Kekuatan Solat Istikharah Dalam Memohon Petunjuk & Keredhaan Allah

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang sangat jauh dan panjang. Dalam mengenal kehidupan, manusia sering terjatuh lagi dan lagi sehingga tidak terkira banyaknya dia bangkit untuk meneruskan baki hidup yang tersisa.

Ujian dan dugaan silih berganti, sehingga kadang-kala membuatkan manusia lelah untuk berjuang di atas jalan kebenaran. Setiap titik dalam simpang perjalanan memerlukan jawapan dan pilihan.

Maka hadirlah ketenangan itu dari solat istikharah yang dilaksanakan dengan sepenuh jiwa mengharap petunjuk yang Maha Esa.

Tujuan solat istikharah dalam kehidupan

Solat istikharah adalah salah satu cara memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Ianya adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya.

Ini berdasarkan satu riwayat daripada Jabir Bin Abdullah:

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada Al-Quran. Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah : Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan Mu, Aku juga memohon daripada limpahan Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak.

Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut.

Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda : sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda : Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”

Apa yang perlu dibuat sebelum istikharah?

Perkara terbaik yang boleh kita lakukan sebelum melakukan istikharah adalah dengan bermusyawarah terlebih dahulu dengan mereka yang lebih arif, diakui kesolehannya, atau yang dipercayai.

Perkataan musyawarah berasal dari Bahasa Arab, iatu “syawara” yang maksudnya adalah berunding atau berbincang. Kita gemar beristikharah untuk menentukan pilihan jodoh yang terbaik.

Sebenarnya, sebelum meminta petunjuk dengan istikharah, kita sangat dianjurkan untuk bermusyawarah dengan keluarga, sahabat, dan orang-orang soleh untuk mencari jawapan berkenaan dengan jodoh tersebut.

Kemudian, lapangkan hati dan buangkan segala persoalan berat yang bersarang dalam fikiran. Sudah pasti sekiranya kita bergelut dengan sebuah pilihan yang berat tentang jodoh dan kehidupan misalnya, kita selalunya sudah mempunyai kecenderungan kepada pilihan tersebut.

Contoh mudah, ada wanita A dan B yang menjadi calon jodoh kita. Kita melakukan solat istikharah untuk menentukan mana satu jodoh yang terbaik. Sedangkan dalam hati, sudah sangat berkenan kepada wanita B. Inilah yang menjadi kesalahan kepada istikharah yang kita lakukan.

Apa yang perlu dibuat selepas istikharah?

Apa jua jawapan yang kita terima selepas istikharah, kita haruslah sentiasa berlapang dada dan menerimanya dengab hati yang terbuka. Dalam surah Al-Baqarah, ayat 216, Allah SWT berfirman:

وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Belajar tentang erti tawakal

Segelintir orang masih kurang faham tentang erti sebenar tawakal. Setiap tawakal perlulah disertakan dengan usaha juga.

Tawakal mempunyai dua syarat yang perlu dipenuhi. Pertama, yakin dan berpegang kepada Allah. Manakala yang kedua, melakukan semua asbab atau berusaha bersungguh-sungguh. Jika tidak disertakan dua syarat tersebut, maka tawakalnya tidak tepat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal. – (Surah Ali-‘Imran: ayat 122) 

Tawakal ini adalah amalan hati yang tertinggi dalam melakukan amal soleh. Jadi tidak hairanlah tawakal menjadi sebagaian daripada iman dan Islam. Oleh yang demikian, apa-apa yang berlaku selepas istikharah sebenarnya itulah yang terbaik bagi kita.

Hikmah solat istikharah

Solat istikharah mempunyai banyak manfaatnya kepada kehidupan. Bahkan impaknya juga mempengaruhi banyak orang yang terdekat. Antara hikmah solat istikharah adalah seperti:

  • Dapat meningkatkan keimanan kepada Allah SWT kerana menjadikan Allah SWT sebagai satu-satunya tempat pergantungan
  • Mendidik umat Islam agar memohon sesuatu kepada Allah SWT terutama dalam membuat keputusan
  • Menjauhkan diri daripada perbuatan syirik dengan memohon bantuan selain Allah SWT seperti pawang atau bomoh.

Kesimpulan

Istikharah bukan semata-mata kita meminta petunjuk dari Nya. Tetapi itulah tanda yang kita menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Dan yakinlah pada pilihan Nya kerana pilihan itu adalah yang terbaik bagi kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Rujukan

  1. Al-Kafi #829 : Apa Itu Istikharah? (Oktober, 2018). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2638-al-kafi-829-apa-itu-istikharah
  2. PetunjuK Solat Istikharah. Tentang Yaya dari, https://tentangyaya.blogspot.com/2017/11/petunjuk-solat-istikharah.html
  3. Tawakal Pelengkap Iman (September, 2020). Utusan Malaysia dari, https://www.utusan.com.my/gaya/2020/09/tawakal-pelengkap-iman/
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113