“Setiap anak Adam (iaitu manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Setiap orang pasti pernah dengar tentang hadis ini kan? Intisari dari hadis ini pada umumnya mengatakan bahawa manusia tidak kira tua atau muda, kaya atau miskin, sihat atau sakit, pastinya pernah melakukan dosa. Malah kerap kali khilaf dan menjurumuskan diri dalam lembah kemaksiatan.

Namun begitu, Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang berfirman bahawa Dia akan mengampun segala dosa-dosa yang dilakukan oleh hamba Nya selagi mana mereka masih bertaubat.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” – (Surah Toha, ayat 82)

Apakah sayyidul istighfar?

Istighfar bermaksud menundukkan hati, jiwa dan fikiran terhadap Allah SWT dalam memohon keampunan atas segala dosa-dosa serta kesilapan yang pernah dilakukan.

Digelar sebagai the king of istighfar atau penghulu segala istighfar. Sayyidul Istighfar menjadi amalan yang terus diamalkan oleh setiap umat Islam.

Hal ini ada dinyatakan oleh Nabi SAW dalam hadis sahih baginda;

Maksudnya: “Sesiapa yang menyebut pada siang hari dengan penuh keyakinan lalu dia mati pada hari itu sebelum petang, maka dia tergolong dalam penghuni syurga. Sesiapa menyebutnya pada malam hari pula dengan penuh keyakinan lalu dia mati sebelum subuh, maka dia juga tergolong dalam penghuni syurga.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bacaan sayyidul istighfar dan terjemahan

“Allahumma anta robbii laa ilaaha illaa anta, kholaqtanii wa anaa ‘abduka wa anaa ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastatho’tu. A’udzu bika min syarri maa shona’tu, abuu u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu u bi dzanbii, faghfirlii fainnahuu laa yaghfirudz dzunuuba illa anta”

Maksudnya: “Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, Tidak ada sesembahan yang haq kecuali Engkau,Engkau yang menciptakanku, sedang aku adalah hamba Mu dan aku diatas ikatan janji Mu dan akan menjalankannya dengan semampuku, aku berlindung kepadamu dari segala kejahatan yang telah aku perbuat, aku mengakui Mu atas nikmat Mu terhadap diriku dan aku mengakui dosaku pada Mu, maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang mengampuni segala dosa kecuali Engkau” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Perbezaan istighfar dan taubat

BezaIstighfarTaubat
Batas waktuTidak ada batas waktunya. Malah sekiranya kita sudah meninggal sekalipun sanak saudara masih boleh menjadi wakil untuk memohon ampunAkan terhenti apabila nyawa dikerongkong. Sekiranya kita telah meninggal dunia, orang lain tidak boleh meminta taubat
Individu yang terlibatBoleh dilakukan oleh si pelaku dosa atau orang lainHanya boleh dilakukan oleh si pelaku dosa sahaja
Syarat wajibMemiliki syarat wajib berhenti dari dosa yang ditaubatiTidak memiliki syarat tertentu

Kelebihan mengamalkan istighfar

  • Diampunkan segala dosa yang telah dilakukan
  • Permintaan dan hajat yang dipinta mudah dimakbulkan oleh Allah SWT
  • Meningkatkan kekuatan rohani diri
  • Dapat menyembukan penyakit
  • Dipermudahkan mendapat zuriat
  • Menyejukkan hati isteri yang sedang marah
  • Jauh dari azab seksa neraka dan bala bencana
  • Ditambah segala nikmat dan kekayaan
  • Memberatkan timbangan akhirat dan masuk ke dalam syurga
  • Menjadi solusi pada setiap masalah
  • Semakin dicintai oleh Allah SWT

Kisah teladan 3 lelaki dari Imam Hasan Al-Basri

Kisah ini berkisar tentang tokoh sufi bernama Hasan al-Basri, yang juga anak kepada pembantu sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal sebagai penulis al-Quran. Bersama Zaid Bin Tsabit, dan ibunya Khairoh pula pembantu seorang isteri Baginda, Ummah Salamah.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang mengadu kepada Hasan al-Basri berkenaan dengan masalah kelaparan. Dengan penuh hikmah, beliau menjawab “Istighfarlah kepada Allah.”

Kemudian, datang lagi seorang lelaki menceritakan masalah zuriat yang dialaminya. Sekali lagi Hasan menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Beberapa ketika kemudian, beliau kedatangan lelaki ketiga yang merintih mengenai kebunnya yang kekeringan akibat bencana kemarau. Peliknya, jawapan sama diulang dengan penuh hikmah iaitu, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Jawapan Hasan al-Basri menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”

Hasan al-Basri menjawab: “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”

Firman Allah SWT yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” – (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Begitu besar kekuatan dan kebesaran istighfar dalam membawa manusia keluar dari kekusutan masalahnya. Oleh itu, lazimkanlah diri kita dengan bacaan tersebut setiap kali selepas solat subuh dan selepas solat asar. Insha Allah kita pasti akan rasa kelainannya.

Kesimpulan

Beristighfar setiap hari, setiap masa, setiap detik, setiap minit, dan saat akan menjadikan hati kita sentiasa tenang dan tenteram dengan kehidupan di dunia yang penuh pancaroba.

Semakin kita jauh dengan Allah kelak kita akan merasakan begitu sukar hidup di dunia ini. Namun sekiranya jarak kita dekat dengan Allah dekat, sesungguhnya tiada apa kegusaran yang kita akan rasakan kerana sentiasa memiliki pengharapan yang sepenuhnya pada Allah SWT.

Rujukan

  1. Powernya Istighfar! Ikuti Kisah Teladan 3 Lelaki, 3 Masalah Bersama Imam Hasan Al-Basri. Mstar, dari https://www.mstar.com.my/xpose/ad-din/2020/08/31/powernya-istighfar-ikuti-kisah-teladan3-lelaki-3-masalah-bersama-imam-hasan-al-basri
  2. Kelabih Istighfar Yang Patut Anda Tahu. Tzkrh dari, https://tzkrh.com/11-kelebihan-istighfar-yang-patut-anda-tahu/

Leave a comment

Your email address will not be published.