Sakit dada sebelah kanan boleh berpunca dari pelbagai masalah kesihatan. Seperti yang kita tahu, bahagian dada menempatkan banyak organ manusia.

Organ yang terletak di bahagian kanan boleh terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan seperti keradangan atau kecederaan.

 Dalam kebanyakan masa, ia bukanlah berkaitan dengan jantung.

Baca Juga : Punca Sakit Perut Belah Kiri Yang Anda Perlu Tahu

Penyebab Sakit Dada Sebelah Kanan

1. Stres atau Keresahan

Stres yang melampau atau keresahan (anxiety)  boleh mengundang kepada panic attack.

 Ia juga boleh menyebabkan dada belah kanan sakit.

Serangan ini boleh berlaku pada bila-bila masa atau disebabkan oleh peristiwa yang mencemaskan pesakit. 

Antara simptom lain bagi panic attack termasuklah : 

  • Sesak nafas
  • Sakit dada 
  • Mengigil 
  • Berpeluh
  • Tangan dan kaki kebas
  • Tidak sedarkan diri

Disebabkan simptomnya mirip dengan serangan jantung, pesakit perlulah dikejarkan ke hospital dengan segera.

2. Sakit Otot

Otot yang sakit akibat aktiviti berat atau bersukan juga boleh mengakibatkan kawasan dada terasa sakit.

Biasanya rehat yang mencukupi serta pengambilan ubat tahan sakit dapat membantu memulihkan sakit otot. 

3. Kecederaan di Bahagian Dada

Otot pektoralis yang tercedera juga boleh menyebabkan rasa sakit di bahagian dada.

Rasa sakit ini juga boleh menjadi petanda kepada kecederaan atau keretakan tulang rusuk.

Antara simptom kecederaan pada bahagian dada termasuklah :

  • Sakit dada yang semakin teruk ketika sedang batuk, bersin atau ketawa.
  • Sesak nafas
  • Lebam dan bengkak
Kredit Foto : medicalnewstoday.com

4. Refluks Asid Perut

Refluks asid perut berlaku apabila asid perut berbalik ke esophagus.

Ia boleh menyebabkan rasa pedih di bahagian dada selepas anda makan, ketika bersenam atau berbaring. 

Selain sakit dada, refluks asid perut juga boleh mengakibatkan simptom seperti :

  • Rasa pedih di bahagian tekak
  • Kesukaran untuk telan makanan
  • Hujung tekak timbul rasa masam, berasid dan masin. 
  • Rasa tersangkut di bahagian tekak atau dada 

5. Costochondritis

Sakit dada merupakan simptom penting bagi penyakit ini. Ia berlaku apabila tulang rawan pada bahagian rusuk mengalami keradangan.

Walaupun rasa sakit sering dialami di bahagian kiri dada, terdapat juga sesetengah pesakit yang turut merasakan pedih di sebelah kanan. 

Simptom lain yang boleh dialami pesakit ialah rasa sakit di bahagian abdomen dan belakang.

Rasa sakitnya juga boleh menjadi semakin teruk apabila pesakit menarik nafas dalam-dalam atau batuk. 

Kesakitan di bahagian dada akibat costochondritis ini juga mirip dengan serangan jantung.

Jadi, pesakit perlulah segera dapatkan pemeriksaan doktor bagi mengenalpasti masalah kesihatan yang dialami. 

Kredit Foto : medicalnewstoday.com

6.  Pneumothorax

Berdasarkan perkongsian dari portal Kementerian Kesihatan Malaysia, pneumothorax adalah pengumpulan udara di bahagian rongga di antara paru-paru dan dinding dada.

 Ini adalah disebabkan terdapat kebocoran di antara rangka dada dan ruang pleura atau paru-paru.

Komplikasi ini boleh mengakibatkan paru-paru mengecut.

Antara gejala yang boleh dikenalpasti daripada penyakit ini ialah :

  • Sakit dada
  • Sesak nafas
  • Batuk
  • Jantung berdebar
  • Kulit menjadi biru akibat kekurangan oksigen

7. Cholecystitis

Keradangan pundi hempedu atau cholecystitis juga boleh mengakibatkan rasa sakit dada di sebelah kanan.

Dalam kebanyakan kes, penyakit ini berpunca daripada  batu karang hempedu yang menghalang saluran cecair hempedu ke duodenum dan pankreas.

 Ketika seseorang alami cholecystitis, rasa sakit akan mula timbul di bahagian kanan atas abdomen, dan boleh melarat ke dada dan bahu kanan.

Simptom lain yang boleh terjadi bagi penyakit ini ialah :

  • Loya dan muntah
  • Demam
  • Hilang selera makan
  • Badan berpeluh

8. Keradangan Pankreas

Keradangan pankreas atau pankreatitis juga boleh menyebabkan sakit dada sebelah kanan.

 Ia terjadi apabila enzim penghadaman menyerang sel pankreas sehingga menyebabkan inflamasi organ tersebut.

Seperti cholecystitis, penyakit keradangan pankreas juga boleh mengakibatkan rasa sakit dari dada melarat sehingga ke bahu dan belakang.

Simptom lain boleh muncul bagi keradangan pankreas yang teruk seperti :

  • Rasa sakit pada abdomen yang semakin teruk selepas makan
  • Demam
  • Degupan jantung laju
  • Loya dan muntah
Kredit Foto : health.mil

9. Pleuritis

Pleuritis berlaku apabila lapisan membran yang menyelaputi paru-paru atau pleura mengalami keradangan.

Kondisi ini boleh mengakibatkan dada sebelah kiri atau kanan terasa pedih apabila bernafas.

Rasa sakit ini juga boleh melarat sehingga ke bahu dan belakang.

Antara simptom lain yang boleh dialami oleh pesakit pleuritis ialah :

  • Sakit dada yang teruk apabila batuk, bersin atau ketawa
  • Sesak nafas
  • Jika pleuritis berpunca daripada jangkitan paru-paru, pesakit juga boleh alami demam dan batuk.

10. Pneumonia

Kes pneumonia makin sering kita dengari akibat penularan Covid-19.

 Ia berlaku apabila satu atau kedua paru-paru dijangkiti kuman atau virus.

 Pneumonia boleh menyebabkan pesakit batuk yang kadang-kala disertai kahak, dan rasa sakit pada dada kiri atau kanan.

Simptom lain bagi pneumonia ialah :

  • Kesukaran untuk bernafas
  • Demam
  • Berpeluh dan badan menggigil
  • Loya dan muntah
  • Cirit-birit

11. Keradangan Sistem Kardiovaskular

Terdapat dua jenis keradangan kardiovaskular yang boleh menyebabkan sakit dada iaitu perikarditis dan miokarditis.

 Kedua-dua kondisi ini boleh mengakibatkan sakit di bahagian kiri atau kanan dada.

Perikarditis merujuk kepada keradangan yang berlaku di tisu berbentuk kantung (perikardium) yang menyelubungi jantung.

Miokarditis pula berlaku apabila otot jantung mengalami keradangan.

Kedua-dua kondisi ini biasanya berlaku disebabkan oleh jangkitan serta menunjukkan banyak simptom yang sama seperti.

  • Demam
  • Badan lesu
  • Sukar untuk bernafas
  • Batuk
  • Bengkak pada kaki, buku lali atau perut

Kondisi perikarditis boleh menyebabkan rasa sakit dada yang parah seperti serangan jantung.

Memang sukar untuk mengagak punca sakit dada sebelah kanan akibat pelbagai kemungkinan.

Jika anda mengalami sakit dada serta simptom yang berkaitan seperti demam, kesukaran bernafas, muntah atau loya, dan keluar peluh dingin anda perlulah dapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera.

Ia boleh menjadi petanda kepada banyak kondisi kesihatan yang kritikal.

Sumber :

What’s Causing Pain in the Right Side of My Chest?

healthline.com

Leave a comment

Your email address will not be published.