Sebelum kita bincangkan tentang syarat sah sembelihan dengan lebih mendalam, adalah lebih lengkap diulas sedikit tentang ibadah korban dahulu. Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha akan tiba tidak lama lagi.

Dua tokoh yang sering disebut-sebut sebagai pencetus kepada ibadah korban ini adalah Nabi Ibrahim, dan anak sulungnya, Nabi Ismail. Di mana pada ketika itu, Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Perintah itu merupakan satu pengorbanan yang sangat besar kerana Nabi Ibrahim telah lama sekali menunggu kelahiran seorang anak dalam perkahwinannya dengan Siti Sarah. Namun, perintah itu disambut dengan berlapang dada. Dengan izin Allah SWT, Nabi Ismail selamat tanpa tidak sedikit pun terluka.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Dan Kami tebus anaknya dengan seekor binatang sembelihan yang besar”- (Surah As Shaffaat, ayat 107)

Pengertian korban & sembelihan

Dari segi bahasa korban bermaksud hampir. Korban dalam istillah pula bermaksud menyembelih binatang tertentu pda Hari Raya Aidiladha, dan hari tasyrik, iaitu 11,12, dan 13 Zulhijjah bagi tujuan beribadah kepada Allah SWT.

Manakala sembelihan pula adalah menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan cara memutuskan urat halkum, dan merih dengan menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana Allah SWT.

Hukum melaksanakan korban dalam Islam

Hukum melaksanakan korban adalah sunat muakkad. Iaitu sekiranya seseorang tersebut mempunyai lebihan harta yang cukup dari keperluan diri, dan tanggungannya pada siang hari raya haji, dan malamnya serta hari-hari tasyriq.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Kautsar, ayat 2: “Maka dirinkanlah solat kerana Tuhanmu, dan berkorbanlah.”

Rasulullah SAW juga ada bersabda:

Maksudnya: “Nabi SAW telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut nama Allah, bertakbir sambil meletakkan kakinya di tepi tengkuk kibas tersebut.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Syarat haiwan untuk korban

Binatang ternakan atau an’am adalah syarat sah utama dalam ibadah korban. Contohnya seperti lembu, kambing, kerbau, unta, biri-biri, kibas, dan semua yang termasuk dalam jenisnya.

Firman Allah SWT:

Maksudnya:“Dan bagi tiap-tiap satu umat, Kami syari‘atkan ibadah menyembelih qurban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” – (Surah Al-Hajj, ayat 34)

Malah binatang-binatang yang disebutkan tadi juga mestilah:

  • Tiada cacat anggota seperti tempang, buta, dan sebagainya
  • Tidak terlalu kurus
  • Warna putih, dan terang
  • Cukup had umur yang ditetapkan

Had umur binatang untuk korban

Bagi unta, had umur yang dibolehkan adalah berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun. Bagi jenis haiwan ternakan seperti lembu, kerbau, dan kambing, 2 tahun masuk ke 3 tahun sudah boleh untuk dijadikan haiwan korban.

Manakala biri-biri, dan kibas, cukuplah setahun masuk dua tahun umurnya, atau gigi hadapan sudah bersalin walaupun belum cukup umur tetapi melebihi 6 bulan, ia juga sudah boleh dijadikan binatang korban.

Rukun sembelihan

Rukun sembelihan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepada penyembelih, binatang yang disembelih, dan alat sembelihan.

Penyembelih:

  • Islam
  • Tidak dalam ihram haji atau umrah

Binatang yang disembelih:

  • Halal dimakan
  • Mati dengan sekali sembelihan (putus urat halkum, dan urat merih)

Alat sembelihan:

  • Menggunakan benda-benda yang tajam kecuali gigi, tulang, kuku, rambut, dan sebagainya

Syarat sah sembelihan

Dalam Islam, kita juga diberikan panduan yang perlu diikuti tentang syarat-syarat sah sembelihan. Antara syarat-syarat sah sembelihan adalah seperti:

  • Niat sembelih kerana Allah SWT
  • Memutuskan urat halkum, dan urat merih
  • Menggunakan alat-alat sembelihan yang tajam selain gigi, tulang, kuku, rambut, dan sebagainya
  • Menyembelih binatang yang halal dimakan, dan masih hidup
  • Binatang yang disembelih mati dengan sekali sembelihan sahaja
  • Binatang itu disembelih oleh orang Islam atau ahli kitab
  • Tidak dilakukan semasa dalam ihram haji atau umrah

Hikmah melakukan ibadah korban

Ibadah korban bukanlah sekadar menyembelih binatang korban lalu dibahagikan, atau disedekahkan kepada orang-orang yang tidak berkemampuan. Tetapi sebenarnya, inti pati dari korban amatlah besar.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Namun perlulah diingatkan selalu, dalam berkorban kita juga harus sentiasa menjaga hati agar tetap tawaduk, dan merendah diri dengan ibadah yang dilakukan. Kerana apa jua ibadah yang dilakukan dengan niat yang jelas, dan suci kerana Allah SWT semata-mata akan disediakan ganjaran, dan pahala yang cukup besar dari Nya.

Kesimpulan

Pengorbanan adalah sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan seseorang. Tidak kiralah berkorban untuk apa-apa sahaja, yang penting ianya perlu dilakukan dengan redha, dan hati yang lapang dalam menerima ketentuan Nya.

Rujukan

  1. Sembelihan Korban Bermula Lepas Khutbah Raya. Utusan Malaysia dari, https://www.utusan.com.my/gaya/agama/2021/07/sembelihan-korban-bermula-lepas-khutbah-raya/
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-211: Kelebihan Ibadah Korban. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/698-irsyad-al-hadith-siri-ke-211-kelebihan-ibadah-korban?

Leave a comment

Your email address will not be published.