Tahukah anda, hampir 37 juta rakyat Amerika Syarikat hidup dengan penyakit buah pinggang? Malah, sebahagian besar daripadanya tidak sedar bahawa mereka menghidap penyakit tersebut kerana simptom sakit buah pinggang selalunya akan muncul pada saat-saat akhir.

Buah pinggang merupakan sepasang organ yang berbentuk kacang. Organ ini sebesar penumbuk dan berfungsi menapis sebarang cecair dan bahan buangan keluar daripada darah dalam bentuk urin.

Buah pinggang juga merupakan satu organ yang tahan lasak. Sebab itulah, ramai yang tidak mengalami sebarang simptom sehinggalah pada saat akhir.

Individu yang menghidap penyakit buah pinggang tidak dapat melakukan proses penapisan dengan sempurna. Lama-kelamaan, bahan buangan akan terkumpul dalam badan dan menyebabkan komplikasi seperti darah tinggi, kerosakan saraf dan anemia.

Anda mempunyai risiko yang lebih besar untuk menghidap penyakit buah pinggang jika anda menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi. Selain kegagalan buah pinggang, ada juga penyakit lain yang boleh berlaku pada organ ini seperti batu karang, sista dan juga jangkitan.

Walaupun simptom sakit buah pinggang selalunya muncul pada saat akhir, ada juga pesakit yang dapat mengesannya lebih awal. Pengesanan awal sangat penting untuk mencegah penyakit daripada menjadi semakin teruk.

Di bawah, kami senaraikan 10 simptom sakit buah pinggang yang perlu anda perhatikan. Jika anda mengalami simptom-simptom di bawah, jumpa doktor secepat mungkin untuk rawatan!

10 Simptom sakit buah pinggang

Antara simptom sakit buah pinggang ialah:

1. Anda rasa lebih penat daripada biasa

Kerosakan buah pinggang yang serius boleh menyebabkan pengumpulan toksin dalam badan. Semua bahan buangan yang terkumpul dalam badan akan menyebabkan anda rasa penat, lemah dan sukar untuk fokus.

Selain itu, antara simptom sakit buah pinggang yang lain ialah anemia. Anemia juga boleh membuatkan pesakit rasa penat, letih dan tidak bermaya.

2. Anda sukar untuk tidur malam

Toksin yang terkumpul dalam badan juga boleh membuatkan anda mengalami kesukaran untuk tidur malam.

Selain itu, penyakit buah pinggang juga berkait rapat dengan obesiti. Mereka yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan lebih berisiko mengalami apnea tidur, satu kondisi yang menyebabkan pesakit sukar tidur malam dan sering sesak nafas.  

3. Kulit gatal dan kering

Buah pinggang yang sihat bukan sahaja berfungsi menapis bahan buangan keluar dari darah. Ia juga menjalankan banyak lagi tugas lain, salah satunya adalah memastikan keseimbangan mineral dalam badan.

Kulit yang gatal dan kering merupakan salah satu simptom sakit buah pinggang. Malah, simptom ini juga selalunya akan muncul sewaktu penyakit sudahpun berada dalam fasa yang serius.

4. Anda perlu buang air dengan lebih kerap

Jika anda perlu buang air lebih kerap daripada biasa, terutamanya pada waktu malam, ketahuilah bahawa itu merupakan salah satu simptom sakit buah pinggang.

5. Darah dalam air kencing antara simptom sakit buah pinggang

Selain perlu kencing dengan lebih kerap, anda juga mungkin rasa sakit ketika membuang air kecil. Darah juga boleh ‘bocor’ dan masuk ke dalam urin disebabkan kecederaan pada penapis buah pinggang.

Kencing berdarah juga boleh menjadi tanda penyakit lain seperti jangkitan saluran kencing atau prostat bengkak dalam kalangan lelaki.

6. Air kencing berbuih

Air kencing berbuih menandakan kebocoran protein ke dalam urin. Protein yang bercampur dengan air kencing turut dikenali sebagai albumin, protein yang sama dalam telur.

Jadi, jika air kencing anda berbuih seakan-akan buih ketika mengacau telur, besar kemungkinan anda menghidap penyakit buah pinggang.

7. Mata sembap antara simptom sakit buah pinggang

Protein yang terbocor ke dalam urin juga boleh membuatkan mata menjadi sembap. Apabila penapis pada buah pinggang rosak, badan tidak dapat lagi menyimpan semua protein ini. Akibatnya, mata anda akan jadi sembap dan muka nampak lesu.

8. Anda tidak mempunyai selera makan

Kadangkala, mereka yang menghidap penyakit buah pinggang tidak mempunyai selera makan tanpa sebarang sebab. Ada pakar yang mengaitkannya dengan pengumpulan toksin dalam badan.

9. Buku lali dan kaki membengkak

Buah pinggang yang rosak boleh menyebabkan retensi garam. Garam yang berkumpul ini boleh menyebabkan kaki dan buku lali membengkak.

Bukan itu sahaja, kaki yang bengkak juga boleh menjadi tanda kencing manis, sakit jantung, penyakit hati atau masalah salur darah di kawasan tersebut.

10. Simptom sakit buah pinggang: Kerap kejang otot

Pengumpulan garam pada kawasan kaki juga boleh menyebabkan kekejangan. Malah, tahap kalsium yang rendah dan fosforus yang tidak terkawal juga boleh menyebabkan kaki anda ‘cramp’ terutamanya pada waktu malam.

Leave a comment

Your email address will not be published.