Solat ialah Rukun Islam kedua dalam Islam yang wajib umat Islam turuti dan laksanakan. Dalam solat terdapat perbuatan sunat yang sangat digalakkan dan sunat yang boleh dilakukan iaitu sunat ab’adh dan sunat hai’ah.

Apa itu sunat ab’adh dan sunat hai’ah?

Perkataan “ab’adh” membawa maksud sebahagian atau setengah. Dalam syarak, sunat ab’adh adalah sunat yang dituntut untuk melakukannya. Ia memainkan peranan yang amat penting untuk menjadikan sesebuah solat itu sempurna dari cacat celanya.

Manakala perkataan “hai’ah” pula bermaksud bentuk atau cara. Pengertian dalam syarak bagi sunat hai’ah adalah sunat-sunat di dalam solat selain sunat ab’adh dan bukannya merupakan rukun solat.

Perbezaan sunat ab’adh dan sunat hai’ah

Bagi sunat ab’adh, sekiranya kita meninggalkan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, kita dituntut untuk melakukan sujud sahwi.

Sedangkan bagi sunat hai’ah, apabila kita melakukannya maka kita akan mendapat pahala, tetapi sekiranya ditinggalkan tidak dapat apa-apa serta tidak dituntut untuk melakukan sujud sahwi.

Dalam Ensikolpedi Fiqh dinyatakan,

وسمّيت أبعاضاً ، لأنّها لمّا تأكّدت بالجبر بالسّجود أشبهت الأبعاض الحقيقيّة ، وهي الأركان . وما عداها من السّنن يسمّى هيئاتٍ لا تجبر بسجود السّهو ، ولا يشرع لها

Dinamakan sunat ab’adh, kerana harus ditutupi dengan sujud sahwi. Ia seakan-akan dengan pecahan wajib dalam solat, iaitu rukun. Sementara gerakan atau bacaan solat selain itu, disebut hai’ah, tidak perlu ditutupi dengan sujud sahwi dan tidak disyariatkan untuk diberi sujud sahwi. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 8/126)

Perbezaan lain boleh kita lihat adalah dari segi perlakuannya di luar solat. Jika kita perasan, sunat ab’adh tidak dituntut untuk dilakukan di luar solat selain bacaan selawat kepada Nabi SAW. Sebaliknya sunat hai’ah disyariatkan untuk dilakukan di luar solat seperti bacaan takbir, tasbih, doa, dan beberap zikir. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 8/126)

Di samping itu dari segi posisi perlakuannya pula, sunat ab’adh memiliki posisi khusus dalam solat, sementara sunat hai’adh tidak memiliki posisi khusus sebaliknya bergabung bersama rukun solat. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 8/126)

Perkara-perkara sunat ab’adh

Ada 8 perkara yang terkandung dalam sunat ab’adh seperti:

  1. Tahiyat awal (pertama)
  2. Selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat awal
  3. Duduk tahiyat/tasyahud awal
  4. Membaca doa qunut pada rakaat kedua dalam solat subuh dan pada solat witir terakhir ketika malam 15 hingga akhir Ramadhan
  5. Selawat ke atas Nabi SAW dalam qunut
  6. Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW dalam qunut
  7. Berdiri semasa membaca qunut
  8. Selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat akhir

Perkara-perkara sunat hai’ah

Ada 14 perkara yang terkandung dalam sunat hai’ah seperti:

  1. Mengangkat tangan ketika takbiratul ihram, rukuk, iktidal, dan bangun pada rakaat ketiga
  2. Meletakkan tapak tangan kanan di atas tangan kiri dengan kedudukan di bawah dada atau paras atas pusat
  3. Membaca doa iftitah
  4. Membaca taawuz ( أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ)
  5. Menguatkan atau memperlahankan bacaan Al-Fatihah
  6. Mengucapkan “Aamiin” selepas membaca Al-Fatihah
  7. Membaca mana-mana surah dalam Al-Quran
  8. Membaca takbir ketika rukuk
  9. Membaca tasbih ketika rukuk sebanyak 3 kali
  10. Membaca tasbih ketika sujud sebanyak 3 kali
  11. Meletakkan kedua-dua tangan di atas paha
  12. Duduk iftirasy
  13. Duduk tawaruk
  14. Melakukan salam kedua

Kegunaan sujud sahwi dalam solat

Sujud sahwi sunat dilakukan apabila seseorang itu meninggalkan sunat ab’adh dalam solat, was-was terhadap bilangan rakaat solat, melakukan sesuatu perkara yang dilarang dalam solat tanpa sengaja dan melakukan kesilapan sama ada perkara rukun atau sunat ab’adh atau bentuk solat bukan pada tempat yang sepatutnya. – (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1:172-173)

Bilangan untuk sujud sahwi adalah sebanyak 2 kali sahaja walaupun ada banyak faktor sujud itu dilakukan. Imam Al-Khatib Al-Syarbini mengatakan dalam Kitab Al-Iqna:

 عَلَيْهِمَا فِي قصَّة ذِي الْيَدَيْنِ مَعَ تعدده فَإِنَّهُ صلى الله عَلَيْهِ وَسلم سلم من ثِنْتَيْنِ وَتكلم وَمَشى لِأَنَّهُ يجْبر مَا قبله وَمَا وَقع فِيهِ وَمَا بعده حَتَّى لَو سجد للسَّهْو ثمَّ سَهَا قبل سَلَامه بِكَلَام أَو غَيره أَو سجد للسَّهْو ثَلَاثًا سَهوا فَلَا يسْجد ثَانِيًا لِأَنَّهُ لَا يَأْمَن وُقُوع مثله فِي السُّجُود ثَانِيًا فيتسلسل.

Maksudnya: “Sujud sahwi adalah sebanyak dua kali walaupun banyaknya tertinggal atau tersilap kerana Rasulullah SAW hanya melakukan sujud sebanyak dua kali dalam kisah Dzulyadain walaupun berbilang-bilang (sebab yang memerlukan sujud sahwi). Hal ini apabila Rasulullah SAW hanya mendirikan dua rakaat (dalam solat yang sepatutnya empat rakaat), kemudian Rasulullah SAW juga bercakap dan berjalan. Ini kerana semua sebab itu telah ditampung dengan dua sujud sahwi tersebut, sama ada berlaku sebelum, semasa atau selepas sujud sahwi itu.”

Hikmah disyariatkan sunat ab’adh dan sunat hai’ah

Banyak kebaikan sebenarnya apabila disyariatkan sunat ab’adh dan sunat hai’ah dalam solat. Antara manfaat yang boleh kita perolehi adalah seperti:

  • Menampung kekurangan solat
  • Menambah ganjaran pahala
  • Mengagungkan kebesaran Allah SWT
  • Menyempurnakan amalan sunat
  • Menambah khusyuk dalam solat
  • Menginsafi kelemahan diri sebagai seorang hamba yang lemah

Kesimpulan

Diharapkan artikel berkenaan dengan sunat ab’adh dan sunat hai’ah ini dapat memberikan anda pengetahuan yang bermanfaat untuk lebih faham, dan khusyuk dalam melaksanakan solat selepas ini.

Rujukan

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-609: Perlukah Menggandakan Sujud Sahwi Jika Tertinggal Lebih Daripada Satu Sunat Ab’Adh atau Tersilap Dalam Solat? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
  2. Mengenal Sunah Ab’adh dan Sunah Hai’at. Konsultasi Syariah

Leave a comment

Your email address will not be published.