Panduan Mudah & Niat Solat Jamak Qasar (Dengan Terjemahan Rumi)

Agama Islam adalah sebuah agama yang memberi kebaikan dalam segala aspek. Allah SWT Yang Maha Pemurah tidak akan membebankan hamba-hamba Nya dengan tanggungjawab dan kewajipan yang menyukarkan mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan yang terbatas. Kali ini, kami akan berkongsi kepada anda tentang panduan solat jamak qasar.

Apakah solat jamak qasar?

Solat jamak qasar mempunyai maksud yang berbeza bagi kedua-duanya walaupun masing-masing dalam perkataan Arab. Ia perlu dipecahkan menjadi dua bahagian iaitu jamak dan qasar.

Jamak dari segi bahasa bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan. Solat jamak adalah menghimpunkan dua waktu solat fardhu dengan melakukannya dalam satu waktu.

Solat jamak ini disyariatkan ketika Perang Tabuk iaitu pada tahun 7 Hijrah. Muaz bin Jabal berkata:

Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam Perang Tabuk dan Baginda bersolat zuhur dan asar bersama (jamak) dan maghrib dan isyak bersama.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Solat jamak terbahagi kepada dua iaitu jamak takdim dan jamak takhir. Jamak takdim adalah menunaikan solat yang kedua dalam waktu yang pertama. Contohnya solat asar ditunaikan dalam waktu zuhur, manakala solat isyak ditunaikan dalam waktu maghrib.

Solat jamak takhir adalah melewatkan solat yang pertama dan ditunaikan pada waktu kedua. Contohnya solat zuhur ditunaikan dalam waktu asar, manakala solat maghrib ditunaikan dalam waktu isyak.

Anaks bin Malik berkata:

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW berangkat sebelum matahari condong, Baginda akan melewatkan solat zuhur ke dalam waktu solat asar, kemudian Baginda berhenti (dalam perjalanan) lalu menjamakkan kedua-duanya. Jika condong matahari sebelum Baginda berangkat, Baginda akan menunaikan solat zuhur terlebih dahulu kemudian baru bertolak.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Qasar dari segi bahasa pula bermaksud memendekkan solat. Solat qasar membawa erti memendekkan jumlah rakaat solat dan boleh juga ia digabungkan dalam jamak.

Allah SWT berfirman mengenai solat yang dipendekkan ini dalam Al-Quran,

Maksudnya: “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa kamu mengqasarkan sembahyang mu, jika kamu takut diserang dengan kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh nyata bagimu.” – (Surah an-Nisa, ayat 101)

Ada juga hadis yang menyebutkan tentang perkara ini, daripada Aisyah RA berkata: “Allah mewajibkan solat dua rakaat, selepas itu dicukupkannya menjadi empat rakaat dan dibiarkan solat ketika musafir seperti pertama kali diwajibkan (dua rakaat).” – (Hadis Riwayat Muslim)

Ibn Abbas juga ada berkata,

Maksudnya: “Allah mewajibkan solat atas lisan (agama) Nabi kamu ketika mukim sebanyak empat rakaat dan ketika bermusafir dua rakaat, manakala ketakutan satu rakaat.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Syarat menqasarkan solat

  • Dalam perjalanan atau sedang bermusafir
  • Jarak perjalanan sekurang-kurangnya 2 marhalah atau 80.64 km
  • Mempunyai tujuan yang baik
  • Perlu berada dalam perjalanan selama solat ini dilakukan
  • Tidak tiba di kediaman sendiri atau tiba di destinai yang ingin dituju
  • Melepasi sempadan pekan/bandar tempat tinggal
  • Hanya solat fardhu yang boleh diqasarkan bukan solat qada
  • Boleh mengqasarkan solat empat rakaat iaitu zuhur, asar, dan isyak
  • Melafazkan niat qasar
  • Tidak menjadi makmum kepada mereka yang bersolat dengan rakaat penuh
  • Tidak menjadi makmum kepada imam yang tidak diketahui niatnya sama ada qasar atau penuh
  • Bukan berniat untuk menetap di tempat dituju selama 4 hari atau lebih (tidak termasuk hari pergi dan pulang)
  • Apabila tidak pasti tempoh masa perjalanan akan selesai, diharuskan qasar solat sehingga 18 hari (tidak termasuk hari pergi dan pulang)

Syarat jamak takdim

  • Tertib mengikut kedudukan waktunya, mendahulukan solat zuhur sebelum asar
  • Melafazkan niat untuk menghimpunkan solat kedua dalam waktu solat pertama
  • Menyegerakan solat yang kedua selepas solat pertama
  • Masih dalam perjalanan ketika solat ini dilakukan

Syarat jamak takhir

  • Melafazkan niat untuk menghimpunkan solat pertama dalam waktu solat kedua
  • Masih dalam perjalanan ketika solat ini dilakukan

Lafaz niat solat jamak qasar

Ini adalah lafaz-lafaz niat yang perlu diucapkan mengikut pilihan jenis rukhsah solat yang anda lakukan.

1. Niat solat jamak takdim zuhur

  Usolli fardoz zuhri qosron rak’ataini jam’a takdiimin lillahi ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Zuhor, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah ta’ala.”


2. Niat solat jamak takdim asar

Usolli fardol ‘asri qosron rak’ataini jam’a takdiimin lillahi ta’ala 

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah ta’ala.”


3. Niat solat jamak takhir asar

Usolli fardol ‘asri qosron rak’ataini jam’a takhirin lillahi ta’ala   

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah ta’ala.”


4. Niat solat jamak takhir zuhur

 Usolli fardoz zuhri qosron rak’ataini jam’a takhirin lillahi ta’ala   

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Zuhor, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah ta’ala.”


5. Niat solat jamak takdim maghrib

 Usolli fardol maghribi salasa raka’atin jam’a takdiimin lillahi ta’ala   

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Maghrib, tiga rakaat jamak takdim kerana Allah ta’ala.”


6. Niat solat jamak takdim isyak

Usolli fardol isya’i qosron rak’ataini jam’a takdiimin lillahi ta’ala 

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak takdim kerana Allah ta’ala.”


7. Niat solat jamak takhir maghrib

Usolli fardol maghribi salasa raka’atin jam’a takdiimin lillahi ta’ala   

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Maghrib, tiga rakaat jamak takdim kerana Allah ta’ala.”


8. Niat solat jamak takhir isyak

Usolli fardol isya’i qosron rak’ataini jama’a takhirin lillahi ta’ala   

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah ta’ala.”


Tatacara solat jamak qasar

Tatacara solat jamak qasar sama seperti solat fardhu yang biasa cuma ia terdapat perbezaan sedikit dari segi niat dan bilangan rakaat yang dipendekkan.

  1. Berniat dengan lafaz solat qasar / solat jamak / solat qasar jamak
  2. Kerjakan solat dengan rukun dan tertib yang sama seperti solat fardhu biasa bermula dari takbiratul ihram sehingga memberikan salam
  3. Bilangan rakaat akan berubah dari 4 rakaat kepada 2 rakaat sahaja jika anda berniat solat qasar atau solat qasar jamak
  4. Waktu solat didirikan sama ada di waktu pertama atau kedua juga bergantung pada niat sama ada solat jamak takdim atau solat jamak takhir
  5. Untuk solat qasar jamak, anda perlu memendekkan dan menghimpunkan kedua-dua waktu solat (zuhur – asar, maghrib – isyak). Niat perlu dilafazkan dua kali mengikut waktu solat

Kesimpulan

Setiap hari selama 24 jam, kita diberikan nikmat untuk menyedut udara lagi bagi meneruskan kehidupan. Hanya 5 minit paling kurang untuk kita mendirikan solat. Apabila didarabkan dengan 5 waktu, sekadar 25 minit dalam 24 jam yang diberikan untuk kita melaksanakan perintah solat. Baki 23 jam 35 minit adalah masa kita untuk menjalankan urusan masing-masing.

Adakah dengan waktu sedikit itu masih kita berkira-kira untuk solat? Bahkan dengan rukhsah yang diberikan juga sangat menunjukkan yang ibadah solat amat penting sebagai tiang agama.

Solat adalah satu pertalian hubungan kita dengan Allah SWT dan ianya tidak akan terputus walau dalam keadaan apa sekali pun.

Rujukan

  1. Ensiklopedia Solat. Telaga Biru (2011)
  2. Panduan Mudah Solat Jamak dan Qasar. Bidadari.my
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113