Tanda sakit jantung bukanlah sekadar sakit dada kemudian jatuh ke lantai yang seperti kita lihat di kaca TV.

Sebenarnya gejala sakit jantung juga boleh berlaku dalam pelbagai keadaan pada badan.

Mungkin kita sendiri tidak sangka bahawa tanda-tanda tersebut merupakan isyarat bahawa jantung anda bermasalah.

Petanda-petanda ini juga perlulah dititikberatkan jika anda mempunyai masalah kesihatan seperti :

  • Diabetes
  • Kolesterol Tinggi
  • Darah Tinggi
  • Obesiti

Sakit jantung juga sering terjadi kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Namun, orang muda juga tidak terkecuali daripada penyakit ini.

Punca Sakit Jantung

Menurut Portal MyHealth, penyakit ini berlaku apabila pembuluh darah (arteri) menjadi sempit akibat penyumbatan plak lemak dan kolesterol mengakibatkan aliran darah terganggu dan tidak boleh mengalir ke jantung.

Otot jantung akan mengalami kekurangan oksigen dan menyebabkan “ischaemia”. Jika penyumbatan pembuluh darah di tahap yang teruk (>75%) bekalan oksigen akan terhenti.

Otot jantung yang terlibat akan mati. Ini boleh menyebabkan serangan jantung yang teruk dan boleh membawa kematian.

Antara tanda-tanda sakit jantung adalah seperti berikut:

1. Sakit Dada

Sakit dada merupakan antara gejala yang paling common bagi penyakit jantung. Jika anda mengalami masalah salur darah tersumbat atau serangan jantung, anda akan rasai sakit, sesak atau tekanan di bahagian dada. Rasa sakit ini mungkin berbeza bagi setiap individu.

Ada yang rasakan seperti dada ditekan, ada yang rasa pedih menyengat di bahagian dada. Biasanya rasa sakit ini akan kekal selama beberapa minit sebelum hilang sendiri.

2. Loya, Pedih Ulu Hati , Sakit Perut

Simptom-simptom ini biasanya terjadi pada pesakit wanita berbanding lelaki. Walaupun sakit perut boleh terjadi atas pelbagai sebab, ia juga boleh terjadi ketika serangan jantung.

Oleh itu, anda perlulah dapatkan pemeriksaan doktor bagi memastikan keadaan kesihatan anda.

3. Rasa Sakit Pada Bahagian Lengan

Simptom ini juga merupakan antara petanda yang paling ketara bagi penyakit jantung. Biasanya rasa sakit ini akan bermula dari dada dan merebak ke lengan kiri.

4. Pening Kepala

Kredit Foto : healthline.com


Pernah tak anda rasa pening kepala atau hilang imbangan bila mahu berdiri? Keadaan ini boleh berpunca dari pelbagai faktor seperti kelaparan atau bangun terlalu cepat.

Namun, jika anda rasa pening kepala serta sesak nafas dan sakit dada, anda perlulah dapatkan pemeriksaan doktor segera.

Ia mungkin terjadi disebabkan paras tekanan darah sudah menurun disebabkan jantung anda tidak dapat mengepam darah dengan baik.

Baca Juga : 11 Khasiat Minyak Zaitun Untuk Kesihatan Tubuh, Kulit & Rambut

5. Sakit Tekak Atau Rahang

Kalau diikutkan, sakit tekak dan rahang jarang dikaitkan dengan penyakit jantung. Ia biasanya disebabkan oleh penyakit seperti selsema atau resdung.

Namun, jika anda rasakan sakit atau tekanan pada dada dan merebak ke tekak atau jantung, ia mungkin tanda bagi penyakit jantung.

6. Mudah Rasa Penat

Jika anda rasa mudah penat selepas lakukan rutin yang anda biasa jalankan seperti menaiki tangga atau mengangkat barang, segeralah dapatkan pemeriksaan kesihatan.

Rasa penat yang melampau atau badan yang lesu tanpa diketahui puncanya boleh menjadi salah satu gejala bagi sakit jantung, lebih-lebih lagi pada perempuan.

7. Berdengkur Ketika Tidur

Kredit Foto : health.harvard.edu

Pernahkah pasangan atau ahli keluarga anda mengadu tentang dengkuran anda terlalu kuat pada waktu malam?

Berdengkur ketika tidur sebenarnya adalah perkara biasa. Namun, anda perlulah ambil perhatian sekiranya anda berdengkur terlalu kuat atau dengkuran anda diselangi dengan nafas tercungap-cungap.

Ia boleh jadi petanda kepada sleep apnea. Keadaan ini terjadi apabila anda berhenti bernafas pada satu jangka masa pendek ketika anda tidur. Ini boleh menyebabkan tekanan pada jantung anda.

8. Keluar Peluh Dingin

Keluar peluh dingin tanpa sebab yang nyata boleh menjadi tanda yang ketara bagi serangan jantung.

Jika ia berlaku dengan simptom-simptom sakit jantung lain, segeralah ke hospital berdekatan untuk dapatkan rawatan segera.

9. Batuk Yang Berlarutan Juga Tanda Sakit Jantung

Jika anda mengalami batuk yang berlarutan selama beberapa hari, anda mungkin mengalami sakit jantung. Ambil perhatian juga pada kahak yang keluar ketika batuk.

Jika ia berwarna putih atau merah jambu, ia boleh menjadi simptom kepada penyakit jantung lemah.

10. Betis, Buku Lali dan Kaki Bengkak

Jantung yang lemah tidak dapat mengepam darah secara berkesan. Ia juga akan membuatkan buah pinggang sukar untuk berfungsi dengan baik bagi menyingkirkan lebihan air dan garam dari badan.

Oleh sebab itu, kaki, betis dan buku lali boleh bengkak jika anda mempunyai masalah jantung.

11. Degupan Jantung Tidak Stabil

Sekali sekala kalau berdebar kerana cemas atau teruja itu normal. Ia juga boleh berlaku jika anda kurang tidur atau terlebih mengambil kafein.

Namun, jika ia sering berlaku tanpa sebab, ia boleh menjadi isyarat kepada atrial fibrillation iaitu keadaan degupan jantung tidak stabil sehingga boleh mengakibatkan strok atau serangan jantung.


Perbezaan Tanda Sakit Jantung Pada Lelaki Dan Wanita

Hormon estrogen yang dimiliki oleh kaum wanita turut berfungsi sebagai pelindung bagi serangan jantung.

Oleh sebab itu, kaum lelaki lebih mudah mengalami serangan jantung pada usia yang lebih muda berbanding wanita.

Namun, kelebihan ini tidak dapat melindungi wanita secara menyeluruh tanpa amalan gaya hidup aktif dan pemakanan yang sihat.

Menurut DoctorOnCall, kaum wanita biasanya menunjukkan gejala sakit jantung seperti mual, kelesuan yang melampau, ketidakhadaman dan rasa tidak selesa pada dada.

Walau begitu, gejala serangan jantung adalah berbeza-beza mengikut individu dan tidaklah bergantung kepada jantina seseorang semata-mata.

Penyakit jantung lebih mudah dirawat jika dapat dikenalpasti pada peringkat awal. Jika anda mengalami beberapa simptom di atas, anda perlulah dapatkan pemeriksaan kesihatan segera, lebih-lebih lagi jika anda berisiko atau ahli keluarga anda juga menghidap penyakit ini.

Sumber rujukan :

Leave a comment

Your email address will not be published.