LAFAZ BACAAN & CARA MENGERJAKAN SUJUD SAHWI

Manusia sering lupa dan ianya wajar kerana kita mempunyai kebatasan tersendiri sebagai makhluk Allah SWT.

Jika dalam pekerjaan kita terlupa membuat sesuatu, kita tentu boleh “cover” kesalahan tersebut.

Namun dalam solat, bagaimana sekiranya kita tidak sengaja meninggalkan rukun atau sunat, atau terlupa rakaat yang dikerjakan atau terlebih?

Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah terlebih rakaat dalam solat kemudian Baginda bersujud sahwi.

Abdullah RA menceritakan daripada ibrahim RA katanya:

Rasulullah SAW telah bersolat dan menambah rakaat atau kurang. Selepas baginda memberi salam, kami bertanya “Wahai Rasulullah, adakah berlaku perubahan dalam solat?” Baginda menjawab,”Jika berlaku perubahan pasti saya akan maklumkan kepada kamu. Tetapi saya juga hanya manusia yang lupa sebagaimana kamu lupa. Sesiapa dikalangan kamu yang merasa syak dalam solatnya hendaklah dia mengambil yang lebih tepat dan kemudian sempurnakannya. Setelah itu hendaklah dia memberi salam lalu bersujud dengan dua kali sujud.” – (Hadis Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i)

Apakah itu sujud sahwi?

Dari segi bahasa sahwi membawa maksud lupa atau lalai melakukan sesuatu. Ia lebih cenderung meninggalkan sesuatu tanpa sengaja.

Manakala dari segi syarak pula, sahwi adalah kecatatan atau kekurangan yang dilakukan oleh seseorang ketika solat sama ada sengaja atau terlupa.

Tujuan sujud sahwi untuk menutup segala kekurangan yang kita lakukan kerana sikap lupa tersebut.

Hukum

Hukum melakukan sujud sahwi adalah sunat muakkad. Walau bagaimanapun, solat tidak terbatal sekiranya kita terlupa atau sengaja tidak melakukannya.

Sabda Rasulullah SAW yang dirawayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA katanya:

Nabi SAW bersolat Zuhur atau Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya; ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’. Nabi SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apakah yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolat rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud’. Katanya: ‘Demikiankah yang dilakukan oleh Nabi SAW.’ – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dalam Sahih Al-Bukhari)

Tatacara sujud sahwi

Waktu untuk mengerjakan sujud sahwi adalah setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah bin Buhainah RA telah berkata:


إِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ مِنِ اثْنَتَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ لَمْ يَجْلِسْ بَيْنَهُمَا. فَلَمَّا قَضَى صَلاتَهُ سَجَدَ سَجْدَتَينِ، ثُمَّ سَلَّمَ بَعْدَ ذَلِكَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah berdiri setelah dua raka‘at bersembahyang fardhu Zuhur tanpa duduk untuk membaca tahiyyat awal. Setelah selesai Baginda bersembahyang (sebelum memberi salam), Baginda pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) lalu memberi salam.” – (Hadis Riwayat Imam Bukhari) 

Sedangkan tatacara untuk melakukankanya adalah apabila kita selesai membaca tahiyyat akhir kita perlu terus sujud sahwi pertama dan bacaan lafaz sujud sahwi sebanyak tiga kali.

Kemudian, bangkit dengan kedudukan duduk antara dua sujud. Ketika dalam posisi duduk ini, kita boleh membaca lafaz dua sujud solat fardhu atau diam sahaja berserta tamakninah.

Seterusnya, sujud sahwi yang kedua dengan lafaz sujud sahwi sebanyak 3 kali. Selesai semuanya, duduk kembali seperti duduk antara dua sujud dan ucapkanlah salam.

Sujud sahwi bacaan rumi

Subhaa na man laa ya naa mu walaa yas huu 

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.”

Penyebab sujud sahwi

Menurut mazhab as-Syafi‘e, penyebab sujud sahwi ada dua, iaitu terlupa sesuatu yang disuruh atau melakukan sesuatu yang ditegah dalam solat sama ada dengan sengaja atau sebaliknya.

Bagi penyebab yang pertama iaitu terlupa sesuatu yang disuruh dalam sembahyang terbahagi kepada dua perkara:

1. Terlupa rukun-rukun sembahyang.

  • Niat
  • Berdiri betul
  • Takbiratul ihram
  • Membaca surah al-Fatihah
  •  Rukuk serta tamakninah
  • I‘tidal serta tamakninah  
  • Sujud serta tamakninah  
  • Duduk di antara dua sujud serta tamakninah
  • Membaca tahiyyat akhir
  • Duduk membaca tahiyyat akhir
  • Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW ketika tahiyyat akhir
  • Memberi salam
  • Tertib

Apabila seseorang itu terlupa melakukan rukun-rukun dalam solat, maka dia perlu melakukan rukun-rukun yang tertinggal itu terlebih dahulu mengikut tertib solat sebelum melakukan sujud sahwi.

2. Terlupa sunat-sunat ab’adh

  • Membaca dan melakukan tasyahhud awal
  • Membaca dan melakukan qunut subuh atau qunut witir
  • Selawat ke atas Nabi SAW ketika tasyahhud awal
  • Selawat ke atas Nabi SAW ketika qunut
  • Selawat ke atas Nabi SAW ketika tasyahhud akhir

Memadai untuk sujud sahwi sahaja sekiranya kita terlupa sunat ab’adh ini.

Bagi penyebab yang kedua iaitu melakukan perkara-perkara yang membatalkan atau tidak membatalkan solat terbahagi kepada dua perkara juga:

1. Perkara yang jika dilakukan dengan sengaja tidak akan membatalkan solat

  • Menoleh ke kiri dan kanan
  • Berfikir dalam solat
  • Melangkah tidak sampai tiga langkah berturut-turut

Perkara-perkara sebegini tidak disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sama ada membuatnya secara senghaja ataupun tidak, selagi mana dia tidak mengubah rukun-rukun dalam solat.

2. Perkara yang jika dilakukan dengan sengaja akan membatalkan sembahyang

  • Makan
  • Berkata-kata yang banyak
  • Memindahkan rukun fi‘li
  • Menambah ataupun mengurangkan ruku‘ dan sujud

Sekiranya kita melakukan perkara-perkara tersebut, maka tidak perlu melakukan sujud sahwi sebaliknya wajib mengulangi solat tersebut kerana ia sudah terbatal.

Bagaimana jika terlupa sujud sahwi?

Jika terlupa hukumnya adalah dimaafkan. Ini juga kerana hukum asalnya adalah sunat. Hal ini sepertimana disebut dalam firman Allah SWT:

عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya: “Allah maafkan apa yang telah lalu.”- (Surah al-Maidah: ayat 95)

Kesimpulan

Ibadah dalam Islam itu indah dan mempunyai aturan yang cukup pratikal dan mudah dilakukan. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah sentiasa menjaga ibadah wajib dan melazimi ibadah sunat sebaik-baiknya.

Rujukan

  1. Al-Kafi #1804: Lafaz Sujud Sahwi dan Hukum Meninggalkan Zikir Ketika Duduk Antara Dua Sujud Sahwi. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4833-al-kafi-1804-lafaz-sujud-sahwi-dan-hukum-meninggalkan-zikir-ketika-duduk-antara-dua-sujud-sahwi
  2. Al-Kafi #982: Bagaimana Jika Terlupa Sujud Sahwi? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2921-al-kafi-982-bagaimana-jika-terlupa-sujud-sahwi
  3. Cara Sujud Sahwi Bila Terlupa Rakaat dan Doa Qunut, Nazurah Hassan. Sirap Limau dari, https://siraplimau.com/cara-sujud-sahwi-lupa-rakaat-doa-qunut/

Leave a comment

Your email address will not be published.