan buruk iaitu yang telah berusia antara tujuh hingga sembilan tahun)
  3. Tidak berhadas besar (haid, nifas, dan junub)
  4. Berwudhu dengan air yang suci dan menyucikan
  5. Tidak ada penghalang air sampai ke kulit, rambut dan kuku seperti cat, lilin, getah, tatu, pewarna rambut, pewarna kuku, gincu bibir, eyeshadow, dan sebagainya
  6. Mengetahui mana yang wajib dan mana yang sunnah

Rukun wudhu

Rukun wudhu adalah merupakan hal-hal yang membentuk kesatuan wudhu yang telah ditentukan. Maksudnya di sini, sekiranya kita meninggalkan atau tidak melaksanakan salah satu dari rukun ini, maka wudhu menjadi batal.

Antara rukun wudhu yang perlu anda tahu adalah seperti:

1. Niat

Iaitu diniatkan di dalam hati ketika mengambil wudhu bacalah sewaktu mula hendak membasuh muka.

2. Membasuh muka

Mengalirkan air serta meratakannya ke seluruh muka yang dibasuh itu, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut, hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri sebanyak 3 kali.

3. Membasuh tangan hingga ke siku

Dimulai dari hujung jari hingga siku. Mulakan dari tangan kanan dahulu dan diikuti tangan kiri, lakukan sebanyak 3 kali.

4. Membasuh kepala

Meratakan dan menyapu ubun kepala. Adalah baik menyapu seluruh kepala sebanyak 3 kali.

5. Membasuh kaki hingga ke buku lali

Mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki, tumit hingga buku lali atau mata kaki. Mulakan dari sebelah kanan ke kiri sebanyak 3 kali.

6. Tertib

Mengikut urutan. Yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiakan.

Kesimpulan

Diharapkan artikel berkenaan dengan berwudhu ini dapat memberikan anda informasi dan pengetahuan yang bermanfaat. Seseorang yang menganggap sambil lewa dengan perbuatan berwudhu akan menyebabkan amalan-amalannya seperti solat tidak sah dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Rujukan

  1. Menyingkap Rahsia Bacaan Solat, Kunci Kelazatan Iman Solat Bestari (Cetakan 1, 2010). Karya Bestari, penulis Muhammad Nazir Mohammed Khalid.
  2. Cara Ambil Wudhu (Mengambil Wuduk Dengan Betul & Sempurna). The Rohani, dari https://therohani.com/cara-ambil-wudhu-mengambil-wuduk/
  3. 5 Manfaat Berwudhu untuk Kehidupan Sehari-hari, Umat Muslim Wajib Tahu (Disember, 2020). Merdeka.com, dari https://www.merdeka.com/jateng/5-manfaat-berwudhu-untuk-kehidupan-sehari-hari-umat-muslim-wajib-tahu-kln.html
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113