Selawat Ibrahimiyah Bacaan Dalam Tahiyat Akhir Solat

Dalam Islam, kita wajib untuk beriman dengan 25 Rasul yang dituliskan dalam Al-Quran iaitu Adam, Idris, Nuh, Hud, Saleh, Ibrahim, Luth, Ismail, Ishaq, Yaaqub, Yusuf, Ayyub, Syuaib, Musa, Harun, Zulkifli, Yunus, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasa’, Zakariyya, Yahya, Isa, dan yang terakhir, Muhammad SAW. Nabi Ibrahim AS termasuk dalam 5 orang Rasul ulul azmi.

Selain Nabi Muhammad SAW, Nabi Ibrahim AS juga mempunyai selawat yang dianjurkan untuk kita baca. Bahkan ia turut dilafazkan dalam solat iaitu pada tahiyat akhir.

Apa itu selawat ibrahimiyah?

Nabi Ibrahim AS dilahirkan, dan dibesarkan di bumi Iraq. Baginda diberikan gelaran sebagai Bapa segala Nabi (Abul Anbiyak), Khalilullah, dan salah seoang dari Rasul Ulul Azmi.

Tujuan baginda diutuskan adalah untuk membawa kaumnya ke jalan yang benar dari amalan menyembah patung berhala, dan binatang-binatang. 

Selawat Ibrahimiyah ini adalah antara yang paling afdal dibaca oleh umat Islam. Nabi Ibrahim AS, dan keluarga di sebut-sebut dalam tahiyat akhir dalam solat. Bahkan seiringan dengan nama Rasulullah SAW dilafazkan.

Ibnu Taimiyyah berkata, “Selawat yang paling sempurna untuk Rasulullah adalah Selawat Ibrahimiyah.”

Bacaan selawat ibrahimiyah

“Allahumma salli ‘ala Muhammadin. Wa ‘ala ali Muhammadin. Kama sallaita ‘ala Ibrahim. Wa ‘ala ali Ibrahim. Wa barik ‘ala Muhammadin, wa ‘ala ali Muhammadin. Kama barakta ‘ ala Ibrahim. Wa ‘ ala ali Ibrahim. Fil a’lamina innaka hamidun majid”

Maksudnya: Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.”

Mengapa dianjurkan untuk selawat ke atas Nabi Ibrahim AS?

Allah SWT memberikan kelebihan kepada Nabi Ibrahim AS sehingga disunatkan untuk selawat kepada baginda kerana beberapa sebab iaitu:

1. Allah SWT menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai kekasih Nya

Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

وَاتَّخَذَ اللَّـهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

Maksudnya: “Dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya..” -(Surah al-Nisa’: 125)

Jika ditelusuri, Nabi Muhammad SAW digelar dengan panggilan “Habibullah”, manakala Nabi Ibrahim AS adalah “Khalilullah”. Walaupun perkataan “Habib” lebih menjurus kepada kekasih yang paling dicintai oleh Allah SWT. Kedua-dua gelaran ini mempunyai maksud yang sama iaitu kekasih Allah.

2. Nabi Ibrahim AS adalah bapa bagi kebanyakan para nabi, dan rasul seperti Nabi Ismail AS, Nabi Yaakub AS, dan beberap nama besar yang lain

Susur jalur para Nabi akhirnya kebanyakkan akan bertemu dengan Nabi Ibrahim AS. Ini termasuklah Nabi Muhammad SAW. Keturunan baginda mengamalkan agama Hanif yang menyembah Allah. Bahkan tidak pernah dinodai zina, syirik, dan menyekutukan Allah SWT.

3. Doa Nabi Ibrahim diterima, dan dimakbulkan oleh Allah SWT

Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Maksudnya: “Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.” – (Surah al-Shu’ara: 84)

4. Ajaran Nabi Ibrahim AS adalah ajaran yang diikuti oleh Rasulullah SAW sehingga ke hari ini

Nabi Ibrahim sejak kecil sudah beriman kepada Allah SWT serta suci daripada syirik sedangkan pada ketika itu banyak umatnya yang menyembah berhala, dan binatang.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

قُلْ إِنَّنِي هَدَانِي رَبِّي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِّلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۚ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.” – (Surah al-An’am: 161)

Kesimpulan

Selawat memberikan kita ketanangan jiwa sekiranya diamalkan setiap hari. Justeru perbanyakkanlah selawat agar pahalanya berkekalan untuk mendapat syafaat Nabi kelak.

Rujukan

  1. Al-Kafo #1301: Kenapa Selawat Dan Salam Dalam Tahiyyat Akhir Hanya Khusus Kepada Nabi Ibrahim AS Dan Ahli Keluarganya? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  2. 10 Bacaan Selawat Yang Perlu Anda Tahu. Aku Muslim Asia
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113