Panau : Gejala, Diagnosis dan Kaedah Rawatan

Masalah panau pada permukaan kulit cukup sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Ia boleh menyebabkan kulit bertompok pucat atau gelap.

Bagaimanakah ia terjadi dan apakah kaedah rawatan bagi mengatasi masalah ini?

panau
Kredit Foto : childclinic.net

Baca Juga : Kurap : Punca, Simptom, Rawatan dan Kaedah Pencegahan

Bagaimana Panau Terjadi ?

Panau berlaku apabila kulat Malassezia membiak dengan pantas di permukaan kulit.

Memetik The Diagnosa, terdapat beberapa jenis kulat Malasezzia yang boleh dikenal pasti namun kulat yang menyebabkan panau ialah Malasezzia furfur.

Malasezzia furfur mempunyai dua fasa kitaran hidup yang menentukan sama ada ia boleh menyebabkan panau pada kulit atau tidak.

1. Fasa Yis

Pada fasa ini, kulat berada dalam fasa spora dan tidak aktif. Kulat pada fasa ini juga boleh dijumpai pada kulit normal yang tidak dijangkiti panau.

2. Fasa Hyphae

Pada fasa ini, kulat telah berkembang dan mengeluarkan unjuran yang dikenali sebagai hyphae.

 Unjuran ini bertindak sebagai akar yang berpaut pada kulit bagi mendapatkan nutrisi.

Di samping itu, unjuran hyphae juga menghasilkan beberapa jenis bahan kimia yang menyebabkan kekurangan penghasilan melanin pada kulit.

Apabila kadar melanin kurang, ia akan menyebabkan kawasan kulit kelihatan pucat.

Keadaan inilah yang menjadikan kulit bertompok dan panau.

Faktor Pembiakan Kulat Panau

Terdapat beberapa faktor yang menggalakkan pertumbuhan kulat ini pada kulit seperti :

  • Cuaca yang lembap dan panas
  • Banyak berpeluh
  • Kulit berminyak
  • Sistem pertahanan badan yang lemah
  • Perubahan hormon
  • Pesakit yang mengambil ubat-ubatan seperti steroid sistemik atau imunosuppressant
panau
Kredit Foto : medicalnewstoday.com

Gejala Panau

Kulit yang bertompok cerah pada kulit merupakan antara simptom yang paling sinonim dan ketara bagi masalah ini.

Tompokan yang terhasil juga boleh didapati dalam bentuk bujur, bulat dan kadang kala bercantum sehingga menyebabkan permukaan yang terjejas nampak lebih luas.

 Biasanya tompokan boleh dijumpai pada lengan, dada, leher dan bahagian belakang. Tompok-tompok yang timbul juga boleh kelihatan :

  • Lebih cerah (hypopigmentation) atau lebih gelap (hyperigmentation) berbanding tona kulit sedia ada
  • Kemerahan, berwarna coklat atau merah jambu
  • Kering, gatal dan bersisik
panau
Kredit Foto : mayoclinic.com

Diagnosis

Biasanya ia boleh didiagnos berdasarkan pengamatan ciri-ciri fizikal dan klinikal.

Sampel kulit juga perlu diambil bagi mengenalpasti pembiakan kulat dengan tepat.

Dengan menggunakan mikroskop, kulat yang menyebabkan panau boleh dikenalpasti dengan bentuk spaghetti dan bebola daging (meatballs).

panau
Kredit Foto : myhealth.gov.my

Kaedah Rawatan

Ia boleh diubati dengan dua kaedah iatu ubat sapu atau pengambilan ubat makan/sistemik.

Ubat sapu boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :

  1. Ubat tidak spesifik terhadap kulat seperti losyen 2.5% selenium sulphide, propylene glycol dan Whitfield’s ointment.
  2. Ubat sapu antikulat seperti kumpulan azole seperti micronazole dan econazole serta krim terbinafine.

Kedua-dua jenis ubat ini mampu membunuh pembiakan kulat pada kawasan panau.

Bagi memastikan pembiakan kulat terhapus sepenuhnya, pesakit perlulah gunakan ubat sapu selama 2 minggu.

Untuk ubat makan jenis anti-kulat seperti fluconazole atau itraconazole, ia biasanya diberikan kepada pesakit yang lebih mudah mengambil ubat makan berbanding ubat sapu.

Kaedah Pencegahan Panau Berulang

Pada tahun pertama, orang yang pernah mengalami panau terdedah kepada risiko jangkitan berulang sebanyak 60%.

Bagi mengatasi masalah ini, mereka disyorkan untuk menggunakan losyen selenium sulphide sebanyak sebulan sekali.

Pengambilan ubat sistemik antikulat selama sehari hingga tiga hari sebulan juga dilihat membantu dalam mencegah jangkitan berulang.

Biasanya panau bukanlah masalah kulit yang perlu dirisaukan kerana ia boleh dirawat dengan penggunaan ubat sapu atau ubat makan seperti yang disyorkan doktor.

Ia juga tidak boleh berpindah kepada orang lain melalui jangkitan.  

Secara keseluruhan, pesakit boleh sembuh menggunakan kaedah rawatan yang disyorkan doktor namun ia memakan masa untuk tompok-tompok pada kulit kembali seperti biasa.

Sumber :

Tinea Versicolor

https://www.healthline.com/health/tinea-versicolor

Apa Itu Panau

http://www.myhealth.gov.my/pityriasis-versicolor/

Panau: Punca, Simptom dan Cara Rawatan

thediagnosa.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85