Pernahkah anda alami masalah bisul? Tahukah anda, punca bisul bukanlah disebabkan duduk di atas bantal! Tetapi, bisul sebenarnya akan terbentuk apabila berlakunya jangkitan pada satu atau lebih folikel rambut pada kulit.

Bisul merupakan sesuatu yang sangat menyakitkan. Ia dipenuhi nanah dan akan membuatkan kawasan kulit yang terkesan menjadi merah dan sakit apabila disentuh. Jika bisul tumbuh dengan banyak di satu-satu kawasan, ia dikenali sebagai karbunkel.

Selalunya, bisul akan tumbuh di kawasan muka, belakang leher, ketiak, celah kelangkang dan di punggung. Ia juga akan mula tumbuh sebagai ketulan yang berwarna merah atau ungu dan kemudiannya membesar sehingga ia pecah.

Masalah bisul boleh dirawat sendiri di rumah. Walau bagaimanapun, anda perlulah berhati-hati dan jangan sesekali picit atau pecahkannya. Jika tidak, jangkitan akan merebak dan lebih banyak bisul akan tumbuh pada masa hadapan.

Apakah punca bisul?

Punca utama bisul ialah jangkitan bakteria Staphylococcus aureus, sejenis bakteria yang dapat ditemui di kawasan kulit dan dalam hidung manusia.

Bisul akan menjadi semakin besar apabila nanah berkumpul di bawah kulit. Kadangkala, bisul juga boleh berlaku jika kulit terluka disebabkan kecederaan tertentu atau digigit binatang. Luka terbuka ini membuatkan bakteria lebih mudah untuk masuk ke dalam badan.

Untuk pengetahuan anda, bisul merupakan sesuatu yang lazim berlaku. Jangkitan virus dan juga kulat juga boleh menjadi punca bisul.

Malah, bisul boleh tumbuh pada mana-mana kawasan badan. Anda juga boleh mengalami bisul berulang kali. Jika ini yang berlaku, anda perlu mendapatkan rawatan doktor.

Tanda-tanda tumbuh bisul

Bisul akan mula tumbuh seakan-akan jerawat yang berwarna merah. Ia akan membuatkan kulit di sekitar menjadi merah dan bengkak. Lama-kelamaan, ketulan ini akan membesar dan dipenuhi cecair atau nanah.

Kesakitan juga akan bertambah apabila bisul semakin besar. Tetapi, apabila ia pecah, kesakitan akan beransur-ansur pulih.

Selalunya, bisul akan pecah dengan sendirinya. Namun, ada juga pesakit yang perlu mendapatkan bantuan pakar untuk memecahkan bisul tersebut.

Menurut Mount Sinai, antara simptom lazim bisul ialah:

  1. Ketulan yang besaiz kacang pea. Namun, ketulan ini juga boleh membesar sehingga bersaiz bola golf.
  2. Ada nanah atau bintik putih di tengah-tengah bisul.
  3. Tumbuh dengan cepat dan pantas.
  4. Keluar cecair di sekitar ketulan tersebut.
  5. Muncul banyak lagi bisul lain pada kawasan yang sama.

Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami simptom lain seperti:

  1. Demam.
  2. Rasa penat.
  3. Rasa sakit.
  4. Gatal sebelum tumbuh bisul.
  5. Kulit memerah di sekitar kawasan yang terkesan.

Bilakah bisul akan sembuh?

Selalunya, bisul mengambil masa 1 hingga 3 minggu untuk benar-benar sembuh. Dalam kebanyakan kes, bisul tidak akan sembuh sehinggalah nanah keluar atau bisul pecah. Ini mungkin mengambil masa selama 1 minggu.

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai banyak bisul, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin. Bergantung kepada keseriusan kondisi pesakit, dengan rawatan yang betul, bisul boleh sembuh dalam masa 2 hingga 3 minggu.

Doktor juga mungkin akan memberikan janji temu susulan untuk melihat sama ada bisul dapat sembuh dengan betul ataupun tidak.

Malah, doktor juga akan memberikan ubat tambahan untuk merawat masalah bisul serta simptom lain yang pesakit alami.

Apa yang anda perlu lakukan jika mempunyai bisul

  1. Rendamkan kain di dalam air hangat. Kemudian, tekap pada kawasan yang mempunyai bisul selama 10 minit, 4 kali sehari.
  2. Cuci kawasan di sekeliling bisul menggunakan sabun antibakteria jika bernanah.
  3. Tutup bisul dengan kain pembalut sehingga sembuh.
  4. Basuh tangan dan mandi dengan kerap.
  5. Makan paracetamol atau ibuprofen jika menghidap masalah bisul.
  6. Basuh cadar dan tuala sekurang-kurangnya seminggu sekali menggunakan air panas.
  7. Cuba turunkan berat badan jika anda kerap mengalami bisul.

Jangan sesekali

  1. Picit atau pecahkan bisul
  2. Jangan kongsi tuala dengan orang lain. Ini boleh menjadi punca bisul berjangkit.
  3. Jangan mandi air kolam atau pergi bersenam di gim sehingga bisul benar-benar sembuh.

Kongsi tuala dan cadar mungkin punca bisul

Jika anda menghidap bisul, doktor akan memberikan ubat berdasarkan punca bisul serta keseriusan jangkitan yang dialami. Pada masa yang sama, elakkan memicit atau memecahkan bisul sebelum masanya untuk elakkan jangkitan tersebut merebak.

Selain itu, berkongsi tuala, pakaian atau tempat tidur juga boleh menjadi punca bisul. Oleh sebab itu, elakkan berkongsi barang-barang peribadi dengan individu yang mempunyai bisul.

Anda juga perlulah menjaga kebersihan diri dan mandi 2 kali sehari untuk pastikan badan sentiasa bersih untuk mengelakkan bisul berlaku lagi pada masa hadapan.

Leave a comment

Your email address will not be published.