Solat Jenazah: Panduan, Niat & Cara Melakukannya

Kehidupan dan kematian adalah perjalanan yang pasti akan dilalaui oleh setiap makhluk yang bernyawa di atas muka bumi ini. Tiada kehidupan yang tidak akan berakhir dengan kematian, dan tiada kematian yang tidak bermula dari kehidupan.

Menerusi firman Allah bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” – (Surah Ali Imran, ayat 185)

Apakah solat jenazah?

Solat jenazah adalah solat yang dilakukan ke atas seseorang yang telah meninggal dunia. Ramai yang sering mengelak apabila disuruh untuk menyolatkan jenazah. Bahkan ada anak-anak yang sanggup membiarkan orang lain mengurus jenazah kedua orang tuanya dari awal sehingga pengkebumian tanpa dia ambil tahu sedikit pun.

Solat jenazah sebenarnya tidak sukar untuk dilakukan. Sebab kita tidak selalu buatlah kadang kala kita merasakan ia susah dan terlalu rumit.

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sembahyangkanlah oleh kamu akan orang-orang yang mati dari kalangan kamu.” – (Hadis Riwayat Majah)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan dari Salamah bin Al-Akwa, katanya:

“Pada satu ketika kami sedang duduk dekat Nabi SAW ketika dibawa seorang jenazah, Baginda bersabda: Sembahyankanlah sahabat kamu itu.”

Hukum mengerjakan solat jenazah

Hukum menunaikan solat jenazah adala fardhu kifayah. Fardhu kifayah adalah amalan yang hanya wajib dikerjakan oleh seseorang atau sekumpulan orang sahaja tanpa melihat siapa yang mengerjakannya. Apabila telah dilakukan, jadi hilanglah tuntutan kewajibannya terhadap orang lain. Sebaliknya, jika tidak ada seorang pun yang melaksanakannya, maka semua orang akan berdosa.

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan solat jenazah. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

 مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Maksudnya : Tidak ada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut). – (Hadis Riwayat Muslim)

Syarat sah solat jenazah

  • Syarat-syarat sembahyang jenazah sama dengan syarat-syarat solat yang lain seperti menutupi aurat, bersih badan dan pakaian daripada najis dan menghadap kiblat
  • Jenazah telah dimandikan dan dikafankan
  • Jenazah hendaklah diletakkan di hadapan orang yang menyembahyangkannya (di sebelah kiblat) kecuali solat jenazah ghaib

Rukun solat jenazah

Rukun solat jenazah ada 7 perkara iaitu:

  1. Niat
  2. Berdiri lurus
  3. Takbir 4 kali (termasuk takbiratul ihram)
  4. Membaca surah Al-Fatihah
  5. Membaca selawat ke atas Nabi SAW selepas takbir kedua
  6. Mendoakan jenazah
  7. Memberikan salam

Perkara-perkara sunat yang dilakukan semasa solat

  • Imam hendaklah berdiri bertentangan dengan kepada jenazah dan berdiri bertentangan dengan pinggang jenazah perempuan atau khunsa
  • Kepala jenazah lelaki hendaklah diletakkan disebelah kiri imam. Kepala jenazah perempuan dan khunsa diletakkan di sebekah kanan imam.Menurut kebiasaannya kepala jenazah lelaki itu juga diletakkan di sebelah kanan imam
  • Hendaklah jenazah itu disembahyangkan di masjid
  • Makmum hendaklah berdiri berbaris (tiga saf)
  • Mengangkat kedua-dua belah tangan waktu mengucapkan takbir-takbir yang empat dan meletakkan kedua tangan di atas pusat di bawah dada sebagaimana sembahyang-sembahyang yang lain
  • Membaca “A’uzubillah” sebelum membaca surah Al-Fatihah
  • Memperlahankan semua bacaan walaupun di waktu malam

Waktu mendirikan solat jenazah

Ada orang pernah bertanya, boleh ke kalau kita solat jenazah pada waktu-waktu yang dilarang untuk solat seperti:

  • Selepas solat subuh sehingga matahari terbit
  • Selepas asar sehingga matahari terbenam

Walaupun ada larangan waktu untuk mendirikan solat pada waktu-waktu yang diharamkan tetapi ia bukanlah secara mutlak. Ayat itu bermaksud larangan mendirikan solat tanpa sebab. Sedangakan solat jenazah dilaksanakan kerana mempunyai sebab untuk menyempurnakan proses pengkebumian jenazah tersebut.

Imam Al-Nawawi menyebutkan beberapa contoh solat-solat yang mempunyai sebab dengan kata beliau :

فَمِنْ ذَوَاتِ الْأَسْبَابِ الْفَائِتَةُ فَرِيضَةً كَانَتْ أَوْ نَافِلَةً إذَا قُلْنَا بِالْأَصَحِّ أَنَّهُ يُسَنُّ قَضَاءُ النَّوَافِلِ فَلَهُ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ قَضَاءُ الْفَرَائِضِ وَالنَّوَافِلِ الرَّاتِبَةِ وَغَيْرِهَا وَقَضَاءُ نَافِلَةٍ اتَّخَذَهَا وِرْدًا وَلَهُ فِعْلُ الْمَنْذُورَةِ وَصَلَاةُ الْجِنَازَةِ وَسُجُودُ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ وَصَلَاةُ الطَّوَافِ

Maksudnya : “Antara solat yang mempunyai sebab adalah solat-solat yang ditinggalkan, sama ada solat fardhu atau solat sunat apabila kita menyatakan bahawa pendapat yang sahih adalah disunatkan mengqadha solat-solat nafilah (yang ditinggalkan), maka boleh bagi seseorang itu melaksanakan qadha’ bagi solat-solat fardhu dan juga solat sunat rawatib yang ditinggalkan pada waktu-waktu ini, yang dia telah menjadikan perkara tersebut (solat sunat rawatib) sebagai kelaziman. Dan boleh juga untuk seseorang itu mengerjakan solat nazar, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, solat gerhana, dan juga solat sunat tawaf.” – (Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi)

Bahkan kata Imam Al-Mawardi : ‘’Solat ke atas mayat, ia tidak terkhusus kepada waktu-waktu yang tertentu. Ia tidak dimakruhkan untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang tertentu. Dibolehkan untuk mengerjakan ia pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya.” – (Rujuk Al-Hawi al-Kabir, Al-Mawardi)

Kedudukan jenazah semasa solat

Cara solat jenazah lengkap niat dan doa

Rukun dalam cara solat jenazah agak berbeza dari solat-solat fardhu yang lain. Ia tidak mempunyai rukuk, sujud, dan beberapa rukun yang lain. Cara untuk solat jenazah adalah seperti berikut:

1. Berdiri dengan betul, tegak, dan menghadap kiblat

2. Membaca niat solat

  • Niat solat jenazah Lelaki

Usolli ‘ala hazal mayyiti arba’a takbiratin fardol kifayati makmumanlillahi ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala. Allah Ta’ala.”

  • Niat solat jenazah perempuan

Usolli ‘ala hazal mayyitati arba’a takbiratin fardol kifayati makmumanlillahi ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku solat ke atas jenazah perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.”

3. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut

الله أكبر

Allahuakbar

Maksudnya: Allah Maha Besar

4. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin

Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

5. Angkat takbir kedua dan berselawat

Ini adalah selawat yang paling ringkas boleh anda baca. Namun sebaik-baik selawat adalah Selawat Ibrahimiyyah.

 “Allahumma solli a’la sayyidina Muhammad”

6. Angkat takbir ketiga dan bava doa minta ampun untu jenazah

  • Doa untuk jenazah lelaki

  “Allahumagfirlahu warhamhu wa ‘aafihi wagfu ‘anhu

Maksudnya: “Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya.”

  • Doa untuk jenazah perempuan

  “Allahumagfirlahu warhamha wa ‘aafiha wagfu ‘anha

Maksudnya: “Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya.”

7. Angkat takbit keempat dan membaca doa

 Allahumma laa tahrimnaa ajrohu aa laa taf tin naa ba’aahu waghfirlanaa walahu

Maksudnya“Ya Allah janganlah Engkau mencegah kami mendapat pahalanya, jangan Engkau datangkan keresahan kepada kami sesudahnya, ampunilah kami dan si mati.”

8. Memberikan salam

9. Membaca doa selepas solat jenazah

“Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia, dan maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedudukannya, luaskan pintu masuknya (kuburnya) mandikanlah dia dengan air yang bersih, salji dan air batu yang menyegar dan sejuk.

Bersihkan kesalahan sebagaimana dibersihkan kain putih daripada kekotoran. Gantikan untuknya dengan rumah yang lebih baik daripada rumahnya; keluarga yang lebih baik daripada keluarganya; pasangan yang lebih baik daripada pasangannya.

Dan masukkannya ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan fitnahnya dan daripada azab api neraka.”

Kesimpulan

Kematian memberikan pengajaran dan keinsafan kepada mereka yang masih hidup. Mereka yang membantu untuk memandikan, menguruskan, menyembahyangkan, dan mengebumikan, semuanya akan terkesan bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara.

Rujukan

  1. Panduan Pengurusan Jenazah dan Puasara orang Islam Menurut Syarak. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
  2. Al-Kafi #1559: Hukum Mengerjakan Solat Jenazah Selepas Subuh dan Asar. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4052-al-kafi-1559-hukum-mengerjakan-solat-jenazah-selepas-subuh-dan-asar
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113