Buah Dada Membengkak, Kulit Berlekuk Antara Tanda Tanda Kanser Payudara

Semua wanita perlu tahu akan kepentingan mengenali bentuk dan rupa payudara masing-masing. Selain melakukan ujian saringan secara berkala untuk mengesan kanser, wanita yang sering memeriksa buah dada sendiri didapati lebih cepat mengesan sebarang tanda tanda kanser payudara.

Salah satu tanda kanser payudara yang lazim ialah munculnya ketulan pada kawasan buah dada. Walau bagaimanapun, bukan semua ketulan adalah kanser.

Malah, sukar untuk menentukan sama ada satu-satu ketulan itu adalah kanser atau tidak hanya dengan melakukan ujian fizikal.

Oleh sebab itu, wanita (dan juga lelaki) perlu ambil tahu mengenai kondisi buah dada masing-masing. Walaupun jarang, lelaki juga boleh menghidap kanser payudara. Malah, di Amerika Syarikat, 1% daripada penghidap kanser payudara adalah kaum Adam!

Di bawah, kami akan jelaskan mengenai 7 tanda tanda kanser payudara yang perlu diketahui.

7 Tanda tanda kanser payudara

Dalam sesetengah kes, kanser payudara tidak menunjukkan sebarang simptom. Malah, ramai penghidap kanser payudara tidak menyedarinya sehinggalah ia sudahpun menginjak ke fasa 4.

Sebab itulah, wanita perlu melakukan ujian saringan secara berkala. Pengesanan awal amat penting kerana kanser payudara pada tahap awal masih boleh dirawat.

Selain munculnya ketulan pada buah dada, antara tanda tanda kanser payudara ialah:

1. Perubahan pada kulit payudara

tanda tanda kanser payudara

Kanser payudara boleh menyebabkan inflamasi pada kawasan kulit sekitar buah dada. Malah, tekstur kulit juga boleh berubah. Sebagai contoh:

  1. Kulit akan menjadi bersisik di sekitar puting.
  2. Tebal kulit berbeza-beza.
  3. Kulit di sekitar payudara akan menjadi gatal-gatal.

Walau bagaimanapun, ada juga penyakit lain yang boleh menyebabkan perubahan pada kulit payudara. Antaranya ialah ekzema dan psoriasis.

2. Ada cecair abnormal keluar dari puting

Antara tanda tanda kanser payudara ialah keluarnya cecair abnormal dari puting. Cecair ini kadangkala pekat dan berwarna jernih ke kekuning-kuningan.

Walau bagaimanapun, ia juga boleh berpunca daripada jangkitan, penyakit tiroid dan juga sebagai kesan sampingan pil perancang.

Selalunya, pengeluaran cecair daripada puting bukanlah tanda kanser. Namun, bagi sebahagian orang, ia merupakan antara simptom awal kanser payudara.

3. Kulit berlekuk atau berlubang tanda tanda kanser payudara

tanda tanda kanser payudara

Kulit di sekitar payudara berlekuk atau berlubang seperti buah oren? Jangan sesekali abaikan simptom ini kerana ia merupakan antara tanda kanser payudara yang agresif.

Sel kanser boleh menyebabkan cecair limfatik berkumpul di kawasan payudara. Ini boleh menyebabkan payudara membengkak dan kulit menjadi berlekuk.

Oleh sebab itu, wanita yang mempunyai masalah kulit berlekuk perlu mendapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin kerana ia mungkin tanda kanser payudara.

4. Rasa sakit pada payudara

Kanser payudara boleh menyebabkan buah dada rasa sakit, lembut dan pedih apabila disentuh.

Walau bagaimanapun, kebanyakan pesakit yang menghidap kanser payudara tidak merasakan sebarang kesakitan.

Namun, jika anda mengalami kesakitan pada buah dada, jangan sesekali abaikannya dan dapatkan pemeriksaan secepat mungkin.

5. Puting termasuk ke dalam

Kanser payudara juga boleh menyebabkan puting termasuk ke dalam. Bukan itu sahaja, saiz buah dada juga mungkin berbeza, sebagai contoh, sebelah besar atau sebelah kecil.

Walau bagaimanapun, ada wanita yang mengalami perubahan ini semasa ovulasi atau ketika menyusukan anak. Namun, jika anda risau mengenai perubahan pada buah dada anada, jumpa doktor untuk pemeriksaan secepat mungkin.

6. Payudara merah antara tanda tanda kanser payudara

Kanser payudara boleh menyebabkan kulit di sekitar buah dada menjadi merah atau lebam-lebam. Malah, wanita yang menghidap kanser juga mungkin mendapati buah dada mereka berwarna kebiru-biruan atau ungu.

Lebam pada kawasan buah dada boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti kemalangan. Walau bagaimanapun, dapatkan pemeriksaan lanjut jika lebam yang terhasil tidak pulih walaupun selepas berbulan-bulan lamanya.

7. Payudara membengkak

tanda tanda kanser payudara

Kanser payudara juga boleh menyebabkan payudara membengkak. Malah, ini merupakan salah satu simptom kanser payudara pada tahap akhir.

Jika payudara anda besar sebelah tanpa sebab, dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin. Kulit pada kawasan payudara juga mungkin akan rasa tegang dan sakit apabila disentuh.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: