Sakit lutut adalah masalah kesihatan normal yang boleh berpunca dari mana-mana struktur tulang yang menjejaskan sendi lutut, lutut, ligamen dan tulang rawan lutut.

Walaupun masalah ini biasanya terjadi di kalangan orang tua, namun ia boleh berlaku kepada semua golongan usia.

Tempat sakit dan tahap kesakitan lutut juga mungkin berbeza bagi pesakit bergantung kepada punca penyakit.

Baca Juga : Sakit Di Bahagian Sisi Badan, Mungkin Tanda Batu Karang!

Kredit Foto : csp.org.uk

Faktor Risiko Sakit Lutut

Beberapa faktor boleh menyumbang kepada penyakit ini iaitu :

  • Berat badan berlebihan
  • Otot kurang kuat atau kurang fleksibel
  • Pekerjaan atau aktiviti fizikal
  • Kecederaan terdahulu

Simptom Sakit Lutut

Antara simptom yang boleh dikenalpasti ialah :

  • Bengkak
  • Kemerahan dan rasa hangat bila disentuh
  • Tidak stabil dan lemah lutut
  • Sendi lutut meletup atau berderap ketika bergerak
  • Kesukaran untuk menegakkan lutut sepenuhnya

Cara Diagnos Sakit Lutut

Bergantung kepada keadaan lutut, doktor boleh menjalankan beberapa pemeriksaan untuk memeriksa keadaan lutut :

1. Ujian Pengimejan (Imaging Tests)

X-Ray

Sebagai ujian awal, doktor akan cadangakan pesakit untuk ambil imbasan X-ray untuk kenalpasti sebarang keretakan tulang atau penyakit sendi degeneratif (osteoarthritis).

Kredit Foto : arthritis-health.com

Computerized Tomography (CT Scan)

Ujian melalui CT scan dapat membantu dalam mendiagnos masalah tulang.

Sesetengah CT scan yang lebih maju juga dapat mengenalpasti gout dengan tepat walaupun sendi tidak mengalami keradangan.

Ultrasound

Kaedah pengimejan ultrasound akan menghasilkan imej struktur tisu di sekitar lutut bagi mengenalpasti punca sakit lutut.

Magnetic Resonance Imaging (MRI)

MRI akan memberikan imej 3D di dalam lutut. Ujian ini sering digunakan bagi mengenalpasti kecederaan tisu seperti ligamen, tendon, tulang rawan serta otot.

2. Ujian Makmal

Jika doktor mengesyaki pesakit alami jangkitan atau keradangan pada lutut, doktor akan mengambil sampel darah untuk diuji.

Kadang kala, doktor juga akan mengambil sedikit sampel cecair dari sendi lutut dengan menggunakan jarum. Kaedah ini dinamakan arthrocentesis.

Kaedah Rawatan

Doktor akan mencadangkan kaedah rawatan bergantung kepada keadaan lutut. Antara kaedah rawatan yang boleh dilakukan ialah :

1. Pengambilan Ubat -Ubatan

Doktor akan memberikan ubat untuk meredakan sakit dan merawat punca sakit lutut seperti gout atau rheumatoid arthritis.

2. Terapi

Lutut akan lebih stabil melalui latihan otot. Doktor boleh mencadangkan terapi fizikal atau beberapa jenis senaman untuk merawat punca sakit lutut.

Sekiranya anda aktif bersukan, anda juga perlu membetulkan pergerakan fizikal untuk elakkan impak kepada lutut.

Senaman untuk tingkatkan fleksibiliti juga penting untuk imbangan badan.

Kredit Foto : elitelearning.com

3. Suntikan

Dalam sesetengah kes, doktor mungkin akan cadangkan rawatan melalui suntikan pada sendi. Antara rawatan suntikan yang boleh dilakukan ialah :

Corticosteroids

Suntikan corticosteroid dapat membantu mengurangkan simptom keradangan akibat arthritis dan meredakan sakit selama beberapa bulan. Namun, rawatan ini tidaklah berkesan untuk semua kes sakit lutut.

Asid Hyaluronik

Asid hyaluronik boleh disuntik ke dalam lutut untuk memudahkan pergerakan dan mengurangkan sakit.

Walaupun ia boleh menunjukkan kesan berbeza di kalangan pesakit, rawatan melalui suntikan hyaluronik asid didapati dapat mengurangkan sakit pada bahagian lutut selama 6 bulan.

Platelet-Rich Plasma (PRP)

Sesetengah kajian mendapati PRP boleh memberikan kesan positif bagi pesakit osteoarthritis, namun kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan bagi mengenalpasti keberkesanannya.

3. Pembedahan

Jika anda alami kecederaan yang memerlukan pembedahan, doktor boleh mengesyorkan beberapa pembedahan bergantung kepada keadaan lutut anda. Antara pembedahan yang boleh dilakukan ialah :

  • Pembedahan Arthroskopik
  • Pembedahan Osteotomi
  • Pembedahan Gantian Lutut Separa
  • Pembedahan Gantian Lutut Penuh

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Anda perlu segera berjumpa doktor sekiranya :

  • Kaki berasa tidak stabil dan anda rasakan sukar untuk menampung berat badan
  • Lutut didapati bengkak
  • Lutut tidak dapat dibengkokkan dan ditegakkan sepenuhnya
  • Demam serta alami kemerahan, sakit serta bengkak pada lutut
  • Sakit lutut parah disebabkan kecederaan

Cara Mencegah Sakit Lutut

Dapatkan Berat Badan Ideal

Lebihan berat badan boleh mengakibatkan beban pada sendi serta meningkatkan risiko kecederaan dan osteoarthritis.

Kurangkan berat badan adalah cara yang paling baik bagi mengelakkan sakit lutut.

Bersenam Dengan Teknik Yang Betul

Jika anda berminat untuk bersukan, pastikan anda lakukannya dengan pergerakan yang betul.

Anda juga boleh belajar dengan pelatih sukan yang lebih berpengalaman.

Tingkatkan Kekuatan dan Fleksibiliti Badan

Selain berat badan berlebihan, otot yang lemah juga boleh menjadi punca utama kecederaan lutut.

Untuk menguatkan kaki serta tingkatkan fleksibiliti, anda boleh lakukan senaman untuk kuatkan otot paha yang menyokong lutut.

Otot paha yang kuat akan sekaligus tingkatkan fleksibiliti kaki.

Jika anda alami gejala sakit kaki dan rasakan sukar untuk berjalan akibat sakit lutut, dapatkan nasihat daripada doktor.

Bergantung kepada keadaan lutut, doktor akan cadangkan kaedah rawatan yang paling sesuai buat anda.

Di samping itu, anda juga boleh amalkan pemakanan yang sihat serta gaya hidup yang lebih aktif agar berat badan terjaga serta otot-otot badan sentiasa berada dalam keadaan aktif dan sihat.

Sumber :

Knee Pain

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/knee-pain/symptoms-causes/syc-20350849

Leave a comment

Your email address will not be published.