Ramai orang yang mengadu sering mengalami sakit kepala sebelah kanan.

Selalunya, kesakitan ini akan berlaku bersama simptom lain seperti rasa letih, loya dan kadangkala muntah-muntah.

Sakit kepala datang dalam pelbagai bentuk. Oleh sebab itu, lokasi sakit kepala juga mungkin memainkan peranan yang penting.

Jika anda sering sakit kepala, anda tidak berseorangan. Ia merupakan satu jenis kesakitan yang paling lazim di dunia. Malah, hampir 75% orang dewasa di seluruh dunia pernah mengalami sakit kepala.

Jangan pandang remeh masalah sakit kepala. Untuk sesetengah orang, sakit kepala yang dialami boleh menyebabkan timbulnya rasa gelisah.

Ramai juga akan mengalami tekanan perasaan dan mungkin terjerumus ke dalam lembah depresi disebabkan sakit kepala yang terlalu kerap.

Sakit kepala mungkin masalah turun-temurun

Masalah sakit kepala mempunyai kebarangkalian untuk berlaku secara turun-temurun, lebih-lebih lagi migrain.

Kanak-kanak yang menghidap migrain juga selalunya mempunyai ibu bapa yang menghidap penyakit yang sama.

Malah, mereka juga mempunyai risiko empat kali ganda lebih tinggi untuk menghidapnya pada masa hadapan.

Selain itu, sakit kepala juga boleh dicetuskan oleh faktor persekitaran. Sebagai contoh:

  1. Pengambilan makanan tertentu seperti kafein, alkohol, makanan yang ditapaikan, coklat dan keju.
  2. Pendedahan terhadap alergen tertentu seperti habuk, bulu haiwan atau debunga.
  3. Terdedah kepada asap rokok sekunder.
  4. Bau yang kuat daripada minyak wangi atau bahan kimia di rumah.

Sakit kepala sebelah kanan, apa puncanya?

Sakit kepala dan migrain masih belum difahami sepenuhnya oleh pakar.

Walau bagaimanapun, pakar berpendapat masalah sakit kepala ini berlaku disebabkan saraf yang tidak stabil.

Saraf ini akan memberikan raksi yang abnormal terhadap beberapa jenis faktor atau ‘trigger’.

Akibatnya, kita akan rasa sakit kepala yang amat sangat disebabkan perubahan bahan kimia pada otak.

Namun, apakah punca sakit kepala sebelah kanan? Sebenarnya, ada banyak jenis sakit kepala yang berbeza, namun ada beberapa jenis yang boleh dirasai di sebelah kanan kepala.

Antaranya ialah:

1. Sakit kepala sebelah kanan disebabkan faktor gaya hidup

Kadangkala, sakit kepala yang anda alami ini mungkin berlaku disebabkan faktor gaya hidup.

Cuba ingat kembali, adakah anda terlepas makan pada hari ini? Atau, adakah anda rasa tertekan dengan kerja atau isu peribadi?

Semua ini boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk.

Selain itu, pengambilan ubat tahan sakit tertentu juga boleh menyebabkan efek yang sama.

2. Jangkitan dan alahan

Jangkitan sinus dan alahan boleh menyebabkan sakit kepala.

Malah, sakit kepala yang berlaku disebabkan sinus boleh membuatkan kawasan rahang dan dahi menjadi sakit.

3. Pengambilan makanan atau ubatan tertentu

Penggunaan ubat-ubatan secara berlebihan juga boleh menyebabkan sakit kepala.

Malah, ia merupakan kesan sampingan ubat yang paling lazim dan mempengaruhi hampir 5% populasi dunia.

Individu yang mengalami masalah sakit kepala sebelah kanan disebabkan ubat selalunya akan mengalami kesakitan yang teruk sewaktu bangun tidur.

Antara contoh ubat yang boleh menyebabkan sakit kepala ialah:

  1. Pengambilan ubat tahan sakit. Ada beberapa jenis ubat tahan sakit yang boleh dibeli secara over-the-counter boleh menyebabkan sakit kepala. Malah, ia boleh 
  2. Pengambilan analgesik seperti acetaminophen dan NSAID (nonsteroidal anti-inflammatory drugs).
  3. Kafein. Pengambilan kopi secara berleluasa juga boleh menyebabkan sakit kepala.

Semua ubat-ubatan dan bahan ini boleh menyebabkan sakit kepala belah kanan. Namun, kebanyakan orang akan sembuh selepas pengambilan ubat ini dikurangkan.

4. Disebabkan penyakit tertentu

Ada beberapa penyakit yang boleh menyebabkan sakit kepala belah kanan. Sebagai contoh:

  1. Faktor genetik.
  2. Kegelisahan atau gangguan emosi.
  3. Apena tidur.
  4. Kerap mengetap gigi semasa tidur.

Walau bagaimanapun, bukan semua orang akan mengalami sakit kepala disebabkan penyakit.

5. Masalah lain menyebabkan sakit kepala sebelah kanan

Selain itu, sakit kepala juga boleh dicetuskan oleh masalah lain. Sebagai contoh:

  1. Trauma.
  2. Aneurisme.
  3. Tumor, sama ada bersifat kanser atau bukan kanser.
  4. Strok.

Jika sakit kepala anda berpunca daripada masalah lain, hanya doktor sahaja yang boleh melakukan diagnosis yang bertepatan.

Bila saya perlu berjumpa doktor?

Untuk sakit kepala yang tidak serius, anda perlu berjumpa doktor jika ia menganggu aktiviti harian anda. Sakit kepala yang berlarutan selama 2 hari merupakan sesuatu yang tidak normal.

Sama jugalah jika anda sakit kepala sebanyak 15 kali dalam masa sebulan.

Pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera jika sakit kepala sebelah kanan menjadi semakin teruk dan kerap.

Anda mungkin akan dirujuk kepada doktor pakar untuk diagnosis selanjutnya.

Jika anda sering sakit kepala, cuba minum lebih banyak air untuk mengelakkan dehidrasi.

Selain itu, ia juga boleh berlaku disebabkan stres atau tekanan di tempat kerja. Kawal stres anda untuk kurangkan masalah sakit kepala pada masa akan datang.

Rujukan

  1. Headaches: Types, Symptoms, Causes, Diagnosis & Treatment. (2020, June 3). Cleveland Clinic. Retrieved January 14, 2022, from https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9639-headaches
  2. 17 Types of Headaches: Locations, Symptoms, Causes & Treatment. (n.d.). MedicineNet. Retrieved January 14, 2022, from https://www.medicinenet.com/headache/article.htm
  3. Should I Worry About a Headache Only on One Side? (2020, September 24). Cleveland Clinic Health Essentials. Retrieved January 14, 2022, from https://health.clevelandclinic.org/when-should-i-worry-about-a-one-sided-headache/
  4. Slivinski, N. (2020, December 13). What Your Headache Location Tells You. WebMD. Retrieved January 14, 2022, from https://www.webmd.com/migraines-headaches/headache-location-types
  5. Weatherspoon, D. (n.d.). Headache on the Right Side of the Head: Causes, Types, and More. Healthline. Retrieved January 14, 2022, from https://www.healthline.com/health/headache-right-side#quick-relief
  6. Weatherspoon, D., & Kuruvilla, D. (n.d.). Headache on the right side: Causes, meaning, and tips for quick relief. Medical News Today. Retrieved January 14, 2022, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/321513#seeing-a-doctor

Leave a comment

Your email address will not be published.