Anda pernah rasa sakit perut belah kiri ? Biasanya perut kita sakit disebabkan tersalah makan atau masalah penghadaman.

Namun, jika anda sakit perut di bahagian kiri, ia boleh menjadi gejala kepada beberapa penyakit.

Selain sistem penghadaman, terdapat banyak organ lain yang terletak di bahagian tersebut.

Menurut Halodoc, jika rasa sakit pada kawasan tersebut terasa ringan, ia biasanya akan hilang sendiri dalam satu ke dua hari.

 Sekiranya rasa sakit berlarutan, ia mungkin menjadi petanda bagi beberapa masalah kesihatan.

Baca Juga : 13 Tanda Kehamilan Yang Bakal Ibu Perlu Tahu Sebagai Persiapan

Penyebab Sakit Perut Belah Kiri

Berikut merupakan beberapa punca sakit perut belah kiri yang anda perlu ketahui :    

1. Sakit Otot

Terdapat banyak otot di bahagian perut. ketika anda bersenam atau mengangkat berat secara berlebihan, otot-otot ini mungkin terasa sakit.

Anda boleh lakukan pemeriksaan dengan memicit bahagian yang dirasakan sakit.

Biasanya sakit otot dapat dirawat dengan pengambilan ubat  tahan sakit atau sapu minyak angin pada kawasan bermasalah.

Rehat yang mencukupi juga sangat membantu bagi melegakan rasa sakit otot.

2. Sakit Tulang Rusuk

Tulang rusuk kesebelas dan kedua belas terletak di kawasan abdomen.

Sakit pada belah kiri juga boleh terjadi akibat retakan atau berlakunya perlanggaran pada tulang rusuk ini.

Ubat tahan sakit boleh menjadi solusi pantas bagi mengatasinya namun jika sakit berlarutan, segeralah dapatkan pemeriksaan doktor.

3. Gastrik

Sakit perut di sebelah kiri perut juga merupakan gejala yang umum bagi penyakit gastrik.

Keadaan ini berlaku apabila dinding perut mengalami keradangan akibat jangkitan bakteria H. pylori.

Bakteria ini bertindak menghasilkan lendir di dinding perut sehingga menimbulkan rasa sakit yang memeritkan.

Orang yang diserang gastrik turut alami simptom lain seperti muntah dan loya.

Kredit Foto : hellosehat.com

4. Penyakit Buah Pinggang

Jika anda rasa sakit perut di belah kiri bawah, kemungkinan besar anda berdepan dengan masalah buah pinggang seperti batu karang atau jangkitan buah pinggang.

Pesakit batu karang biasanya akan rasai simptom lain seperti sering membuang air kecil, rasa panas ketika buang air kecil serta kencing berdarah.

Bagi penghidap jangkitan buah pinggang pula, gejala yang sering dialami ialah demam, loya, muntah serta keradangan di pangkal paha.

5.  Jangkitan Air Kencing

Selain sakit buah pinggang, jangkitan air kencing juga boleh mengakibatkan rasa sakit pada bahagian kiri.

Pesakit juga biasanya alami masalah ketika buang air kecil seperti rasa sakit atau kerap kencing.

Air kencing juga mungkin kelihatan berbuih atau berdarah.

6. Keradangan Pankreas

Pankreas juga merupakan satu lagi organ yang terletak di bahagian kiri.

Jika seseorang mengalami masalah ini, rasa sakit sering terjadi pada bahagian kiri dan boleh melarat sehingga ke punggung.

Rasa sakit ini juga boleh dirasakan ketika seseorang itu sedang makan, minum atau berbaring.

Gejala lain yang boleh berlaku ketika keradangan pankreas ialah demam, cirit-birit, muntah dan perut terasa sakit bila disentuh.

7. Keradangan Usus Besar

Keradangan pada dinding usus besar juga mungkin menjadi punca sakit yang dirasakan di bahagian perut sebelah kiri.

Usus besar yang mengalami keradangan juga boleh menyebabkan gejala lain seperti cirit birit, berat badan menurun, tinja berdarah atau berlendir.

Biasanya rasa sakit ini akan hilang selepas pesakit buang air besar.

Punca Sakit Perut Belah Kiri Bagi Wanita

Bagi kaum wanita, bahagian perut menempatkan organ peranakan dan rahim bagi ibu hamil.

Jika anda dapati rasa sakit berlaku di bahagian kiri perut, ia mungkin disebabkan oleh kondisi kesihatan berikut :

Kredit Foto : siraplimau.com

1. Ovulasi

Bagi kaum wanita, ovulasi atau tempoh subur juga boleh jadi penyebab sakit perut belah kiri.

Biasanya pada waktu ini, para wanita juga alami gejala lain seperti kekejangan pada bahagian tersebut serta rasa loya dan keluar keputihan dari faraj.

2. Kandungan di Luar Rahim

Kandungan di luar rahim terjadi apabila persenyawaan berlaku di luar rahim, biasanya di tiub fallopian.

Keadaan ini dapat mengancam nyawa ibu hamil akibat pendarahan yang tidak terkawal serta rasa sakit yang sangat kronik.

Jika ia berlaku, si ibu perlulah dirujuk ke bahagian kecemasan bagi mengeluarkan kandungan tersebut.

3. Penyakit Keradangan Pelvis

Penyakit radang pelvis juga boleh menyebabkan bahagian perut di belah kiri sakit.

Penyakit ini berlaku apabila organ wanita dijangkiti bakteria seperti chlamydia atau gonorrhae akibat aktiviti seksual.

Jangkitan ini boleh menyerang organ wanita seperti ovari, tiub fallopian dan rahim.

Antara gejala lain yang turut berlaku ketika keradangan pelvis berlaku ialah badan lesu, sakit ketika membuang air kecil, sakit perut, dan demam.

Bahagian perut bukan sahaja menempatkan sistem penghadaman, malah organ lain seperti buah pinggang, sistem peranakan dan pankreas turut berada di kawasan yang sama.

Oleh sebab itu, adalah sukar untuk sekadar mengagak penyakit yang anda alami jika sakit di bahagian kiri kerana kemungkinannya terlalu banyak.

Jika anda rasa sakit berlarutan dan tidak reda setelah makan ubat tahan sakit atau buang air besar, dapatkan nasihat daripada pakar perubatan dengan segera bagi mengenalpasti penyakit yang anda alami.

Sumber :

5 Penyebab Sakit Perut Sebelah Kiri yang Perlu Diketahui

https://www.halodoc.com

Apakah penyakit boleh jadi penyebab sakit perut sebelah kiri (Left Abdominal Pain)?

https://www.doctoroncall.com.my/soalan

Leave a comment

Your email address will not be published.