Mengetahui cara-cara berwuduk sama penting dengan mengetahui perkara yang membatalkan wuduk. Tanpa pemahaman yang menyeluruh, kita tidak mampu beribadah dengan sempurna.

6 perkara yang membatakan wuduk

1. Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi

2. Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk

3. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya

4. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati

5. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri

6. Murtad iaitu keluar dari agama Islam

Adakah batal wuduk suami bersentuhan dengan isteri?

Bersentuhan kulit antara suami isteri adalah termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk. Namun sekiranya mereka bersentuhan dengan berlapikkan sesuatu maka ia tidak jatuh kepada batal.

Hal ini jelas dalam Mazhab Syafie menyatakan: “Batal wuduk isteri dan suami sekiranya bersentuhan sama ada bernafsu ataupun tidak. Ini kerana suami atau isteri itu merupakan ajnabi diantara keduanya.” – ( Al-Taqrirat Al-Sadidah, 102)

Bersentuhan dengan bukan Muslim boleh batal wuduk?

Persentuhan kulit melalui persalaman (berjabat tangan) atau seumpamanya, antara sesama jenis walaupun berbeza agama, tidak membatalkan wuduk.

Namun begitu, sekiranya bersentuhan kulit dengan mereka yang berlainan jenis jantina tidak kira sama ada beragama Islam atau lain agama, ia akan membatalkan wuduk.

Firman Allah SWT :

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Sekiranya kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih.” – (Surah al-Maidah, ayat 6)

Bersentuhan kulit dengan kanak-kanak lain jantina, bagaimana status wuduk?

Kanak-kanak yang dimaksudkan ini adalah golongan yang belum mencapai had umur untuk akil baligh.

Syeikh Nawawi bin Umar al-Jawi ada menyebut tentang lima syarat untuk menjadikan persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan itu membatalkan wuduk. Pandangan tersebut adalah seperti berikut:

  • Persentuhan itu hendaklah antara lelaki dan perempuan. Maka tidak batal wuduk apabila seseorang menyentuh sesama jantina.
  • Persentuhan itu hendaklah pada kulit. Jika yang disentuh adalah rambut, gigi atau kuku, maka ia tidak membatalkan wuduk.
  • Persentuhan tersebut berlaku dengan ajnabi. Adapun persentuhan lelaki atau perempuan dengan mahram mereka ianya tidaklah membatalkan wuduk.
  • Persentuhan berlaku tanpa lapik. Sekiranya kedua-duanya berlapik atau salah seorangnya berlapik dan berlaku persentuhan antara keduanya, maka ini tidak membatalkan wuduk.
  • Persentuhan berlaku antara lelaki dan perempuan yang dewasa. Adapun persentuhan lelaki dewasa atau wanita dewasa dengan kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki maka ini tidaklah membatalkan wuduk.

(Kasyifah Al-Saja, Nawawi bin Umar )

Kenyataan ini disokong pula dengan pendapat dari Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili: 

Maksudnya: ’Tidak membatalkan wuduk jika menyentuh kanak-kanak perempuan (sekiranya tidak mendatangkan syahwat) serta menyentuh rambut, kuku atau gigi. Batal wuduk sekiranya menyentuh orang tua walaupun tidak bernafsu.” – (Al-Mu’tamad Fi Fiqh Al-Syafie, Al-Zuhaili)

Oleh itu, jelaslah bahawa persentuhan orang dewasa dengan kanak-kanak tidak membatalkan wuduk sekiranya ia tidak mendatangkan syahwat.

Kesimpulan

Wuduk yang sempurna adalah kunci kepada solat yang baik. Tanpa wuduk kita tidak boleh menunaikan solat kerana wuduk merupakan perkara wajib yang perlu dilakukan untuk melaksanakan ibadah ini. Oleh itu, perhatikanlah wuduk kita sentiasa.

Rujukan

  1. Al-Kafi #1579: Adakah Batal Wuduk Bersentuhan Dengan Bukan Muslim. pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4129-al-kafi-1579-adakah-batal-wuduk-bersentuhan-dengan-bukan-muslim
  2. Perkara-perkara yang boleh membatalkan wuduk (Jun, 2019). Media Permata dari, https://mediapermata.com.bn/perkara-perkara-yang-boleh-membatalkan-wuduk/
  3. Al-Kafi #1281: Adakah Batal Apabila Bersentuhan Kulit Dengan Kanak-Kanak Berlainan Jantina. pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3468-al-kafi-1281-adakah-batal-wuduk-apabila-bersentuhan-kulit-dengan-kanak-kanak-berlainan-jantina

Leave a comment

Your email address will not be published.