10 Punca Utama Sakit Kepala Dan Cara Mengatasinya

“Aduh, dah mula sakit kepala! Susahnya hendak fokus pada kerja jika terlalu kerap pening kepala.”

Adakah anda mengalami perkara yang sama? Jika ya, anda mungkin perlu berjumpa doktor secepat mungkin!

Tidak dinafikan, pening kepala merupakan perkara biasa. Malah, ia selalunya datang tanpa diundang dan sembuh sendiri tanpa rawatan.

Tetapi, pening kepala yang kerap dan berlarutan merupakan sesuatu yang serius. Tanpa rawatan yang sewajarnya, masalah ini boleh menganggu kehidupan harian anda.

Menurut Dr. Christy Jackson, pengarah di Scripps Clinic, ramai orang yang mempunyai masalah pening kepala yang kronik tidak akan berjumpa doktor. Bukan itu sahaja, mereka juga lebih gemar mengambil ubat di farmasi berbanding berjumpa doktor untuk melegakan kesakitan yang dialami.

Jangan sesekali abaikan masalah sakit kepala yang berpanjangan. Dengan rawatan yang bersesuaian, pening kepala yang dialami boleh dikurangkan.

Ketahui punca-punca utama sakit kepala dan apa yang boleh anda lakukan untuk mengelakkannnya pada masa hadapan.

10 Punca utama sakit kepala

sakit kepala

Sebenarnya, ada banyak perkara yang boleh mencetuskan pening kepala. Cuaca yang panas, stres yang berlebihan serta tidak cukup tidur merupakan antara penyebab sakit kepala yang lazim.

Walaupun kebanyakan orang mungkin sudah tahu punca pening kepala yang dialami, ada juga yang sering diserang sakit kepala tanpa sebab. Jika ini yang berlaku, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin kerana ia mungkin berpunca daripada penyakit yang lebih serius.

Antara penyebab utama sakit kepala ialah:

  1. Pengambilan minuman beralkohol.
  2. Gangguan tidur, terutamanya kekurangan tidur.
  3. Postur badan yang tidak betul.
  4. Stres atau tekanan perasaan yang melampau.
  5. Terlalu banyak memandang skrin.
  6. Minum kopi terlalu banyak (atau terlalu sedikit).
  7. Kurang minum air.
  8. Sering terlepas waktu makan.
  9. Termakan makanan tertentu.
  10. Terlalu banyak mengambil ubat sakit kepala.

Jadi, jika anda sering pening kepala, salah satu atau kombinasi faktor di atas mungkin merupakan dalangnya.

Menurut NHS, faktor di atas merupakan punca pening kepala yang paling lazim. Namun, pening kepala yang disebabkan oleh makanan tertentu mungkin lebih sukar untuk dikesan. Untuk mereka yang mengalami masalah ini, cuba catatkan semua makanan yang diambil ke dalam jurnal makanan.

Kemudian, cuba perhatikan jika makanan tertentu akan menyebabkan anda mengalami sakit kepala yang berpanjangan.

Siapa yang sering pening kepala?

sakit kepala

Semua orang boleh mengalami sakit kepala.

Namun, migrain lebih cenderung untuk berlaku secara turun temurun. Oleh sebab itu, jika anda mempunyai ibu bapa atau ahli keluarga lain yang menghidap migrain, besar kemungkinan anda akan menghidap penyakit yang sama.

Ada juga individu yang lebih sensitif terhadap pencetus atau trigger tertentu. Sebagai contoh, ada orang yang akan sakit kepala jika mereka terdedah kepada cahaya, makanan atau cuaca tertentu.

Tidak dinafikan, stres dan juga masalah tidur malam boleh menyebabkan sakit kepala.

Bagaimana untuk mengurangkan sakit kepala?

pening kepala
  1. Cuba letakkan pek ais pada kepala dan leher. Ini merupakan cara yang termudah untuk mengurangkan sakit kepala atau migrain. Namun, pastikan anda alas kepala dengan kain untuk elakkan sebarang kecederaan.
  2. Letakkan kain hangat pada kepala. Jika ais tidak memberikan kelegaan, kehangatan mungkin boleh mengurangkan pening kepala yang dialami. Malah, mandian panas juga dapat membantu.
  3. Minum air dengan banyak. Dehidrasi boleh menyebabkan anda pening kepala. Cuba pastikan anda minum air secukupnya, terutamanya pada waktu panas.
  4. Cuba latihan pernafasan. Latihan pernafasan bukan sahaja baik untuk menghilangkan stres, ia juga mungkin berkesan untuk mengelakkan pening kepala.
  5. Pergi berurut. Urutan boleh melegakan pening kepala. Jadi, cuba urut kawasan dahi, kulit kepala, leher dan bahu dengan hujung jari.
  6. Tutup mata dan berehat. Ini merupakan rawatan terbaik untuk sakit kepala, terutamanya yang berkait rapat dengan migrain. Baring dan duduk di dalam bilik yang gelap dan cuba tidur seketika.

Bila saya perlu berjumpa doktor?

Dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin jika anda:

  1. Mengalami 3 atau lebih sakit kepala setiap minggu.
  2. Pening kepala yang berlarutan dan sukar hilang.
  3. Perlu mengambil ubat tahan sakit hampir setiap hari untuk merawat sakit kepala.
  4. Memerlukan 2 hingga 3 dos ubat dari farmasi setiap minggu untuk menangani pening kepala.
  5. Pening kepala setiap kali membengkokkan badan, batuk atau selepas melakukan aktiviti berat.

Rujukan

  1. Headache: When to worry, what to do. https://www.health.harvard.edu/pain/headache-when-to-worry-what-to-do. Diakses pada 5 Jun, 2022.
  2. Headaches. https://kidshealth.org/en/teens/headaches.html. Diakses pada 5 Jun, 2022.
  3. Headaches. https://www.nhs.uk/conditions/headaches/. Diakses pada 5 Jun, 2022.
  4. How to Get Rid of a Headache or Migraine Attack Fast. https://www.everydayhealth.com/headache-migraine/fast-headache-relief.aspx. Diakses pada 5 Jun, 2022.
  5. Tips to Get Rid of a Headache. https://www.webmd.com/migraines-headaches/5-ways-to-get-rid-of-headache. Diakses pada 5 Jun, 2022.
  6. Why Do I Get Frequent Headaches? https://www.scripps.org/news_items/3239-why-do-i-get-frequent-headaches. Diakses pada 5 Jun, 2022.
  7. Why Do I Keep Getting Headaches? https://www.houstonmethodist.org/blog/articles/2021/aug/why-do-i-keep-getting-headaches/. Diakses pada 5 Jun, 2022.
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: